Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Mukaddimah

Seperti yang dimaklumi, isu pemerdagangan manusia ini masih serius mutakhir dan ianya diambil prihatin oleh banyak pihak termasuk pihak kerajaan, pihak penguatkuasa keselamatan, NGO dan masyarakat umum.

Pemerdagangan dan penyeludupan manusia disifatkan sangat zalim. Ia perbuatan kejam dan terkutuk. Disamping itu perlakuan ini dianggap sebagai di luar batas perikemanusiaan. Dalam konteks Islam jelas menunjukkan haram hukumnya pemerdagangan manusia apatah lagi mereka yang merdeka dan hidup dalam negara sendiri dengan bebasnya. Tiba-tiba dijanjikan sesuatu di negara lain sesuatu pekerjaan atau tawaran lumayan di negara lain lantas terperangkap dengan sindiket penyeludupan.

Justeru Bayan Linnas pada kali ini akan membincangkan berkaitan dengan Pemerdagangan Manusia: Hukum dan Penyelesaiannya. Semoga kita mendapat kefahaman yang jelas dalam isu dan hukum ini.

Definisi Pemerdagangan Manusia

Pemerdagangan orang ertinya segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang. (Seksyen 2 Akta Anti pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007).

Pemerdagangan manusia juga adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara tidak sah dan secara paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang).

Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.

Beberapa Istilah dan Persoalan

  1. Contoh-Contoh Kes Pemerdagangan Orang

Antara kes yang pernah dilaporkan:

  • Seorang kanak-kanak telah dipaksa untuk bekerja sebagai buruh paksaan.
  • Seorang wanita yang berasal dari Thailand ditawarkan sebagai tukang urut tetapi dipaksa menjadi pelacur.
  • Seorang wanita Indonesia yang menjadi pembantu rumah telah dikurung dan tidak dibayar gaji. Mangsa yang tidak mempunyai permit kerja yang sah juga diugut akan diserahkan kepada   Jabatan Imigresen Malaysia jika membuat aduan atau melarikan diri.
  • Seorang warganegara India telah dijanjikan pekerjaan sebagai pekerja restoran di Malaysia, namun apabila tiba beliau dipaksa bekerja sebagai buruh binaan tanpa kerelaan.
  1. Apa Itu Eksploitasi?

Segala bentuk eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian, apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia (Seksyen 2 Akta Anti pemerdagangan Orang Dan Anti penyeludupan Migran 2007)

  1. Negara Penerima – Definisi:

Maksudnya suatu negara yang ke dalamnya orang yang diperdagangkan atau migran yang diseludup dibawa sebagai sebahagian daripada perbuatan pemerdagangan orang atau penyeludupan migran, mengikut mana-mana yang berkenaan.

  1. Negara Transit – Definisi:

Maksudnya suatu negara yang darinya, atau yang ke dalam atau melaluinya, orang yang diperdagangkan atau migran yang diseludup, mengikut mana-mana yang berkenaan, dibawa atau membuat perjalanan melalui darat, laut atau udara atau tinggal secara sementara di dalamnya sebagai sebahagian daripada perbuatan pemerdagangan orang atau penyeludupan migran.

  1. Apakah Kaedah Atau Laluan Yang Digunakan?
  2. Udara
         ii. Laut
         iii.Darat

Hukum Pemerdagangan Manusia

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang firman Allah dalam hadis qudsi:

ثَلاثةﹲ أنا خَصْمُهُم يَْوم القيامة ومَن كُنتُ خَصْمَه خَصَمْتُهُ رَجُلﹲ أَعطَى بِيَ العَهْدَ ثم غَدَرَ ورَجُلﹲ باعَ حراً فأكَلَ ثَمْنَهُ ورَجُلﹲاستَأجَرَ أجيراً فاسْتَوفىَ منه ولم يُعْطِهِ أَجْرَه

Maksudnya: "Tiga golongan Aku musuhi mereka di Hari Kiamat dan siapa yang Aku musuhinya nescaya Aku kalahkannya. Lelaki yang memberi bai’ah dengan-Ku kemudian dia memungkirinya. Lelaki yang menjual orang yang merdeka kemudian dia makan harganya dan lelaki yang mengupah seseorang sedangkan orang itu melaksanakan tugasnya kemudian dia tidak membayar upahnya."

Riwayat Bukhari (2227), Ahmad (8677) dan lain-lain

Syarah hadis:

Al-Muhallab berkata: Sesungguhnya besarnya dosa bagi siapa yang menjual orang yang merdeka. Ini kerana semua orang Islam sama sahaja dari sudut kehormatan dan zimmahnya. Sebenarnya orang Islam terhadap orang Islam yang lain hendaklah menolongnya bukan menzaliminya, menasihatinya bukan mengambil kesempatan keatasnya. Justeru tidak ada kezaliman yang lebih besar daripada menjadikan seseorang itu hamba atau membawa kearah itu. Siapa yang menjual orang yang bebas dan merdeka sebenarnya dia telah melakukan perbuatan yang Allah tidak izinkan dan akan membawa kepada kehinaan. Ini termasuk dosa besar.

