Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1686: ADAKAH SAH NIKAHNYA SEKIRANYA TIDAK BERSALAMAN KETIKA AKAD NIKAH

ak1686

Soalan

Assalamualaikum. Baru-baru ini ada video pasangan yang melangsungkan akad nikah tanpa bersalaman dengan juru nikah. Sah atau tidak akad nikah tanpa bersalaman ketika akad nikah berlangsung. Mohon penjelasan pejabat mufti ya. Sekian terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.

Riwayat al-Tirmizi (1080)

Dalam memenuhi tuntutan perkahwinan, seseorang itu tidak dapat lari dari memenuhi tuntuan syarak agar perkahwinannya itu sempurna. Justeru wajib bagi seseorang yang hendak berkahwin untuk mematuihi rukun dan syarat pernikahan supaya perkahwinannya itu menjadi sah. Dr Muhammad Zuhaili menyebut tidak sempurna akad nikah melainkan dengan terlaksana rukunnya dan melengkapi segala syarat bagi rukun tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh a-Syafi’e, 4/53)

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut rukun akad nikah mempunyai lima rukun iaitu Sighah, pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali dan dua orang saksi. Dr. Muhammad Zuhaili memperincikan lagi rukun akad nikah kepada enam iaitu Sighah (Ijab dan Qabul), al-A’qidan (Pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55; al-Mu’tamad, 4/53)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan dengan bersalaman ketika melafazkan akad nikah, ia perlu menelitikan syarat yang diletakkan kepada rukun Sighah iaitu Ijab dan Qabul adakah ia memerlukan persalaman ketika melafazkannya.

Sighah yang dimaksudkan dengan sighah akad iaitu lafaz atau perbuatan yang disampaikan oleh orang yang sedang akad (perjanjian) serta menunjukkan keredhaannya. Para fuqaha berpendapat yang terkandung di dalam sighah mestilah Ijab (lafaz pemberian) Qabul (lafaz penerimaan). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/200)

Dr Muhammad Zuhaili menerangkan tidak terjadinya akad nikah melainkan dengan Sighah akad nikah iaitu ijab dan qabul.

Ijab iaitu lafaz daripada wali pengantin perempuan dengan menyebut “aku kahwinkan kamu” atau “aku nikahkan kamu” dan seumpamanya.

Qabul iaitu lafaz daripada pengantin lelaki dengan menyebut “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan menikahinya”. Lihat (al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/53)

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut, disyaratkan pada lafaz akad nikah seperti berikut:

  • Mestilah lafaz tersebut mempunyai lafaz kahwin atau nikah dan perkataan apa yang diterbitkan daripadanya. Ini seperti “aku nikahkan kamu” atau “aku kahwinkan kamu” dan dijawab “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya”.
  • Mestilah lafaz kahwin atau nikah di dalam ijab dan qabul itu jelas. Ini seperti sekiranya wali menyatakan “aku nikahkan kamu dengan anakku” lalu dijawab oleh bakal suami aku “terima” maka tidak berlaku pernikahan tersebut. Ini kerana kedua-dua pihak tidak jelas dalam penggunaan lafaz kahwin atau nikah itu. Dr Muhammad Zuhaili menyebut ini kerana masih tidak jelas daripada keduanya lafaz kahwin dan nikah dan niat masih belum cukup untuk menjadikannya sah. Ia juga masih terdapat lafaz kiasan padanya dan lafas kiasan tidak sah digunakan di dalam akad nikah.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55-56; al-Mu’tamad, 4/53-55)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan perbahasan fuqaha’ yang diberikan dapat kami simpulkan di sini bahawa, tidak bersalaman ketika menyebut lafaz akad nikah adalah sah disisi syarak. Ini kerana syarat sah lafaz akad nikah hanya dengan menyebut lafaz ijab dan qabul dan bersertakan kalimah kahwin atau nikah sahaja.

Justeru, walaupun bersalaman ketika akad nikah bukan merupakan syarat akad nikah, namun ia merupakan Sunnah yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW ketika berbai’ah atau berjumpa dengan sahabatnya yang lain. Begitu juga, Imam Badruddin al-A’ini menaqalkan pandangan al-Karmani menyatakan bahawa bersalaman adalah sebagai tanda atau isyarat memilikinya sama ada pada pernikahan atau perjanjian. (Lihat Umdah al-Qari syarh Sahih al-Bukhari, 24/277)

Selain itu, bagi mengesahkan akad nikah tersebut mestilah melengkapi syarat-syarat serta rukun akad nikah yang lain seperti adanya wali, dua orang saksi, bakal pengantin lelaki dan perempuan di dalam majlis akad nikah tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.