AL-KAFI #1816: HUKUM SOLAT JAMAK DAN QASAR DI ATAS KAPAL LAUT BAGI PELAYAR YANG MUSAFIR

 

AL KAFI 1816

 

Soalan:

Adakah seseorang itu boleh jamak dan qasar ketika mereka bekerja di atas kapal yang berlayar ke dua negara? Sebagai contoh, seorang pekerja kapal yang bekerja di atas kapal melebihi satu bulan dan kapal tersebut berlayar ke 3 buah negara iaitu Malaysia (negara asal pelaut), jepun dan China. Mohon pencerahan daripada pihak mufti. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan:

Seorang pekerja di laut yang berlayar dari satu negara ke satu negara yang lain diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar di atas kapal tersebut kerana telah memenuhi syarat musafir dari sudut perjalanannya yang jauh.

Wallahu A’lam..

 

Huraian jawapan:  

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Di antara syarat-syarat diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan musafir dan panjang perjalanannya. Ia seperti mana di dalam firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat.”

(Surah an-Nisa’: 101)

Ayat berikut menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Imam al Suyuti telah mentafsirkan ayat tersebut di dalam tafsirnya:

{فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاح} أَنَّهُ رُخْصَة لَا وَاجِب

Maksudnya: “(Maka tidaklah berdosa kamu mengqasarkan solat) bahawasanya qasar solat itu adalah rukhsah (keringanan) bukan kewajipan”.

(Rujuk Tafsir al Jalalain: J1/h120) [1]

Oleh itu, diharuskan bagi orang yang berlayar di lautan yang jauh perjalanannya itu menjamak dan qasar solatnya di atas kapal sepanjang perjalanan atau pelayarannya. Hal ini diambil kira dengan jauh pelayaran dari satu negara ke satu negara yang lain telah melebihi jarak 2 marhalah. Bahkan, ia telah melepasi syarat untuk jamak dan qasar bagi solat fardu. Menurut Imam Ibnu Hajar al Haytami, beliau telah menerangkan tentang jarak perjalanan yang sekurang-kurangnya 2 marhalah di dalam karyanya:

أَحَدُهَا سَفَرٌ طَوِيلٌ وَ (طَوِيلُ السَّفَرِ ثَمَانِيَةٌ وَأَرْبَعُونَ مِيلًا)

Maksudnya: “Salah satu (daripada syarat Qasar) ialah : Perjalanan (safar) yang panjang dan jarak perjalanan ialah 48 batu (mile)”.

(Rujuk Tuhfat al Muhtaj: J1/h319) [2]

Oleh yang demikian, dibolehkan bagi seorang pelaut mengerjakan solat fardunya secara jamak dan qasar di atas kapal laut semasa dalam perjalanan selagi mana kapal tersebut tidak berhenti di suatu tempat untuk tempoh masa yang lama, iaitu tempoh bermukim.

Adapun setelah sampai di perhentian atau pelabuhan di suatu negara, maka ia bergantung kepada situasi dan tempoh pelayar itu berada di tempat persinggahan. Sekiranya persinggahan di negara itu melebihi tempoh musafir atau melebihi 3 hari maka ia perlu mengerjakan solat secara tamam (tidak qasar) sebelum bergerak ke negara lain. Perkara ini telah dinyatakan oleh Abu Bakar al-Dimyathi di dalam karangannya:

(وتجب على مقيم بمحل إقامتها) أي ناو الإقامة فيه مدة مطلقة أو أربعة أيام بلياليها

Maksudnya: “(Dan Wajib bagi orang yang bermukim pada tempat mukimnya) iaitu berniat untuk menetap pada suatu tempat untuk satu tempoh yang tertentu atau selama empat hari dan 4 malam.”

(Rujuk I’anah al Tholibin: J2/h64) [3]

 

Kesimpulan:

Berdasarkan hujah dan penerangan di atas:

Seorang pekerja di laut yang berlayar dari satu negara ke satu negara yang lain diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar di atas kapal tersebut kerana telah memenuhi syarat musafir dari sudut perjalanannya yang jauh.

Wallahu A’lam..

 

Nota Hujung:

[1] Al Muhali dan Al Suyuthi. T.Th. Tafsir Al-Jalalain. Cetakan 1. Dar al Hadis: Kaherah.

[2] Al Haytami, Mustafa Muhammad. 1983M/1357H. Tuhfat al Muhtaj Fi Syarh al Minhaj. Maktabah al Tijari al Kubra: Mesir.

[3] Al Dimyaathi, 1418H/1997M. I’anah al Tholibin ‘Ala Hil al-Alfaz Fah al-Mu’in. Dar al Fikr, cetakan 1.


Cetak   Emel