Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

Soalan: Apakah dibolehkan mendoakan kepada bukan Islam ketika bersin?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Timizi di dalam Sunannya:

 

  • Daripada Abu Musa RA berkata:

 

كَانَ اليَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ: يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، فَيَقُولُ: يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya: “Adapun orang Yahudi seding bersin di sisi Nabi SAW dan mereka mengharapkan agar Nabi SAW mengucapkan kepada mereka “Semoga kamu dirahmati Allah”, maka Nabi SAW berkata: “Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu”. [Riwayat Imam al-Tirmizi (2739)][Hadith ini dinilai Hasan Sahih oleh Imam al-Tirmizi]

 

Berdasarkan hadith ini, ia menunjukkan bahawa kita tidak dibolehkan mendoakan kerahmatan dan keampunan kepada orang selain daripada Islam. Bahkan kita dituntut untuk mendoakan kepada mereka agar dikurniakan hidayah ke jalan yang benar.

 

Jawapan Bagi Orang Islam Apabila Didoakan

Menurut Ibn Batthal, jumhur berpandangan bahawa jawapan orang yang bersin ketika menjawab doa orang yang mendoakan kepadanya adalah dengan “يَهْدِيكُمِ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” yang bermaksud “semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu”. Akan tetapi, ahli Kufah berpandangan bahawa jawapan orang bersin ketika menjawab adalah “يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ” yang bermaksud “semoga Allah mengampun kita dan kamu”. Ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabari daripada Ibn Mas’ud dan Ibn Umar serta selain daripada mereka berdua. Telah berpandangan Malik dan al-Syafie bahawa boleh dipilih antara kedua lafaz tersebut. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 12/8]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita dibolehkan untuk mendoakan kepada orang bukan Islam apabila bersin. Akan tetapi, kita perlulah mendoakan hidayah kepada mereka bukannya rahmat dan keampunan. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampunkan dosa-dosa kita serta menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hambanya yang beriman. Amin.

 

Wallahua’lam