Ibn Al-Munzir berkata: Setiap yang aku bertemu di kalangan ulama mereka berpendapat, siapa yang menjual lelaki yang merdeka sebenarnya ia tidaklah dipotong tangan dan hanya dikenakan hukuman.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Penjualan tersebut terbatal dan kedua-duanya penjual dan pembeli dikenakan hukuman.

Diriwayatkan daripada Jallas daripada Ali RA bahawa beliau berpendapat: Hendaklah dipotong tangan penjual orang yang merdeka.

Tetapi pendapat yang kuat adalah pendapat ramai di kalangan ulama, iaitu penjual tersebut tidak dianggap pencuri dan tidak harus dipotong tangannya.

Lihat Syarah Sahih Bukhari oleh Ibn Battal, 6/349.

Bagaimana mungkin manusia yang wajib dipelihara haknya untuk hidup dan dimuliakan seperti firman Allah:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً

Surah Al-Isra’: 70

Maksudnya: “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.”

Ayat ini menunjukkan karamah insaniah daripada Allah yang mengurniakan pelbagai keistimewaan dengan akal fikiran, petunjuk hidayat, rupa bentuk, dan pelbagai yang lain sehingga layak menjadi khalifah Allah di muka bumi. Justeru, merendahkan martabat seseorang manusia yang lain dengan menjual dan memperdagangkannya adalah satu jenayah dan pelanggaran hak-hak asasi manusia serta menyalahi nas yang sahih lagi sarih.

Kenyataan Mufti Wilayah

Kami nyatakan dengan tegas bahawa sikap memperdagangkan manusia adalah perbuatan yang amat besar dosanya bahkan dianggap sebagai jenayah oleh undang-undang antarabangsa. Ingatlah, tatkala kita memperdagangkan manusia betapa kita telah menafikan hak kebebasannya sehingga keadaan orang tersebut dilihat lebih hina daripada haiwan. Natijah dari tamak haloba, mereka lupa dosa dan pahala tetapi matlamatnya hanya laba dan keuntungan semata-mata. Bagaimana perasaan orang yang didagangkan, keluarganya dan keseluruhan yang mengenalinya. Sudah tentu merasa hina, tercabar dan amat sedih. Justeru, sebagai seorang Islam, atau sebagai seorang manusia yang mempunyai sifat insani hendaklah menjarakkan diri dan mencegah yang lain daripada memperdagangkan manusia.

Memandangkan masalah pemerdagangan orang adalah merupakan satu isu yang dianggap baru di Malaysia, orang ramai termasuk agensi Kerajaan, pihak swasta dan badan bukan Kerajaan (NGO) tidak begitu menyedari bahaya jenayah ini dan implikasinya kepada keselamatan negara dan hak asasi manusia. Sehubungan itu, program kesedaran awam perlu dilancarkan dan maklumat disebarkan seluas mungkin melalui pelbagai bentuk komunikasi. Usaha-usaha untuk mencegah dan membanteras jenayah ini memerlukan kerjasama dan sokongan semua sektor termasuk penyertaan masyarakat umum. Adalah juga penting untuk program kesedaran tersebut dikoordinasi serta mengambil pendekatan pelbagai sektor yang melibatkan agensi Kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan- pertubuhan antarabangsa dan kumpulan-kumpulan komuniti supaya tindak balas secara kolektif dan positif dapat diperolehi.

Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menerbitkan sebuah manual Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdaganagn Orang (2010-2015) sebagai objektif pelan tindakan kebangsaan dalam menangani isu ini.[1]

Semoga Malaysia bebas daripada pemerdagangan manusia. Tahniah kepada kerajaan Malaysia yang bersungguh-sungguh membanteras pemerdagangan manusia.

Penutup

Pemerdagangan orang merupakan jenayah yang sangat kompleks dan kebanyakannya melibatkan sindiket-sindiket yang beroperasi secara tersusun dalam rangkaian yang sangat luas. Justeru itu, pendekatan yang komprehensif dan tersusun amatlah penting dalam mengekang jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini. Selain itu, kerjasama dan hubungan yang erat di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa amat diperlukan dalam memastikan jenayah ini dapat dibendung.
Kami mengharapkan agar usaha sama seperti ini benar-benar dilaksanakan dengan penuh ketegasan.

Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
06 Jun 2015 bersamaan 18 Syaaban 1436H

[1] Kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Malaysia kerana naik satu tahap ke Tahap Kedua (Tier 2) daripada Tahap Kedua Senarai Pengawasan (Tier 2 Watch List)  dalam Laporan Pemerdagangan Manusia yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) (atau United States’ Department of State) pada 27 Jun 2017 yang lalu. Sebagai rekod, Malaysia pernah menduduki Tahap Ketiga pada tahun 2014 berdasarkan keterangan dalam laman web Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) (http://www.suhakam.org.my/human-trafficking/). Ini menunjukkan peningkatan ini dicapai dengan memperluaskan siasatan pemerdagangan manusia, pendakwaan dan sabitan kesalahan berbanding sebelumnya. Rujuk laporan lengkap JNAS di pautan berikut: https://goo.gl/TweUhQ