Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IH_470.JPG

Soalan :

Assalamualaikum Datuk. Maaf menganggu. Boleh atau tidak Datuk jelaskan kelebihan dan kedudukan isteri-isteri Nabi yang digelar Ummahatul Mukminin di dalam islam. Ini kerana ada sebahagian golongan yang cuba merendah-rendahkan dan mencaci sebahagian isteri Nabi SAW terutamanya yang dilakukan oleh golongan syiah. Terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Beriman dengan Nabi SAW merupakan pokok iman yang tidak boleh dinafikan. Tidak beriman dengan Nabi boleh menyebabkan kita terkeluar dari daerah keimanan.  Bukan itu sahaja, bahkan kita diwajibkan untuk memuliakan Nabi SAW sesuai dengan firman Allah SWT :

فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ

Maksudnya : “Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Al-‘Araf : 157)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut makna daripada ayat tersebut ialah orang-orang yang beriman dengan Rasul yang Ummiy iaitu Nabi SAW ketika mana ianya diutuskan. Mereka ini membantu Baginda dengan menghalang dan mempertahankan Nabi dari sesiapa yang cuba untuk menyakiti Nabi kerana di dalam diri mereka ada sifat memuliakan Nabi SAW. Tidak seperti mempertahankan pemerintah dalam keadaan benci dan tidak suka. Mereka juga menolong Nabi dengan pelbagai wasilah sama ada dengan lisan atau tulisan dan mereka juga mengikut cahaya kebenaran  iaitu Al-Quran yang telah diturunkan tatkala Nabi SAW diutuskan. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 9/83).

Melalui ayat ini maka haram bagi sesiapa untuk memperlekeh dan menghina Nabi SAW dengan apa cara sekalipun. Ini dijelaskan lagi oleh Allah di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT :

وَمِنْهُمُ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلنَّبِىَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِٱللَّـهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ ۚ وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ ٱللَّـهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya : “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah Al-Taubah : 61)

Sheikh Tohir Ibnu ‘Asyur menyebut bahawa ayat ini adalah peringatan bagi sesiapa yang menyakiti Rasulullah dengan apa cara sekalipun termasuklah menghina. Orang yang melakukan perkara yang sedemikian dia akan mendapat azab Allah SWT di dunia dan juga di akhirat. (Rujuk Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aqlu Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 10/136).

Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman :

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّـهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّـهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.”

(Surah Al-Ahzab : 57)

Oleh kerana itu, apa sahaja bentuk penghinaan sama ada berbentuk tulisan, perkataan, lukisan dan sebagainya adalah satu perbuatan yang dianggap tidak memuliakan SAW serta merendahkan kedudukan Baginda SAW sebagai seorang Rasul utusan Allah. Kami pernah mengulas berkenaan hukum menghina Rasulullah di dalam beberapa ruangan artikel. Antaranya :

  • Bayan Linnas siri ke 55 : Rasulullah SAW : Jangan sekali-kali menghina Baginda.[1]
  • Bayan Linnas siri ke 174 : Karikatur dan penghinaan terhadap Rasulullah SAW.[2]
  • Irsyad Al-Fatwa siri ke 297 : Adakah penghina Rasulullah SAW halal darahnya?.[3]

Dan di antara cara memuliakan Nabi SAW adalah dengan memuliakan dan menghormati kedudukan isteri-isteri Nabi SAW. Menjadi kewajipan setiap muslim pada setipa tempat dan masa untuk memuliakan Nabi. Ini kerana Allah menggelarkan isteri-isteri Nabi sebagai ibu bagi orang yang beriman (Ummahatul Mukminin). Firman Allah SWT :

ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَـٰتُهُمْ

Maksudnya : “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka."

(Surah Al-Ahzab : 6)

Sheikh Sya’rawi ketika mengulas berkenaan dengan ayat ini, beliau mengatakan bahawa setiap isteri Rasulullah adalah merupakan ibu bagi kesemua orang yang beriman. Oleh itu cara bermuamalah dengan mereka bukan sahaja sebagai isteri Nabi akan tetapi sebagai ibu-ibu. (Rujuk Tafsir Al-Sya’rawi, hlm 3464).

