Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

tanah 22

 Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti. Keluarga saya memiliki sebidang tanah di kampung. Tanah itu pada asalnya adalah milik ibu bapa saya dan telah menyerahkan pemilikan tanah itu kepada 2 orang kakak saya dan adik. Kedudukan tanah tersebut terletak di belakang rumah bapa saudara saya. Masalah yang berlaku, bapa saudara kerap kali bertanyakan hal ehwal tanah itu dan meminta untuk dijual kepadanya. Isunya geran kelompok tanah itu dipegang oleh bapa saudara saya dan dia seolah-olah menahan proses pecah geran kepada individu yang merupakan saudara mara sendiri. Apabila ditanyakan kepadanya, dia sering menyatakan jika hendak, buatlah proses pemecahan geran sendiri. Saya sebagai anak saudara hanya mampu mengunci rasa dan menahan sabar sahaja.

Tanah itu terbiar, bapa dan ibu saudara saya mengatakan mereka mengusahakan tanaman sawit di tanah milik keluarga saya itu dan berjanji akan membahagi dua hasil tuaian sawit. Itu pun kami tidak kisah, asalkan jujur. Pada Syawal lepas, mereka datang bertemu kedua ibu bapa saya, fikiran saya mereka mahu menziarahi kami sempena raya aidilfitri, rupa-rupanya mereka datang untuk memberikan duit tanaman sawit bernilai RM200 ringgit kepada ibu bapa saya. Di dalam pertemuan itu juga bapa dan ibu saudara sekali lagi berhasrat membeli tanah milik keluarga saya. Sememangnya tanah itu tidak dibuka untuk jualan kerana ia akan diwarisi oleh kakak dan adik beradik perempuan saya.

Persoalan saya, apakah tindakan ibu bapa saudara saya memujuk rayu untuk membeli harta saudaranya itu mengikut syarak? Ia telah menyinggung perasan kami sekeluarga seolah-olah kami tidak layak memiliki tanah tersebut. Saya menganggap ia satu tindakan tamak oleh saudara sendiri. Mohon pencerahan mufti dengan isu ini. Terima kasih.

 

Jawapan Ringkas

Jual beli dalam islam berdiri di atas prinsip saling meredai dan tiada paksaan. Seseorang tidak sewajarnya memaksa dan mendesak pihak lain untuk menjual atau membeli sesuatu yang tidak diingininya sebaliknya perlu menghormati pendirian masing-masing.

Seterusnya, wajib meminta izin daripada pemilik harta sebelum menggunakan hartanya termasuklah dalam kes di atas seperti mengusahakan tanah yang dimiliki keluarga saudara. Adapun berkaitan keuntungan yang diperoleh hasil tanah yang diusahakan, maka bapa saudara juga berhak terhadap keuntungan sebagai upah yang dipersetujui bersama.

Akhirnya, kami menasihatkan agar semua pihak berlapang dada menghormati pendirian masing-masing khususnya dalam bab jual beli tanah tersebut supaya keharmonian hubungan persaudaraan tetap terjaga lantas mengelakkan segala perselisihan dan permusuhan.

  

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT atas segala nikmat diberikan serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Hadiah atau disebut Hibah dari segi istilah Syarak ialah suatu akad pemberian harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (ʿiwad) yang dilakukan semasa hidup secara sukarela. Ibu bapa yang memberikan hadiah kepada anak-anak merupakan salah satu perkara yang digalakkan oleh Syarak.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/175-177)

Tanah yang dijadikan sebagai hadiah juga termasuk dalam kategori hadiah yang diharuskan dalam Islam. Apabila kesemua rukun dan syarat hibah dipenuhi secara sempurna, maka akan berlaku pertukaran pemilik tanah kepada pemilik baru dan dia berhak untuk melakukan apa-apa sahaja perkara yang diiktiraf Syarak seperti menyewakan tanah, menghidupkan tanah dengan bercucuk tanah hatta menjualnya semula sekalipun.

Dalam masa yang sama, tiada pihak yang boleh mengambil tanah serta menggunakan tanah tanpa izin bahkan memaksa pemilik tanah untuk membuat perkara yang tidak dipersetujuinya. Nabi Muhammad SAW memberi amaran keras kepada mereka yang merampas dan mengambil harta orang lain tanpa hak walaupun jumlahnya sedikit.

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda,

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيّاهُ يَومَ القِيامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya: “Sesiapa merampas hak orang lain walaupun sekadar sejengkal tanah, Allah akan menggantungkan di lehernya tujuh petala bumi pada hari kiamat”.

Riwayat Muslim (1610)

Hadis di atas menunjukkan perbuatan tersebut diberi ancaman yang sangat dahsyat. Bahkan Syeikh al-Munawi dalam kitabnya, Faidh al-Qadir (6/41) ketika mensyarahkan hadis seumpama dengannya menyebutkan bahawa perbuatan tersebut sebahagian daripada dosa-dosa besar.

Oleh yang demikian, sekiranya bapa dan ibu saudara mengusahakan tanah tersebut tanpa izin keluarga sebagai pemilik asal, maka mereka perlu mencabut segala tanaman yang berkaitan bahkan boleh dikenakan caj sewaan. Perbincangan lanjut dibahaskan ulama dalam bab Bai’ al-Fudhuli. Namun sekiranya keluarga kamu bersetuju untuk tanah tersebut diusahakan, maka pihak bapa saudara boleh mengambil keuntungan dan peratusannya sebagai upah berdasarkan persetujuan bersama.

(Rujuk: al-Mu’tamad, 3/216)

Hukum Memberi Tekanan Dalam Jual Beli

Secara asalnya, jual beli dalam Islam hendaklah berlaku dalam keadaan setiap pihak saling meredai antara satu sama lain di samping kebajikan kedua-dua belah pihak terjaga. Allah SWT berfirman dalam al-Quran,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”.

(Surah al-Nisa’: 29)

Namun, ulama menyebut bahawa sesuatu harta yang dijual kepada pihak lain dalam keadaan diberi tekanan secara halus termasuklah pujuk rayu tetap dianggap sah oleh Syarak melainkan terdapat paksaan dan ugutan mengancam nyawa dan seumpama dengannya.

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 6/105)

Sebagai saranan dan cadangan, sebaiknya diuruskan secepat mungkin urusan pembahagian tanah untuk menukarkan status tanah tersebut daripada geran kongsi kepada geran individu dengan merujuk pihak-pihak yang berkepakaran seperti Pejabat Tanah, peguam hartanah dan lain-lain supaya urusan pembahagian dapat berjalan dengan lancar dan cepat.

Akhir kata, agama islam amat menitikberatkan soal silaturahim sesama manusia khususnya antara sanak-saudara. Sewajarnya semua pihak mempunyai sikap saling menghormati hak dan pendirian masing-masing di samping menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan supaya ikatan kekeluargaan dan persaudaraan tidak terlerai hanya disebabkan mencari harta dunia yang tidak kekal lama.

Wallahu a’alam.

Rujuk juga:

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4096-irsyad-al-fatwa-siri-ke-395-abang-mengusahakan-harta-pusaka-tanpa-persetujuan-adik