Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ak1681

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Saya ingin bertanya sekiranya anak tersebut ialah anak yang tidak sah taraf, maka siapakah yang perlu menanggung nafkah ke atasnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: “Anak itu bagi siapa yang menggauli menggauli ibunya (dalam nikah yang sah) dan bagi penzina itu haknya adalah batu.”

Riwayat Muslim (3598)

DEFINISI ANAK TAK SAH TARAF

Menurut Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan anak yang tidak sah taraf ialah: “Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan ini diakad nikahkan ialah anak tidak sah taraf”. (Rujuk Buku Fatwa-Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan 1987-2010, hlm. 8, 37 & 38).

Justeru, berdasarkan hadis di atas, anak yang tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya mengikut pandangan majoriti ulama’ empat mazhab. Hal ini juga disebut secara jelas oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan: Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali”. (Rujuk:  Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 206-207). Hukum-hukum yang berkaitan dengan anak tak sah taraf boleh rujuk artikel kami yang berkaitan:

Bayan Linnas Siri Ke-106: Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah Rayuan https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/736-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan

Oleh itu berdasarkan keterangan di atas timbul persoalan di sini, siapakah yang wajib menanggung nafkah anak yang tak sah taraf?

KEWAJIPAN MEMBERI NAFKAH

Pada asalnya kewajipan memberi nafkah ke atas anak-anak dan isteri adalah tanggungjawab seorang ayah. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وعلى المولود له رزقهن وكسوتهن بالمعروف

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya” 

(Surah Al-Baqarah: 233)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا آتِي رَسُولَ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ -: فَقَالَ: إِنَّ مَعِي دِينَارًا قَالَ: أَنْفِقْهُ عَلَى نَفْسِكَ قال: إن معي آخر قال: أنفقه عَلَى وَلَدِكَ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A, bahawasanya seorang lelaki datang menemui Rasulullah S.A.W lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai satu dinar, lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas dirimu, lalu lelaki tersebut berkata: Aku juga mempunyai yang lain (wang), lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas anakmu….” 

Riwayat Abu Daud (1691), Al-Nasaie (5/62), Al-Hakim (1/415)

Berdasarkan kedua-dua nas di atas jelaslah bahawa seseorang bapa berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor iaitu perkahwinan, keturunan dan pemilikan. Walau bagaimanapun, dalam konteks anak tak sah taraf kewajipan memberi nafkah adalah terletak di atas tanggungjawab ibunya kerana hubungannya dengan bapa telah terputus.  Kewajipan ke atas ibu untuk memberi nafkah bagi anak yang ketiadaan bapa adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

لا تضارّ والدة بولدها

Maksudnya: ”Janganlah menjadikan seseorang ibu menderita kerana anaknya” 

 (Surah al-Baqarah: 233)

Berdasarkan ayat ini para ulama mengatakan: “Tatkala diwajibkan (nafkah) itu ke atas bapa bagi menanggung tanggungannya secara asasnya (asal), maka diwajibkan tanggungan (nafkah) itu ke atas ibu ketika berlaku pemutusan (nasab) itu adalah lebih utama”. (Rujuk: Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 3/156).

Berkata Imam al-Mawardi: “Berpindah nafkah selepas daripada bapa-bapa kepada ibu-ibu, dan sekiranya ketiadaan bapa maka nafkah tersebut berpindah kepada ibu”. (Rujuk: Al-Hawi al-Kabir, 11/479).

Berkata Imam Khatib al-Bujairimi: “Dan zakat fitrah anak zina ialah ke atas ibunya kerana dia tidak mempunyai ayah sebagaimana diwajibkan nafkahnya (anak) ke atas ibunya”. (Rujuk: Hasyiyah al-Bujairimi, 4/437).

Berkata Imam Sayyid al-Bakri: “Dan zakat fitrah bagi anak zina ialah ke atas ibunya kerana diwajibkan nafkah (anak) ke atas ibunya, dan hal ini semisalnya anak yang dili’an. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 2/169).  Disebut di tempat yang lain: “Dan diwajibkan ke atasnya nafkah anak yang di bawahnya iaitu diwajibkan ke atas ibu anak zina tersebut”. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 2/335).  

Tanggungjawab ibu memberi nafkah kepada anak tak sah taraf diperuntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 80. (Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tidak sah taraf) mengatakan:
(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

Namun begitu, para ulama’ meletakkan syarat-syarat tertentu dalam menyediakan keperluan nafkah anak tak sah taraf iaitu seseorang ibu berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya dalam keadaan berikut:

Anak tersebut tidak mampu berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga mempunyai pekerjaan.

Anak tersebut miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menyara dirinya.

Anak tersebut cacat anggota. Jika anak tersebut sudah besar atau baligh dan mampu berdikari maka ibu tidak lagi wajib memberi nafkah kepadanya.  

Anak tersebut masih menuntut ilmu.

Ibu tersebut mampu memberi nafkah. Jika ibu tidak mampu memberi nafkah maka kewajipan tersebut berpindah kepada waris (ibu). (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/7413-7415).

Namun, sekiranya seseorang ibu tidak berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, maka nafkah tersebut dipertanggungjawabkan ke atas waris ibu. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وعلى الوارث مثل ذلك

Maksudnya: “Dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika bapa tiada)”

(Surah al-Baqarah: 233)

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, justeru jelaslah bahawa kewajipan memberi nafkah dan saraan hidup bagi anak tak sah taraf adalah terletak kepada ibunya mengikut Hukum Syarak. Hal ini adalah disebabkan anak tak sah taraf hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja dan tidak dinasabkan kepada bapa yang menyetubuhi ibunya melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat perbuatan rogol.  Wallahu a’lam.