Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IH 494

Soalan:

Bolehkah diterangkan serba sedikit ketokohan dan sumbangan Imam Abu Hanifah dalam bidang hadith? Jazakallah khair.

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 

Kedudukan dan Kelebihan Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanifah dilahirkan di Kufah, Iraq, pada tahun 18 Hijrah. Nama sebenar beliau ialah Al-Nu’man bin Thabit bin Marzuban. Beliau berketurunan Parsi dan datuknya memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab.

Imam Abu Hanifah mendapat didikan daripada para ulama tabi’in yang hebat, antaranya ialah Hammad bin Abi Sulaiman, Ato’ bin Abi Rabah, Abdul Rahman bin Hurmuz, Ikrimah, Nafi’, Amru bin Dinar dan Qatadah. Terlalu banyak pujian yang dinukilkan oleh para ulama yang sezaman dengannya, antaranya ialah:

Kata Ali bin ‘Asim: “Jika ditimbang ilmu Abu Hanifah dengan ilmu ulama pada zamannya, nescaya ilmu beliau akan lebih berat timbangannya”.

Kata Abdullah bin al-Mubarak: “Beliau merupakan manusia yang paling faqih”.

Kata Imam al-Syafi’e: “Manusia bergantung dan terhutang budi kepada Abu Hanifah dalam bidang fiqh”. (Rujuk Siyar A’lam al-Nubala’ 6/390-403)

Kata Imam Ibn Abd al-Barr: “Orang yang memuji (melakukan ta’dil) kepada Abu Hanifah adalah lebih ramai berbanding mereka yang mengkritik (melakukan jarh) terhadap beliau. (Rujuk Jami’ al-Bayan wa Fadhlihi, hlm. 153)

Seperti lazimnya, seorang guru yang hebat akan melahirkan pula anak-anak murid yang hebat. Antara anak murid beliau yang terkenal ialah Zufar bin Huzail, Qadhi Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Sufyan al-Thawri, Abdullah bin al-Mubarak, Waki’ bin Jarrah, Yazid bin Harun, Nuh bin Abi Maryam dan lain-lain.

 

Fokus dan Penguasaan Imam Abu Hanifah terhadap Bidang Hadith

Kata Imam Abu Hanifah: “Manusia berada dalam kebaikan selagi ada dalam kalangan mereka yang mempelajari hadith. Apabila mereka mempelajari ilmu tanpa hadith, nescaya mereka akan binasa”. Beliau juga pernah berkata: “Hendaklah kalian mengikut sunnah Rasulullah SAW, barangsiapa yang keluar daripada jalan ini, dia akan tersesat”.  (Rujuk Al-Mizan al-Kubra, 1/50-51)

Kata Yahya bin A’zham: Abu Hanifah telah menghimpunkan seluruh hadith yang ada di Kufah pada zamannya. (Rujuk Tarikh al-Asmaa’ Al-Thiqaat hlm. 325)

Imam al-Zahabi pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah telah mempelajari hadith selama lima puluh tahun, iaitu bermula pada tahun 100H hingga saat kematian beliau. (Rujuk Siyaar A’lam al-Nubalaa’ 6396) Melihatkan kepada panjangnya masa beliau mempelajari hadith, maka adalah amat sukar diterima pandangan yang menyatakan bahawa beliau seorang yang lemah dalam bidang hadith.

Perlu diketahui juga bahawa fiqh Imam Abu Hanifah berdiri di atas hadith-hadith sahih. Kerana itulah Al-Sayyid al-Murtadha al-Zabidi telah mengarang sebuah kitab yang berjudul ‘Aqd al-Jawahir al-Munifah fi Adillah Abi Hanifah yang menghimpunkan hadith-hadith di dalam Musnad Abu Hanifah yang turut termuat di dalam kutub al-sittah.

Kata al-Hafiz Muhammad bin Yusuf al-Solihani:

“Sesungguhnya Imam Abu Hanifah merupakan antara al-hafiz dalam bidang hadith, diriwayatkan bahawa beliau telah mengambil hadith daripada 4 ribu guru daripada kalangan tabi’in dan lain-lain, dan ia dinyatakan sendiri oleh Imam al-Zahabi dalam kitab al-Mumti’ dan Tobaqat al-Huffaz min al-Muhaddithin. Jika beliau tidak banyak fokus terhadap hadith, nescaya beliau tidak akan mampu mengistinbatkan hukum-hakam fiqh.

