Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK1707

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, saya selalu terbaca kenyataan yang menyebut bahawa Rasulullah S.A.W memiliki kucing kesayangan dengan nama mu’izzah atau muezza. Soalan saya, adakah hal ini benar dan mempunyai riwayat yang sahih ? Terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya, Islam mewajibkan berbuat ihsan kepada kesemua makhluk meliputi manusia, tumbuhan, dan juga haiwan. Berbuat ihsan kepada haiwan seperti kucing adalah wajib hukumnya dalam erti kata tidak menyakiti dan menzalimi haiwan tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.

Riwayat Muslim (1955)

Demikian juga menzalimi kucing boleh membawa seseorang itu ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya :

 لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya : Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.

Riwayat Al-Bukhari (2365)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, setelah kami melakukan pencarian di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar, kami tidak menemukan walau satu riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W memiliki dan membela seekor kucing dengan nama tersebut. Bahkan kebanyakan kisah-kisah Rasulullah S.A.W bersama kucing adalah tidak ada asalnya di dalam kitab-kitab yang muktabar, meskipun ia masyhur kedengaran.

Meskipun begitu, ini sama sekali tidak menafikan tuntutan berbuat baik kepada kucing serta pengharaman menzalimi dan menyakiti kucing. Isu ini telah kami kupas secara panjang lebar di dalam Al-Kafi #1534 : Benarkah Ada Tuntutan Syarak Untuk Membela Kucing ? yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2wRBmw5

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami akhiri perbahasan ini dengan beberapa noktah yang berikut :

  • Tidak terdapat walau satu pun riwayat yang sahih menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah membela atau memiliki seekor kucing bernama Mu’izzah meskipun kisah berkenaannya begitu masyhur dalam kalangan masyarakat.
  • Menyandarkan hal ini kepada Rasulullah S.A.W dikhuatiri termasuk dalam perbuatan berbohong atas nama Rasulullah S.A.W. yang amat tegas ancaman dan larangan terhadapnya berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :

 إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya : Sesungguhnya pendustaan ke atas aku tidak sama seperti pendustaan ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja maka siap sedialah tempat duduknya di dalam neraka.

Riwayat Al-Bukhari (1291)

  • Justeru, sebarang penyebaran yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W ada membela seekor kucing kesayangan bernama Mu’ezza hendaklah dihentikan, kecuali bagi menjelaskan kepalsuannya.
  • Ini sama sekali tidak menafikan tuntutan berlaku ihsan kepada kucing serta haram menzalimi dan menyakitinya.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.