Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1628

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Saya ingin bertanya bagaimanakah dengan wudhuk orang yang memakai contact lens (kanta lekap). Sementara muka adalah termasuk bahagian yang wajib dibasuh dengan air wudhuk? Adakah diwajibkan untuk menanggalkan kanta lekap ketika berwudhuk.  Terima kasih. Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ …

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil) maka berwudhuklah iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku”.

(Surah al-Ma'idah: 6)

Ayat di atas menjelaskan tentang perintah Allah S.W.T supaya berwudhuk sebelum mengerjakan solat. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa muka ialah salah satu daripada anggota wudhuk yang wajib dibasuh ketika wudhuk. Sedangkan mata pula terletak di bahagian muka. Justeru berbalik kepada persoalan di atas, apakah hukum memakai kanta lekap ketika berwudhuk?

Definisi Kanta Lekap

Menurut kamus dewan edisi ke-4 kanta lengkap bermaksud kanta sentuh.  Kanta lekap (Bahasa inggeris: contact lens) merupakan alat pembetulan, kosmetik, atau kanta terapeutik biasanya diletakkan pada kornea mata. Kanta lekap biasanya digunakan untuk tujuan pembetulan sebagai sama seperti cermin mata, tetapi ia lebih ringan dan ia tidak mudah kelihatan—ada kanta diwarnai dengan warna biru muda. Rujuk: https://ms.wikipedia.org/wiki/Kanta_lekap

Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan mengenai hukum memakai kanta lekap:

IRSYAD AL-FATWA KE-144: Hukum Memakai Kanta Lekap (Contact Lens) Berwarna http://bit.ly/31Gg3bO

Adakah mata termasuk dalam basuhan wajib ketika wudhuk?

Di sisi mazhab Syafie, bahagian dalam mata adalah tidak termasuk dalam basuhan anggota wudhuk yang wajib dibasuh.

Berkata Imam al-Syafie: “Dan tidak aku ketahui perselisihan yang mengatakan bahawa anggota muka yang wajib dibasuh ketika wudhuk ialah bahagian yang zahir (bahagian luar) dan tidak termasuk bahagian dalam, dan tidak diwajibkan ke atas seseorang untuk membasuh kedua matanya”. (Rujuk: Al-Umm, 1/40).

Berkata Imam al-Nawawi: “Adapun hukum bagi permasalahan ini, maka tidak diwajibkan untuk membasuh bahagian dalam mata menurut kesepakatan ulama’, dan pada yang menyatakan sunat hukumnya terdapat dua pandangan, tetapi pandangan yang sahih ialah berdasarkan pandangan jumhur ulama’ iaitu hukumnya ialah tidak sunat”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 1/404).

Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Dan di antara basuhan anggota yang wajib ialah membasuh zahir (bahagian luar) muka..........dan terkeluar daripadanya (bahagian zahir) ini ialah bahagian dalam mulut, hidung dan mata, maka bahagian ini tidak diwajibkan membasuhnya, bahkan juga tidak disunatkan membasuh bahagian dalam mata, bahkan sesetengah ulama’ mengatakan makruh hukumnya (membasuh bahagian dalam mata) kerana hal tersebut boleh mendatangkan mudarat”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/153).

Disebut di dalam Fatwa Dar al-Ifta' al-Misriyyah: “Dan pandangan yang sahih dalam masalah ini ialah: bahawasanya membasuh bahagian dalam mata ketika bersuci adalah tidak disyaratkan bahkan tidak diharuskan. Oleh itu pemakaian kanta lekap tidak membawa kesan kepada hukum bersuci samada pemakaian kanta lekap itu dengan tujuan perubatan ataupun bertujuan untuk perhiasan. Dan hal ini kerana memasukkan air ke dalam mata tidak diriwayatkan daripada nabi S.A.W samada secara lisan atau perbuatan dan perbuatan tersebut juga menyakitkan dan ia boleh membawa kepada mudarat”.  Rujuk: https://www.amrkhaled.net

Kesimpulan

Kesimpulannya, setelah meneliti perbahasan di atas, hukum memakai kanta lekap ketika berwudhuk adalah harus dan keadaan wudhuk seseorang tetap sah. Apatah lagi misalnya sekiranya pemakaian kanta lekap tidak menghalang air daripada masuk ke dalam mata. Adapun sekiranya kanta lekap boleh menghalang air sampai ke dalam mata maka dalam keadaan itu pun tidak menjadi masalah. Hal ini kerana membasuh bahagian dalam mata adalah tidak diwajibkan ketika berwudhuk bahkan juga tidak disunatkan. Ia juga dianggap makruh mengikut pendapat yang sahih kerana hal tersebut boleh membawa mudarat kepada mata. Justeru, seseorang yang memakai kanta lekap tidak perlu menanggalkan kanta lengkap ketika berwudhuk atau mandi wajib kerana hal tersebut tidak membawa kesan kepada sah atau batalnya wudhuk. Wallahu a’lam.