Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-306: HADITH 73 GOLONGAN

 

ih306_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah status dan makna hadith tersebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan beberapa matan hadith yang membicarakan berkaitan 73 golongan tersebut. Antaranya adalah:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً

Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan. [Riwayat Abu Daud (4596)]

 

  • Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufian RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ افْتَرَقُوا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ: ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 atau 73 golongan. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. &2 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jemaah.” [Riwayat Abu Daud (4597)]

 

  • Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً، قَالُوا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

Maksudnya: “Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku.” [Riwayat al-Tirmizi (2641)]

 

  • Daripada ‘Auf bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Dan demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Satu kumpulan sahaja yang akan ke syurga dan 72 kumpulan lagi akan dimasukkan ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: al-Jamaah.” [Riwayat Ibn Majah (3992)]

 

Melihat kepada beberapa matan hadith di atas, dapat kita fahami bahawa hadith yang membicarakan berkaitan agama Islam akan berpecah kepada 73 golongan diriwayatkan lebih daripada seorang sahabat iaitu Abu Hurairah, Mu’awiyah dan Abdullah bin ‘Amr R.anhum. Adapun berkaitan hukum atau status hadith di atas, riwayat Abu Hurairah RA dinilai sebagai sahih dan riwayat Mu’awiyah RA pula sanadnya adalah hasan (baik) menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh ketika mengtakhrijkan hadith-hadith di dalam Sunan Abi Daud. Selain itu, riwayat Abdullah bin ‘Amr RA dinilai sebagai gharib oleh Imam al-Tirmizi dan Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan bahawa di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang dhaif. Akan tetapi, Syeikh al-Albani menghukum hadith tersebut (riwayat Abdullah bin ‘Amr) sebagai hasan. Manakala riwayat ‘Auf bin Malik sanadnya tidak mengapa sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz Imam Ibn Kathir.

Justeru, kami katakan bahawa hadith-hadith atau riwayat-riwayat yang membicarakan berkaitan berpecahnya umat Nabi Muhammad SAW kepada 73 golongan adalah sahih dengan kesemua riwayat-riwayat tersebut.

Antara Sebab-Sebab Berlakunya

Di sini kami sertakan beberapa sebab-sebab utama munculnya perpecahan:

  • Tidak kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah

Hal ini ada dinyatakan dan ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran agar kita berpegang teguh dengan jalan Allah iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah SWT:

 

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

al-An’am:153

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus. Maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) akan mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa.”

 

  • Tidak Mengambil Keseluruhan Agama Itu

Perkara ini juga merupakan di antara sebab utama berlakunya perpecahan iaitu mengambil sebahagian daripada agama dan meninggalkan sebahagian yang lain. Inilah yang berlaku kepada golongan Nasrani

Firman Allah SWT:

 

وَمِنَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ أَخَذْنَا مِيثَاقَهُمْ فَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

al-Maidah:14

Maksudnya: “Dan di antara orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani, Kami juga telah mengambil perjanjian setia daripada mereka. Maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya. Lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka sampai ke hari kiamat.”

 

  • Kejahilan

Kejahilan merupakan salah satu faktor yang akan menatijahkan kepada perpecahan kerana ia tidak didasari dengan ilmu. Selain itu, di antara tanda kiamat akan berleluasanya kejahilan dan ilmu pula akan diangkat.

 

Perpecahan Golongan Yang Terselamat Itu

Setelah kami menyatakan beberapa sebab atau faktor berlakunya perpecahan, maka di sini kami ingin menyatakan berkaitan golongan yang terselemat ini. Ini kerana, para ulama’ berbeza pendapat dalam memahami maksud hadith ini sebagaimana mereka juga berbeza pandangan pada permasalahan status hadith ini. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa umat yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah umat yang diseru oleh Nabi SAW agar beriman kepada Allah serta bersaksi akan keesaan-Nya. Adapun di antara mereka itu hanya terdapat satu golongan sahaja yang terselamat iaitu golongan yang beriman dengan segala yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Imam al-San’ani antara yang menerima tafsiran seperti ini. Akan tetapi, hadith menunjukkan bahawa umat akan berpecah dan hadith membicarakan berkaitan apa yang berlaku di masa akan datang. Untuk itu, tafsiran yang mengatakan bahawa umat di dalam hadith tersebut adalah umat yang didakwah atau yang diseru agar mereka beriman tetapi mereka ingkar adalah tidak tepat. Tambahan pula, terdapat juga hadith yang menceritakan bahawa golongan Yahudi dan Nasrani juga akan berpecah. Umum mengetahui bahawa kedua golongan ini merupakan umat yang didakwah. Justeru itu, tafsiran umat di dalam hadith yang lebih tepat dengan maksud adalah umat yang menyahut seruan atau dakwah Nabi SAW.

