IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-41: HUKUM MENJUAL DAGING KORBAN

 

daging_korban.png

SOALAN

Assalamualaikum,

Saya telah mendapat beberapa KG daging korban, saya kekurangan duit, bolehkah saya menjualnya bagi mendapatkan duit?

Terima kasih

JAWAPAN RINGKAS

Perbuatan menjual kembali daging korban yang diperolehi adalah dilarang jika penerima daging korban tersebut ialah daripada golongan yang kaya. Manakala jika penerima tersebut daripada golongan miskin maka perbuatan tersebut dibenarkan.

HUJAH DAN ANALISIS

Korban merupakan salah satu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Ibadah korban hanya dilakukan setahun sekali seiring dengan sambutan Hari Raya Aidil Adha. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap satu umat kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur atas kurniaan kepada mereka daripada haiwan-haiwan ternakan yang disembelih”.

Surah al-Hajj (34)

Ibadah korban merupakan sunat muakkad di sisi Mazhab al-Syafie sebagai tanda menjaga syiar Islam bagi mereka yang mampu. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478)

Antara tujuan utama ibadah korban adalah sebagai tanda prihatin terhadap masyarakat melalui pengagihan daging-daging korban kepada mereka yang berhak menerimanya khususnya fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Surah al-Hajj (28)

Nabi SAW telah melarang untuk memberikan daging korban sebagai upah kepada penyembelih. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ali Bin Abi Talib:

أَمَرَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَقُومَ عَلَى الْبُدْنِ، وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan aku untuk melakukan sembelihan terhadap unta dan mengarahkan juga kepadaku agar sebahagian dari daging tidak diberikan kepada penyembelih sebagai upah”.

Riwayat Al-Bukhari & Muslim

Terdapat riwayat oleh Imam Muslim dengan tambahan daripada Ali bin Abdu Talib RA:

نحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

Seterusnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa penjualan kulit, daging atau apa-apa bahagian daripadanya adalah tidak dibenarkan disisi Mazhab al-Syafie. Perkara ini dinyatakan oleh beliau di dalam kitabnya:

وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُ جِلْدِ الْهَدْيِ وَلَا الأضحية ولا شيء من أجزائهما

Maksudnya: “Disisi Mazhab kami adalah dilarang untuk menjual kulit binatang korban, daging binatang korban dan apa-apa bahagian daripadanya”.

(Rujuk Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 9/65)

Dalam pada itu Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa sepakat disisi mazhab syafie bahawa dilarang untuk menjual apa-apa bahagian daripada binatang korban. Hal ini samada ibadah korban itu sunat atau nazar. Larangan ini termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk dan lain-lain lagi. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/419-420).[1]

Seterusnya, Ibn Rusyd menyatakan bahawa ulama bersepakat bahawa larangan menjual daging korban. Perkara ini dinyatakan di dalam kitabnya:

وَالْعُلَمَاءُ مُتَّفِقُونَ فِيمَا عَلِمْتُ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ ‌بَيْعُ لَحْمِهَا،

Maksudnya: “Pada pengetahuanku ulama bersepakat bahawa daging korban tidak boleh dijual”.

(Rujuk Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid 2/201)

Namun begitu, jika penerima daging korban tersebut adalah dari golongan miskin maka mereka boleh menjual daging tersebut. Habib Abdul Rahman al-Ba’lawi menyatakan di dalam kitabnya:

وللفقير التصرف في المأخوذ ولو بنحو بيع الْمُسْلَمِ لملكه ما يعطاه، بخلاف الغني فليس له نحو البيع بل له التصرف في المهدي له بنحو أكل وتصدق وضيافة ولو لغني، لأن غايته أنه كالمضحي نفسه،

Maksudnya: “Bagi golongan yang fakir, membelanjakan bahagian korban yang diterimanya walaupun seperti menjual barang diterima kerana telah menjadi miliknya, berbeza dengan golongan yang kaya tidak dibenarkannya untuk melakukan perkara seperti menjualnya namun ia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, sedekah dan menjamu tetamu walaupun mereka kaya, ini kerana kedudukannya seperi orang yang melakukan korban.

(Rujuk al-Bughyah al-Mustarshidin, 319)

KESIMPULAN

Kesimpulannya, perbuatan menjual kembali daging korban yang diperolehi adalah dilarang jika penerima daging korban tersebut ialah daripada golongan yang kaya. Manakala jika penerima tersebut daripada golongan miskin maka perbuatan tersebut dibenarkan. Wallahuallam.

 


Cetak   Emel