Melalui ayat ini, maka selayaknya isteri-isteri Nabi SAW dimuliakan dan dihormati sebagaimana seorang ibu. Tidak boleh mencelanya apatah lagi melaknat seperti mana yang dilakukan golongan Syiah terhadap Aisyah R.anha. Orang yang berakal waras tidak akan sesekali menghina dan merendah-rendahkan ibunya sendiri. Inilah yang dijelaskan oleh Imam Al-Baidhawi ketika beliau menafsirkan ayat tersebut. Beliau menyebut :

“Kedudukan isteri-isteri Nabi sebagai ibu selayaknya mendapat kemuliaan dan penghormatan.” (Rujuk Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil, 3/129)

Melalui ayat ini juga mengukuhkan lagi kemuliaan isteri-isteri Nabi SAW di mana mereka tidak boleh dikahwini. Imam Al-Qurtubi menyebut bahawa haram bagi mana-mana lelaki untuk mengahwini isteri-isteri Nabi selepas kewafatan Baginda. (Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 14/123).

Di samping itu, Allah menyebut bahawa isteri-isteri Nabi tidak seperti wanita-wanita lain bahkan Allah memanggil isteri-isteri Baginda dengan sebaik-baik panggilan. Ini adalah satu pengiktirafan akan kedudukan dan kemuliaan mereka.Firman Allah SWT :

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآء إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ

Maksudnya : “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa…”

(Surah Al-Ahzab : 32)

Al-Alusi di dalam tafsirnya menyebut bahawa isteri-isteri sama sekali tidak sama dengan wanita-wanita yang ada di zamannya. Mereka mendapat dua kemuliaan, pertama menjadi isteri Nabi SAW dan yang kedua menjadi ibu-ibu bagi orang mukmin.(Rujuk Ruh Al-Ma’ani Fi Tafsir Al-Quran Al-‘Azim Wa Al-Sab’i Al-Mathani, 11/185).

Panggilan يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ iaitu ‘wahai isteri-isteri Nabi’ juga secara zahirnya sudah menjelaskan kemuliaan mereka. Ini kerana ianya dinisbahkan kepada Nabi SAW yang sudah pasti mempunyai keistimewaan.

Lebih penting daripada itu, mereka adalah merupakan ahlul bait Nabi SAW. Ada sebahagian pihak yang cuba menafikan kedudukan sebahagian daripada ummahatul mukminin sebagai ahlul Bait. Allah SWT mengiktiraf isteri-isteri Nabi SAW sebagai ahlul bait tanpa dikecualikan seorang pun. Firman Allah SWT :

وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّـهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّـهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)."

(Surah Al-Ahzab : 33)

Ibnu Kathir menyebut bahawa ayat ini khususnya ayat yang akhir diturunkan dan dikhususkan kepada isteri-isteri Nabi SAW (Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 3/584).

Sebarang usaha untuk menafikan kedudukan ummahatul mukminin sebagai ahlul bait adalah satu perkara yang secara jelas bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.

Berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran yang telah kami sebutkan, maka tidak boleh mencela, menghina atau merendahkan-rendahkan mana-mana isteri Nabi SAW dengan apa bentuk sekalipun. Bahkan mereka-mereka yang cuba untuk menghina isteri boleh dipertikaikan keimanan mereka. Imam Al-Tahawi menyebut :

“Sesiapa yang memperelokkan kata-katanya terhadap para sahabat dan juga para isteri Nabi yang mulia lagi suci serta zuriatnya dan menjauhkan diri dari menyebut perkataan yang buruk tentang mereka, maka dia telah bebas daripada kemunafikan.” (Rujuk Al-Akidah Al-Tohawiyah, hlm 30)

Ibnu Al-Qudamah menyebut :

“Di antara perkara yang membezakan seorang itu ahli sunnah ialah menyebutkan taradhi (lafaznya رضي الله عنه atau رضي الله عنها) pada kesemua isteri-isteri Nabi SAW yang merupakan ibu bagi sekalian orang yang beriman. Mereka bebas dan suci daripada melakukan perkara yang buruk.” (Rujuk Lum’ah Al-‘Iktikad Al-Hadi Ila Sabil Al-Rasyad, hlm 31)

Mereka bukan sahaja menjadi isteri Nabi akan tetapi juga banyak membantu dan memberi buah fikiran yang bernas demi kesejahteraan dan maslahat umat islam. Perkara ini dapat dilihat menerusi satu peristiwa yang berlaku pada tahun 6 Hijrah ketika berlakunya perjanjian hudaibiyah.  Ketika mana telah berlaku satu perjanjian di antara orang musyrikin Quraisy dengan Nabi SAW di Hudaibiyah, Nabi menyebut kepada para sahabat yang ada pada ketika itu :

قوموا فانحروا ثم حلقوا

Maksudnya : “ Bangunlah dan sembelihlah kemudian bercukurlah.”

