Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AL KAFI 1750

 

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Apakah hukum melaksanakan solat jamak dan qasar kerana menonton bola sepak di stadium? Saya pernah mendengar bahawa hukum menonton boleh sepak adalah haram, sedangkan syarat sah solat jamak dan qasar ialah mestilah musafir itu dilaksanakan bukan dengan tujuan maksiat? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Ringkasan Jawapan:

Seseorang yang bermusafir kerana ingin menonton perlawanan bola sepak, sama ada di stadium atau selainnya, adalah diharuskan untuk mengambil rukhsah solat musafir, iaitu menjamakkan dan menqasarkan solat, selagi mana tidak disertai dengan tujuan maksiat

Huraian Jawapan:

Tanpa menafikan fakta bahawa wujud khilaf dalam kalangan ulama berkenaan hukum menonton permainan bola sepak, pihak kami telah memberikan pandangan kami tersendiri dalam artikel Irsyad Fatwa #247: Hukum Menonton Acara Sukan yang Mendedahkan Aurat[1]. Kesimpulannya, hukum menonton permainan bola sepak adalah diharuskan, selagi mana tidak dicemari dengan tujuan-tujuan yang maksiat seperti meninggalkan solat, culas dalam kerja, sengaja melihat aurat, dan lain-lain tujuan maksiat.

Manakala dalam isu menjamakkan atau mengqasarkan solat dalam musafir yang bertujuan maksiat, pihak kami telah menulis berkenaannya dalam artikel al-Kafi #1197: Adakah Berhibur dan Melancong Boleh Dianggap Rukhsah untuk Jamak Dan Qasar [2]dan kami telah memberikan pendapat kami bahawa musafir yang bertujuan demi maksiat menjadi penghalang kepada keharusan jamak dan qasar dalam solat. Ini selari dengan pendapat dalam mazhab Syafie bahawa tidak sah solat jamak dan qasar bagi seseorang yang bermusafir kerana tujuan maksiat. Berkata Imam al-Nawawi:

وَلَا يَتَرَخَّصُ الْعَاصِي بِسَفَرِهِ كَآبِقٍ وَنَاشِزَةٍ

“Tidak boleh mengambil rukhsah akan orang yang bermaksiat dengan permusafirannya, seperti hamba yang lari daripada tuannya, dan orang perempuan yang nusyuz.”

(Rujuk Minhaj al-Tolibin, hal. 45)

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa seseorang yang bermusafir kerana ingin menonton perlawanan bola sepak, sama ada di stadium atau selainnya, adalah diharuskan untuk mengambil rukhsah solat musafir, iaitu menjamakkan dan menqasarkan solat, selagi mana tidak disertai dengan tujuan maksiat seperti berzina, meminum arak, mengambil dadah, meninggalkan solat, ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan wanita yang ajnabi, dan tujuan-tujuan maksiat yang lain. Sekiranya musafir itu dicemari dengan tujuan-tujuan maksiat, maka gugur hukum rukhsah solat jamak dan qasar, serta wajib ditunaikan dengan hukum asal, tanpa jamak dan qasar.

 

[1]https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2640-irsyad-fatwa-247-hukum-menonton-acara-sukan-yang-mendedahkan-aurat

[2]https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3275-al-kafi-1197-adakah-berhibur-dan-melancong-boleh-dianggap-rukhsah-untuk-jamak-dan-qasar