Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ak1798

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang lafaz niat puasa qada bagi menggantikan puasa yang telah ditinggalkan?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Antara syarat niat bagi puasa Ramadan dan puasa wajib yang lain (puasa qada dan nazar) ialah berniat di malam hari. Oleh itu, puasa hendak diniatkan sebelum terbit fajar keesokan harinya bagi puasa wajib.

Tuntutan berniat ialah dengan berniat di dalam hati. Adapun hukum melafazkan niat dengan lisan adalah sunat supaya dapat membantu untuk menetapkan niat di dalam hati.

Manakala bagi lafaz niat puasa ganti pula hendaklah ditukarkan lafaz أَدَاءِ (tunai) dengan lafaz قَضَاءِ (ganti). Oleh yang demikian, lafaz niat bagi puasa ganti ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah SWT.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, niat bagi puasa Ramadan dan puasa wajib yang lain hendaklah diniatkan pada malam hari berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW bahawa:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِن اللَيْلِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa (keesokan harinya) di malam hari, maka tidak sah puasanya.

Riwayat al-Nasaie (2334)

Begitu juga di sisi mazhab al-Syafie disyaratkan seseorang untuk berniat di waktu malam bagi puasa ramadan dan puasa fardu yang lain seperti puasa ganti. Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Muqadimah al-Hadramiah bahawa:

الأول: النية لكل يوم. ويجب التبييت في الفرض دون النفل، فتجزئه نيته قبل الزوال، ويجب التعيين أيضًا دون الفرضية في الفرض

Maksudnya: (Rukun puasa) Pertama: Niat bagi setiap hari puasa. Diwajibkan untuk berniat pada waktu malam bagi puasa fardu dan tidak bagi puasa sunat. Sah niat tersebut jika diniatkan sebelum tergelincir matahari. Di samping itu, diwajibkan untuk ta’yin (menentukan jenis puasa seperti puasa Ramadan), tanpa diwajibkan untuk menyebut fardu bagi puasa fardu.[1] (Rujuk al-Muqadimah al-Hadramiah: 171 )

Berdasarkan teks di atas, diwajibkan untuk berniat bagi puasa fardu pada waktu malam, manakala bagi puasa sunat boleh untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari jika sekiranya tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Tuntutan niat ini ialah merujuk kepada berniat di dalam hati. Justeru, apabila seseorang  sudah meletakkan azam di dalam hati dan fikirannya tentang hakikat puasa tersebut, maka niatnya tersebut sah. Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja bahawa:

أحدها: (نية ليلاً لكل يوم في الفرض) ومحلها القلب ولا بد أن يستحضر حقيقة الصوم التي هي الإمساك عن المفطر جميع النهار مع ما يجب فيه من كونه عن رمضان مثلاً ثم يقصد إيقاع هذا المستحضر.

Maksudnya: (Rukun puasa) pertama: Berniat di waktu malam pada setiap hari bagi puasa yang fardu. Tempat niat ialah di dalam hati. Oleh itu, hendaklah didatangkan dalam fikiran hakikat puasa tersebut iaitu perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari serta  melakukan kewajipan yang mana ia sebahagian daripada amalan bulan Ramadan, kemudian berniat bahawa dia akan melakukan perkara yang dibayangkan tersebut.[2] (Rujuk Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja, 1:280)

Namun, jika sekiranya seseorang melafazkannya, maka hukumnya adalah sunat supaya lisan dapat membantu untuk menetapkan niat di dalam hati. Perkara ini seperti yang dinyatakan dalam kitab Kasyifat al-Saja bahawa:

ولا تكفي النية باللسان دون القلب، كما لا يشترط التلفظ بها قطعاً لكنه يندب ليعاون اللسان القلب.

Maksudnya: Tidak memadai menyebut niat di lidah sahaja tanpa meniatkannya di dalam hati. Begitu juga, tidak disyaratkan untuk melafazkan niat secara qatie namun hanya disunatkan sahaja supaya lidah dapat membantu dalam berniat di dalam hati.[3] (Rujuk Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja, 1:280)

Justeru, hukum melafazkan niat adalah sunat sahaja bagi membantu hati untuk menetapkannya. Adapun syarat niat yang wajib ialah menetapkannya di dalam hati.

Kedua, jika sekiranya dia berniat untuk menggantikan puasa bagi puasa fardu yang ditinggalkan pada tahun-tahun sebelumnya, maka lafaz niatnya tidak menggunakan lafaz أَدَاءِ (tunai) bahkan disebut قَضَاءِ (ganti) pada lafaz niatnya. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh al-Islam Zakaria al-Ansari bahawa:

 (أَنْ يَنْوِيَ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةَ لِلَّهِ تَعَالَى) بِإِضَافَةِ رَمَضَانَ وَذَلِكَ لِتَتَمَيَّزَ عَنْ أَضْدَادِهَا لَكِنَّ فَرْضَ غَيْرِ هَذِهِ السَّنَةِ لَا يَكُونُ إلَّا قَضَاءً

Maksudnya: (Bagi puasa Ramadan) Hendaklah diniatkan puasa keesokan hari bagi menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah SWT. Lafaz Ramadan ditambah di dalam niat supaya dapat dibezakan dengan selainnya. Namun, jika sekiranya puasa fardu Ramadan selain tahun ini, maka ia tidak lain tidak bukan menjadi qada (ganti).[4] (Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 1:411)

Namun begitu, tidak diwajibkan untuk menyebut sama ada أَدَاءِ (tunai) ataupun قَضَاءِ (ganti), jika tidak menyebutnya maka tidak menjadi masalah. Memadai berniat dengan menyebutkan lafaz fardu sahaja mengikut pandangan yang paling sahih mazhab al-Syafie seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini:

وَظَاهِرُهُ أَنْ يَكُونَ الْأَصَحُّ اشْتِرَاطَ الْفَرْضِيَّةِ دُونَ الْأَدَاءِ وَالْإِضَافَةِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Apa yang jelas tentang pandangan yang paling sahih ialah disyaratkan menyebut fardu sahaja, tanpa disyaratkan untuk menyebut lafaz أَدَاءِ (tunai) dan lafaz ‘kerana Allah SWT’.[5] (Rujuk Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, 2:151)

Oleh yang demikian, lafaz niat bagi puasa ganti yang lengkap ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah SWT.

WaAllahu a’lam.

 Rujukan

[1] Al-Hadrami, Abdullah Ibn Abd al-Rahman Bafadhl, 2011, al-Muqadimah al-Hadramiah, Dar al-Minhaj, Beirut, Lubnan, hlmn. 171.

[2] Al-Jawi, Muhammad Nawawi, t.t, Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja, Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan, jld. 1, hlmn. 280.

[3] Ibid.

[4] Al-Ansari, Zakariya Ibn Muhammad, t.t, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 1, hlmn. 411.

[5] Al-Syarbini, Muhammad Ibn Ahmad al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 2, hlmn. 151.