IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-51: MANA LEBIH UTAMA: MELAKUKAN KORBAN ATAU BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN DI MUSIM PANDEMIK COVID-19

KORBAN

Soalan:

Assalamualaikum WBT. Saya ingin bertanya dalam musim pandemik ini ramai yang susah. Jadi mana lebih utama buat korban atau sedekah kepada orang susah?

 

Ringkasan Jawapan:

Ibadah korban adalah perkara yang paling afdal berbanding segala amalan lain pada hari raya Aidiladha dan 3 hari Tasyriq berdasarkan kepada hadis Nabi SAW. Ini adalah hukum fiqh asal pada keadaan biasa. Namun, pada musim pandemik Covid-19 ini, jika ada yang memerlukan tunai berbanding daging, maka bagi mereka yang hanya berkemampuan untuk korban sahaja maka bersedekah dengan nilai korban itu adalah lebih utama daripada melakukan ibadah korban itu sendiri.

Namun, bagi mereka yang berkemampuan dinasihatkan agar tidak meninggalkan ibadah korban kerana hukum asal korban masih afdhal bagi beliau dan supaya syiar ibadah korban tidak lenyap di samping turut meneruskan sumbangan kepada fakir miskin agar mereka tidak terputus bekalan makanan asasi. Wallahu a'lam.

 

Huraian Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang besar kepada kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat. Pada masa kini, kita dapat melihat golongan susah bertambah ramai kerana kehilangan pekerjaan, tidak dapat keluar mencari rezeki kerana sekatan terhadap pelbagai sektor yang tidak dapat dilaksanakan sepertimana kebiasaan. Pelbagai pihak sama ada individu atau agensi kerajaan tampil memberikan bantuan berupa bakul makanan, sumbangan wang tunai dan sebagainya bagi membantu meringankan beban serta memastikan bekalan makanan tidak terputus.

Kedatangan hari raya aidiladha pada tahun ini menimbulkan tanda tanya kepada masyarakat, yang manakah lebih afdal antara meneruskan sedekah kepada fakir miskin atau melakukan ibadah korban?

Korban ialah ibadah yang paling afdal untuk dilakukan pada hari raya Aidiladha dan 3 hari Tasyriq (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah). Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

[Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]

Hadis ini menunjukkan ibadah yang paling afdal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah iaitu melakukan korban. Hal ini kerana ia (haiwan korban) akan datang pada hari akhirat sepertimana keadaannya di dunia tanpa sebarang kecacatan dan setiap anggota binatang itu terdapat padanya ganjaran (pahala). Selain itu, ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. (Rujuk: Tuhfah al-Ahwazi,5/61) 

Malah, sebahagian ulama berpandangan bahawa ibadah korban adalah wajib. Bahkan korban juga merupakan suatu syiar yang mesti ditonjolkan dalam masyarakat Islam berbeza dengan sedekah sunat. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmuk:

'Menurut mazhab kami, korban adalah lebih afdal daripada sedekah sunat berdasarkan hadis-hadis yang masyhur mengenai kelebihan ibadah korban dan kerana para ulama turut berselisih pandangan mengenai kewajipannya berbeza dengan sedekah sunat. Ini kerana korban merupakan syiar yang zahir’ (Rujuk: al-Majmuk Syarh al-Muhadzzab, 8/425).

Tambahan pula, korban itu sendiri adalah merupakan suatu jenis sedekah yang mesti diberikan kepada fakir miskin. Malah tidak sah korban jika tidak diberikan bahagian daging dengan kadar yang mengenyangkan kepada sekurang-kurangnya seorang fakir miskin (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 4/291). Perkara yang dinyatakan ini adalah hukum fiqah pada keadaan yang biasa.

Namun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang kita hadapi sekarang, kami melihat bersedekah dengan nilai korban adalah lebih utama daripada melakukan ibadah korban itu sendiri jika yang ingin berkorban itu tidak ada wang lain untuk bersedekah.

Pada musim pandemik ini, ramai masyarakat tidak memperoleh keperluan asasi yang cukup seperti keperluan kewangan, makanan asasi dan seumpamanya. Selain itu, pendekatan ini juga dilihat lebih dekat kepada maqasid syariah iaitu untuk memelihara nyawa (hifz nafs). Hal ini kerana keperluan asas jika tidak dapat didapati boleh menjejaskan kesihatan dan boleh melibatkan nyawa. Oleh yang demikian dalam situasi ini menjawa nyawa dan kesihatan adalah lebih utama. Tambahan pula dalam keadaan sekarang golongan yang susah lebih memerlukan barangan asas, makanan asasi dan wang berbanding daging untuk dimakan.

Ini berdasarkan kaedah fiqah yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti di dalam kitab al-Asybah wa al-Nazair:

المتعدي أفضل من القاصر

“Amalan yang menjangkau manfaatnya kepada orang ramai adalah lebih baik daripada amalan yang manfaatnya terbatas” (Rujuk: al-Asybah wa al-Nazai’r, 1/144)

Berdasarkan kaedah ini, kita lihat bahawa memberikan sedekah berupa nilai korban itu adalah lebih utama berbanding membuat ibadah korban kerana sedekah itu dapat memberikan lebih manfaat kepada orang ramai berbanding daging korban pada ketika ini.

 

KESIMPULAN

Pada keadaan biasa, ibadah korban adalah perkara yang paling afdal berbanding segala amalan lain pada hari raya Aidiladha dan 3 hari Tasyriq berdasarkan kepada hadis Nabi SAW. Namun, pada musim pandemik Covid-19 ini, jika ada yang memerlukan wang tunai berbanding daging, maka bagi mereka yang hanya berkemampuan untuk korban sahaja bersedekah dengan nilai korban itu adalah lebih utama daripada melakukan ibadah korban itu sendiri. Dalam keadaan ramai rakyat yang tiada duit dan makanan, maka barangan keperluan dan kewangan lebih diperlukan berbanding daging korban.

Namun, bagi mereka yang berkemampuan dinasihatkan agar tidak meninggalkan ibadah korban kerana hukum asal korban masih afdhal bagi beliau dan supaya syiar ibadah korban tidak lenyap di samping turut meneruskan sumbangan kepada fakir miskin agar mereka tidak terputus bekalan makanan asasi.

Wallahu A’lam.

 


Cetak   Emel