Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

durian 2

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada mengupah seorang pekerja untuk menjaga dan memelihara sebuah dusun durian saya di kampung. Pekerja tersebut tidak mahu mengambil upah duit daripada saya sebaliknya dia mengatakan bahawa apabila pokok durian sudah berbuah, hasilnya nanti dia akan dijual dan keuntungan akan dibahagi sesama saya dan dia.

Persoalannya, adakah dia berhak menjual dan mendapat keuntungan daripadanya?

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Perbahasan di atas dibincangkan para ulama dalam bab Musaqah. Berdasarkan situasi di atas, pekerja tidak mempunyai hak untuk menjual kesemua hasil dan membahagi keuntungan yang diperoleh daripadanya melainkan mendapat persetujuan daripada pemilik kebun.

Ini kerana, secara asalnya setiap pihak; pemilik kebun dan pengusaha mempunyai hak terhadap hasil durian tersebut secara peratusan. Dalam erti kata lain, setelah pokok tersebut membesar dengan baik dan membuahkan hasil, maka hasilnya nanti hendaklah dibahagikan sesama pekerja dan tuan tanah berdasarkan peratusan dan nisbah yang dipersetujui bersama seperti 50:50, 60:40 dan sebagainya. Selepas pembahagian dilakukan, terserah kepada masing-masing sama ada hendak jual, makan, mahupun menghadiahkan durian tersebut kepada orang lain.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Musaqah menurut bahasa ialah siraman. Menurut istilah syarak pula, musaqah adalah kontrak antara pemilik tanaman dengan pihak lain yang akan melakukan kerja-kerja pemeliharaan, penjagaan dan segala kerja yang diperlukan. Hasil tanaman yang bakal diperolehi nanti akan dibahagikan sesama mereka.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 3/235)

Dalam hal ini secara asasnya pemilik kebun menyerahkan kebunnya kepada seseorang sebagai tukang kebun agar dia dapat mempeliharanya. Sebagai balasan, hasil yang diperoleh daripada kebun tersebut akan dibahagi antara kedua-dua pihak berdasarkan perjanjian (akad) yang dibuat.

Akad Musaqah disyariatkan dalam Islam. Hukumnya harus. Pernyataan ini bersandarkan hadis-hadis Nabi SAW yang menunjukkan baginda sendiri terlibat dengan kegiatan tersebut. Antaranya, hadis yang diriwayatkan Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:

ﻋَﻦِ ﺍْﺑﻦِ ﻋُﻤَﺮَ ﺭَﺿِﻲَ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻨْﻬُﻤَﺎ، ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮْﻝَ ﺍﻟﻠﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻋَﺎﻣَﻞَ ﺃَﻫْﻞْ ﺧَﻴْﺒَﺮَ ﺑِﺸَﻄْﺮِ ﻣَﺎ َﻳﺨْﺮُﺝُ ﻣِﻨْﻬَﺎ ﻣِﻦْ َﺛﻤَﺮٍ ﺃَﻭْ ﺯَﺭْﻉٍ 

Maksudnya: Daripada Ibn Umar R.Anhuma: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengupah penduduk Khaibar dengan bayaran separuh daripada hasil (tanaman) yang diperoleh seperti buah-buahan atau tanaman.”

 Riwayat Muslim (1551)

Antara hikmah Syariat membenarkan akad sebegini adalah bagi meraikan hajat dan keperluan manusia. Ramai manusia yang mempunyai tanah yang dijadikan kebun atau dusun namun tidak mahir menguruskannya atau terlalu sibuk untuk menguruskannya secara harian. Dalam masa yang sama, ada kelompok manusia lain yang mempunyai kemahiran menguruskan tanaman namun tidak mempunyai kebun mahupun dusun. Maka, akad sebegini mengharmonikan keperluan bagi kedua-dua kategori manusia.  

Selain itu, kalau semata-mata bergantung kepada akad Jualah (upah) seperti yang biasa diamalkan, terdapat kemungkinan setelah akad tamat, hasil tanaman tidak menjadi sedangkan upah tetap perlu dibayar. Maka, akan memberi kerugian kepada pemilik kebun tersebut.

Berbeza dengan akad Musaqah, keuntungan dibahagikan secara peratusan. Sekiranya suatu musim itu pokok tidak berbuah, maka kedua-dua pihak tidak mendapat apa-apa kerana kerugian ditanggung bersama; pemilik kerana kos penjagaan ditanggung olehnya manakala penjaga kerana sudah mengerahkan keringatnya

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 6/4711)

Seterusnya, akad Musaqah mempunyai lima rukun utama iaitu pihak yang melakukan transaksi (pemilik tanah dan pengusaha), sighah (Ijab dan Qabul), tanaman yang diusahakan, hasil tanaman, dan skop pekerjaan. Bagi memastikan akad ini sah, maka setiap pihak perlu mematuhi rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Rukun dan syarat yang penting berkaitan persoalan di atas ialah rukun hasil tanaman dan skop pekerjaan. Syeikh al-Zuhaili dalam kitabnya, al-mu’tamad (3/250-254) menghuraikannya seperti berikut:

HASIL TANAMAN

Hasil tanaman yang diperoleh selepas suatu tempoh penjagaan yang rapi merupakan imbalan atau balasan yang layak diberikan kepada pengusaha tersebut di samping berkongsi dengan tuan tanah sebagai pemilik asal kebun. Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah hendaklah hasil tersebut dikongsi secara bersama; tidak boleh disyaratkan hasil tersebut hanya dimiliki salah satu pihak kerana syarat seperti ini merosakkan objektif asal akad dibuat.

Selain itu, setiap pihak perlu mengetahui secara jelas bahagian yang bakal diperoleh masing-masing berdasarkan persetujuan bersama. Bahagian ditentukan secara peratusan bukan secara bilangan spesifik seperti 3KG durian dan seumpama dengannya. Syarat ini diletakkan sebagai langkah berhati-hati sekiranya tanaman tidak membuahkan hasil atau hasilnya tidak mencapai seperti yang dijangkakan.

SKOP PEKERJAAN

Pekerja atau pengusaha perlu melaksanakan segala kerja berkaitan penjagaan dan pemeliharaan dusun tersebut. Seperti yang diketahui, akad Musaqah hanya melibatkan kebun yang memang sudah mempunyai pokok dan tanaman. Tugas pekerja hanyalah memastikan kelangsungan hidup tanaman di samping memastikan tanaman terpelihara dengan baik dan tersusun seperti menyiram air mengikut jadual, menebas semak samun yang hidup meliar, menjaganya daripada dicuri dan sebagainya.

Tambahan pula, akad ini mestilah mempunyai tempoh berakhir berdasarkan tabiat pokok tersebut berbuah seperti 6 bulan, setahun dan lain-lain. Akad akan menjadi tidak sah apabila tidak ditetapkan tempoh kerana sekiranya dibiarkan akad tanpa penghujung, pekerja tersebut diibaratkan sebagai tuan tanah kerana dia bekerja bersendirian mengusahakan tanah tersebut sehingga suatu tempoh yang tidak diketahui; boleh jadi sampai bertahun-tahun lamanya.

Sebagai kesimpulan dan cadangan, sebaiknya setiap pihak mengetahui terlebih dahulu bahagian hasil masing-masing. Kemudian, barulah diserahkan hasil tersebut kepada pengusaha yang bertindak sebagai wakil untuk menjualnya. Keuntungan yang diperoleh hasil jualan tersebut dibahagikan semula berdasarkan saham dan bahagian masing-masing.

Wallahua’lam.