Adapun tentang sedikitnya riwayat hadith daripada beliau, itu tidak menunjukkan sedikitnya hadith yang beliau ketahui, namun ia adalah berpunca daripada dua sebab, (salah satunya ialah) ia menunjukkan bahawa fokus utama beliau ialah terhadap istinbat daripada hadith-hadith tersebut, bukan meriwayatkannya, dan hal ini juga sama seperti Imam Malik dan Imam Syafi’e yang tidak banyak meriwayatkan hadith kepada anak murid mereka.” (Rujuk ‘Uqud al-Jaman fi Manaqib al-Imam al-A’zham Abi Hanifah al-Nu’man hlm. 319)

Abu Hanifah juga diiktiraf sebagai seorang yang pakar dalam bidang ilmu rijal (ilmu tentang perawi hadith). Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Yahya al-Hammani, bahawa dia mendengar Abu Hanifah berkata: aku tidak pernah melihat seorang pendusta yang lebih teruk daripada Jabir al-Ju’fi, dan aku tidak pernah melihat seorang yang lebih jujur daripada Ato’. Ini menunjukkan Imam Tirmizi sendiri mengiktiraf pandangan Imam Abu Hanifah dalam menilai perawi. Begitu juga dengan banyak riwayat lain yang jelas menunjukkan beliau seorang yang berpengetahuan tinggi dalam menilai status para perawi hadith, sekaligus melayakkan beliau untuk diiktiraf sebagai seorang imam dalam ilmu al-jarh wa al’ta’dil. (Rujuk Qawa’id fi ‘Ulum al-Hadith hlm. 331)

Imam Abu Hanifah juga terkenal sebagai seorang yang sangat ketat syaratnya dalam menerima sesebuah hadith. Antara syarat yang beliau letakkan ialah sesebuah hadith mesti diriwayatkan melalui hafalan perawi. (Rujuk Muqaddimah Ibn Solah, hlm. 208)

Imam al-Mu’allimi pula mengulas:

“Imam Abu Hanifah melazimi Hammad bin Sulaiman untuk satu tempoh yang lama, dan Hammad merupakan seorang yang banyak menghafal hadith.

Adapun sedikitnya hadith yang diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah tidak menunjukkan kepada sedikitnya hadith yang dihafal oleh beliau; ini kerana beliau terkenal tidak memfokuskan diri dalam menyampaikan hadith, sebaliknya lebih fokus kepada istinbat hukum daripada hadith.

Begitu juga tidak disyaratkan untuk seorang ‘alim itu untuk menghimpun dan menghafal seluruh hadith yang ada, bahkan mencukupi baginya untuk berfatwa apabila dia menguasai ilmu al-Qur’an dan ada padanya sejumlah hadith yang cukup untuknya mencapai kebenaran melalui ijtihad. Apabila dia berhadapan dengan suatu isu yang tidak dijumpai dalam al-Qur’an dan al-hadith yang ada padanya, dia boleh bertanya kepada ulama yang ‘alim dalam hadith dan jika tiada juga dia boleh berijtihad; dan inilah yang Imam Abu Hanifah amalkan.

Bahkan ramai perawi hadith yang masyhur yang datang belajar di halaqah beliau seperti Mus’ir dan Mandal. Berkenaan dakwaan pandangan beliau yang bercanggah dengan hadith, maka bilangannya adalah amat sedikit, dan tidaklah beliau sengaja menyanggahi hadith dalam pandangan-pandangannya. (Rujuk Al-Anwar al-Kasyifah, hlm. 52)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, ketokohan dan sumbangan Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit telah diiktiraf oleh para ulama sejak zaman-berzaman. Penguasaan beliau dalam ilmu hadith mencakupi sudut penilaian terhadap perawi (ilmu rijal hadith) serta fiqh dan kefahaman terhadap hadith.

Wallahu a’lam.