Nabi SAW mengatakan demikian adalah kerana umat Islam tidak dibenarkan untuk menunaikan umrah pada tahun. Namun begitu, tiada seorang pun yang bangun walaupun Nabi SAW menyebutnya sebanyak tiga kali. Lalu Nabi SAW masuk ke dalam khemahnya dan pada ketika itu terdapat Ummu Salamah R.anha. Lantas Nabi SAW menceritakan apa yang berlaku kepada Ummu Salamah. Ummu Salamah dengan kecerdikannya menyebut kepada Nabi SAW :

يا نبي الله أتحب ذلك اخرج ثم لا تكلم أحدا منهم كلمة حتى تنحر بدنك وتدعو حالقك فيحلقك

Maksudnya : “ Wahai Nabi Allah, adakah engkau suka keadaan yang sebegitu. Keluarlah kemudian jangan bercakap dengan sesiapa pun walaupun satu perkataan sehinggalah engkau menyembelih unta dan memanggil tukang cukup untuk mencukur.”

Lalu Nabi SAW keluar dari khemahnya, Baginda tidak bercakap dengan sesiapa pun. Lalu Baginda menyembelih dan bercukur. Perkara ini disaksikan oleh Sahabat. Melihat Nabi SAW melakukan perkara yang sedemikian menyebabkan para Sahabat melakukan perkara yang sama. (Rujuk Ma’alim Al-Tanzil, hlm 1212).

Kisah ini dinukilkan oleh Al-Baghawi di dalam tafsirnya. Ianya memperlihatkan kecerdasan isteri Nabi iaitu Ummu Salamah membantu Nabi SAW menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Inilah tugas para ummul mukminin. Mereka bukan sahaja duduk di rumah namun turun menemani dan membantu Nabi SAW sekaligus memberi idea-idea yang bersifat menyelesaikan.

Lebih daripada itu, mereka juga berperanan menyebarkan hadis Nabi SAW dan ilmu. Bahkan ada di antara mereka yang menjadi rujukan para sahabat yang lain. Setiap  daripada mereka memainkan peranan menyebarkan ilmu terutamanya hadis Nabi SAW. Yang paling menyerlah ialah Aisyah R.anha. Kata Urwah Bin Zubair :

ما رأيت أحدا أعلم بفقه ولا بطب ولا بشعر من عائشة

Maksudnya : “ Aku tidak melihat orang yang lebih alim di dalam fiqh, perubatan dan syair arab daripada Aisyah.” (Rujuk  Usdu Al-Ghabah Fi Ma’rifah Al-Sahabah, 1/1384).

Beliau juga di antara yang banyak menghafal hadis Nabi SAW iaitu sebanyak 2210 buah hadis.

Bukan sahaja Aisyah, bahkan ummahatul mukminin yang lain juga berperanan menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Para sahabat dan sahabiah sentiasa merujuk kepada mereka apa sahaja permasalahan di dalam agama. (Rujuk Ummahatul Mukminin Fi Madrasah Al-Nabawiyah, hlm 5).

Kesimpulannya, ummahatul mukminin mempunyai kedudukan yang sangat mulia di dalam agama. Oleh itu, hanya orang yang jahil sahaja yang akan mempertikai, mencerca dan menghina ibu-ibu bagi orang yang beriman. Begitu juga menjadi kewajipan kepada setiap muslim untuk mengenali setiap isteri Nabi SAW. Memuliakan mereka adalah satu perbuatan yang juga memuliakan Nabi SAW. Menghina mereka sama seperti menghina Nabi SAW.

Semoga Allah mengumpulkan kita bersama Nabi SAW di syurga kelak. Wallahu’alam.

 

[1]https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1776-bayan-linnas-siri-55-rasulullah-saw-jangan-sekali-kali-menghina-baginda

[2]https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3242-bayan-linnas-siri-ke-174-karikatur-dan-penghinaan-terhadap-rasulullah-saw

[3]https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3208-irsyad-al-fatawa-siri-ke-297-adakah-penghina-rasulullah-saw-halal-darahnya