Selain itu, Imam al-Syatibi di dalam kitabnya al-I’tisam ada menyatakan beberapa pendapat berkaitan golongan yang berjaya ini. Beliau menyatakan bahawa telah berlaku perselisihan dalam kalangan ahli ilmu dalam menentukan maksud “Jemaah (sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat ‘Auf bin Malik di atas)” iaitu:

  • Pertama: Al-Sawad al-A’zham adalah golongan yang berjaya dan barangsiapa berada bersama mereka ini pada perkara atau urusan agama maka dia berada bersama kebenaran. Al-Sawad al-A’zham juga adalah golongan majoriti yang mana di dalamnya terdapat mujtahid-mujtahid ummah, ahli syariat yang beramal dengannya dan selain daripada itu termasuk di bawah kumpulan ini kerana mereka ini hanya mengikut para imam dan ahli-ahli syariat. Pendapat ini disokong oleh Abu Mas’ud al-Ansari dan Ibn Mas’ud.
  • Kedua: Imam-Imam daripada kalangan ulama’ yang mujtahid iaitu para imam dan ahli ilmu yang mengikut petunjuk daripada al-Quran dan al-Sunnah. Antara yang cenderung kepada pandangan ini adalah Abdullah bin al-Mubarak, Ishak bin Rahawaih dan sebahagian daripada salaf serta ini merupakan pandangan ahli usul.
  • Ketiga: Para sahabat Nabi SAW kerana merekalah yang mendirikan tiang-tiang agama dan memperkukuhnya. Pendapat ini bertepatan dengan riwayat yang menyatakan bahawa golongan yang berjaya itu adalah “مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي” iaitu sesiapa yang berpegang teguh dengan sunnah Nabi SAW dan para sahabatnya. Ini juga merupakan pandangan Umar bin Abdul Aziz.
  • Keempat: Jemaah umat Islam adalah apabila mereka bersepakat di atas satu ketua maka wajib ke atas yang lain untuk bersama dengan pemimpin tersebut. Untuk itu, Jemaah yang dimaksudkan adalah kembali kepada kesepakatan ke atas imam yang bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Demikian itu adalah beberapa pandangan atau pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ dalam memahami hadith berkaitan perpecahan ini. Namun, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam satu wawancara pernah diajukan soalan berkaitan hadith ini. Pandangan beliau berkaitan hadith ini adalah terdapat tambahan daripada perawi di dalam matan hadith ini iaitu lafaz “semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Selain itu, beliau ada membahaskan dengan panjang lebar berkaitan hadith ini di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah. Beliau juga berkata hadith ini menimbulkan kemusykilan. Pada satu aspek ia menyatakan bahawa perpecahan umat Islam lebih banyak berbanding perpecahan yang berlaku pada golongan Yahudi dan Nasrani dan dari aspek yang lain pula ia menyatakan kesemuanya akan masuk ke dalam neraka melainkan satu golongan sahaja. Pernyataan seperti ini akan membuka ruang untuk setiap golongan mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang selamat dan yang lain-lain daripada mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Ia jelas akan membawa kepada perpecahan umat serta permusuhan.

Jika kita menerima hadith ini sebagaimana sebahagian ulama’ yang menerima hadith ini, maka ia seperti satu peringatan kepada kita agar umat Islam wajib untuk mementingkan perpaduan di dalam hidup. Asas kepada perpaduan itu ialah mengikut ajaran Islam secara serius berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Hadith-hadith ini juga mengingatkan kepada kita bahawa perpecahan boleh berlaku jika umat Islam tidak berhati-hati.

Syeikh Yusuf Qardhawi merumuskan dengan menyatakan bahawa hadith-hadith itu tidak menunjukkan bahawa perpecahan yang berlaku itu akan kekal sehingga ke hari Akhirat. Apabila muncul perpecahan dalam kalangan umat Islam cukuplah ia menjadi bukti akan kebenaran hadith ini. Ini kerana, mungkin sebahagiannya telah muncul dan kemudian ia berjaya ditumbangkan oleh kebenaran sehingga ia lenyap selama-lamanya.

Setelah melihat kepada beberapa pandagan berkaitan hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith tersebut adalah sahih dengan sokongan riwayat-riwayat yang lain. Pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di atas merupakan salah satu ijtihad beliau dalam memahami hadith ini. Sememangnya kita umat Islam dituntut agar sentiasa bersatu dan menjauhkan diri daripada perpecahan. Ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

 

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

ali-Imran:103

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah-belah.”

 

  • Firman Allah SWT:

وَإِنَّ هَـٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ

al-Mukminun:52

Maksudnya: “Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah umat (agama) kamu - agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka bertaqwalah kamu kepada-Ku.”

 

Kedua ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran melarang umat Islam itu berpecah-belah antara satu sama lain serta seruan agar mereka sentiasa bersatu-padu dan sentiasa berpegang kepada agama Islam. Selain itu juga, al-Quran mengajar kita dengan memberi jalan keluar jika timbul sesuatu permasalahan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

al-Nisa’:59

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

 

Penutup

Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang menentang segala perkara yang membawa kepada perpecahan. Ini kerana, Islam amat menitikberatkan perpaduan dalam kalangan umatnya sama ada sesama Islam atau sebaliknya. Selain itu, golongan yang terselamat sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadith menurut pandangan kami adalah golongan yang berpegang teguh dengan al-Quran, Sunnah Nabi SAW dan golongan yang mengikuti jejak langkah para sahabat Nabi SAW. Hal ini kerana, Nabi SAW sendiri mengakui bahawa kurun yang terbaik adalah tiga kurun yang pertama dan ia termasuklah kurun para sahabat Nabi SAW. Tambahan pula, antara perkara penting juga untuk dilihat adalah pesanan Nabi SAW berkaitan punca musnahnya kaum atau umat terdahulu adalah disebabkan banyak bertanya dan berselisih dengan para anbiya’:

Sabda Nabi SAW:

 

إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang menyebabkan orang-orang terdahulu binasa adalah kerana banyak pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.” [Riwayat al-Bukhari (7288)]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan umat Nabi Muhammad yang berpegang teguh pada al-Quran dan al-Sunnah serta terselamat daripada segala bentuk perpecahan dan perselisihan. Amin.

 

Wallahua’lam