Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-164: MANDI PADA HARI JUMAAT

 

 

Soalan: Apakah hadith yang menunjukkan sunat mandi pada hari Jumaat?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

  • Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْغُسْلُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ

Maksudnya: “Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang baligh”. [Riwayat Muslim (846)]

Imam al-Nawawi mengatakan yang pertama, zahir hadith menunjukkan bahawa mandi disyariatkan bagi sesiapa yang ingin hadir Jumaat daripada kalangan lelaki samada baligh, bayi dan mumayyiz. Kedua adalah, yang jelas (di dalam hadith ini) adalah bagi orang yang baligh.

Tambahan pula, mandi ini digalakkan bagi sesiapa yang ingin hadir ke solat Jumaat dan ditekankan pada hak lelaki itu lebih dituntut berbanding wanita. Ini kerana, berwangian bagi wanita itu lebih dekat (berbanding lelaki). Ditekankan juga pada hak orang yang baligh itu lebih dituntut berbanding bayi. Dan ini adalah mazhab (pendapat mazhab) kami yang masyhur bahawa digalakkan bagi setiap yang ingin ke solat Jumaat. Terdapat satu pendapat daripada ashab kami (ulama’ bermazhab syafi’e) iaitu mandi ini khas bagi lelaki dan terdapat satu pendapat lagi bahawa digalakkan bagi sesiapa yang wajib Jumaat bukannya wanita, bayi, hamba dan musafir.  Satu lagi pendapat digalakkan bagi setiap orang pada hari Jumaat samada ingin hadir Jumaat atau tidak seperti mandi hari Raya yang disunatkan kepada semua orang. Walaubagaimanapun, pendapat yang pertama adalah lebih sahih. [Lihat: al-Minhaj, 134-135/6]

Di sini kami datangkan perbahasan berkaitan mandi sunat hari Jumaat berdasarkan kitab Fiqh al-Manhaji: [Lihat: Fiqh al-Manhaji, 84-85/1]

Pensyariatan Mandi Sunat Hari Jumaat

Sunat mandi pada hari Jumaat bagi mereka yang mendirikan solat Jumaat sekalipun solat tersebut tidak wajib atas mereka, seperti orang musafir, perempuan dan kanak-kanak. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa mandi pada hari Jumaat, sunat bagi sesiapa sahaja sama ada yang mendirikan solat Jumaat ataupun tidak. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْتِىَ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ

Maksudnya: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat dia hendaklah mandi”.

[Riwayat Muslim (844)]

 

Waktu Mandi Sunat Jumaat

Waktu mandi sunat Jumaat adalah bermula masuk waktu azan solat Subuh. Walaubagaimanapun, mandi ketika hampirnya waktu mendirikan solat Jumaat adalah lebih baik. Ini kerana lebih dekat kepada tujuan mandi tersebut, iaitu mengharumkan bau badan, menghilangkan peluh dan bau busuk. Islam menggalakkan manusia mandi sunat Jumaat disebabkan berhimpunnya mereka pada hari tersebut supaya tiada sesiapa terganggu dengan bau yang tidak menyenangkan. Disebabkan itu juga, Rasulullah SAW melarang memakan bawang putih dan bawang merah bagi sesiapa yang ingin hadir untuk mendirikan solat di masjid.

Penutup

Kesimpulannya, mandi pada hari Jumaat adalah disunatkan sebagaimana yang terdapat di dalam hadith-hadith yang sahih. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim perlulah beramal dengan setiap yang datang kepada kita daripada Nabi SAW. Akhirnya,  semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa beramal dengan sunnah-sunnah Nabi SAW. Amin.

Wallahua’lam