Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-127 : APAKAH YANG DIMAKSUDKAN KEBERKATAN PADA SAHUR?

WhatsApp Image 2019-05-15 at 1.18.45 PM.jpeg

SOALAN:

Apakah yang dimaksudkan dengan berkat dalam bersahur daripada hadith (تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً)?

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Sahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.

Hadith tersebut diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: "Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan."

Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)

BEZA SAHUR (السَّحور) DAN SUHUR (السُّحور).

Dalam hadith yang disebutkan, terdapat dua pandangan dalam kalimah sahur, iaitu, Sahur (السَّحور) dengan baris fathah dan suhur (السُّحور) dengan baris dhammah.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam Fath al-Bari: “Kalimah Sahur adalah dengan baris fathah (السَّحور) dan dhammah (السُّحور), kerana yang dimaksudkan dengan keberkatan adalalah ganjaran dan pahala, maka yang sesuai adalah dengan baris dhammah kerana ianya adalah masdar (kata terbitan), dengan makna perbuatan bersahur atau keberkatan.” (Lihat Fath al-Bari, 4/140)

Dalam kitab Lisan al-‘Arab karangan Ibn Mandzur, Sahur (السَّحور) membawa maksud makanan sahur dan minumannya. (Lihat Lisan al-'Arab, oleh Ibn Mandzur, 4/351).

Imam al-Azhari berkata: “Sahur (السَّحور) ialah apa yang disahurkan dengannya pada waktu sahur daripada makanan atau susu atau apa-apa jenis makanan yang dimakan pada ketika itu. sebagai contoh, telah bersahur seorang lelaki makanan itu, iaitu memakannya. (Lihat Tahdzib al-Lughah, oleh Muhammad bin Ahmad bin al-Azhari al-Harawi, 4/171-172).

Imam Ibn al-Athir pula menyebut: “Sahur (السَّحور) dengan baris fathah ialah apa yang disahurkan daripada makanan dan minuman, Manakala suhur (السُّحور) dengan dhammah adalah masdar dan fi'il (perbuatan) itu sendiri, dan kebanyakan yang diriwayatkan adalah dengan baris fathah, dan dikatakan yang tepat adalah dengan baris dhammah, kerana apabila huruf sin itu berbaris fathah, ianya membawa maksud makanan. Manakala barakah, ganjaran dan pahala adalah pada perbuatan, bukan pada makanan." (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, oleh Ibn al-Athir, 2/347).

Berdasarkan hujah-hujah yang disebutkan, dapat disimpulkan bahawa kalimah sahur adalah makanan dan minuman yang dimakan ketika waktu bersahur, manakala kalimah suhur adalah perbuatan bersahur itu sendiri. Maka kalimah yang lebih sesuai adalah kalimah suhur, kerana kalimah tersebut adalah lebih tepat dengan maksud hadith tersebut iaitu keberkatan pada perbuatan melakukan sahur itu sendiri.

WAKTU SAHUR

Waktu sahur bermula daripada akhir malam sebelum waktu subuh sehingga terbit fajar al-sadiq. Sunnah untuk kita melewatkan waktu sahur sehingga hampir kepada waktu subuh sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit RA, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قُمْنَا إِلَى الصَّلَاةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ قَدْرُ مَا بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya: "Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka baginda SAW bersabda: 50 ayat."

Riwayat Muslim (1097), al-Nasaie (2155), dan Ibn Majah (1694)

50 ayat di dalam hadith ini bermaksud kadar tempoh bacaan ayat al-Quran tersebut lebih kurang persamaannya dengan kadar waktu antara imsak iaitu waktu berhati-hati dengan waktu subuh.

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Maknanya, jarak antara kedua waktu tersebut adalah kadar bacaan 50 ayat al-Quran serta padanya galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar”. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/208-209)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menyebut: “Waktu bersahur itu adalah sebelum fajar”, (Lihat Fath al-Bari, 2/487)

GALAKAN BERSAHUR

Pada Hadith ini menunjukkan galakan untuk bersahur, dan hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut berdasarkan nas-nas yang banyak yang menggalakkannya, disamping ianya juga merupakan perbezaan antara puasa orang islam dan juga puasa ahli kitab sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh "Amr bin al-'As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.

Riwayat Muslim (1096)

Imam al-Nawawi berkata mengenai syarah hadith ini: “Maknanya, perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dan puasa mereka (ahli kitab) adalah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur”. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/207)

Seorang muslim tidak seharusnya meninggalkan perbuatan bersahur walaupun sahurnya itu dengan segelas air, atau sebutir tamar atau selain daripada keduanya, tetapi sahur yang paling afdhal adalah sahur dengan air dan tamar sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نِعْمَ سَحُورُ المُؤمِنِ التَّمْرُ

Maksudnya: Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar.

Riwayat Abu Dawud (2345)

Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Pada hadith ini menunjukkan pujian pada sesiapa yang bersahur dengan tamar, kerana pada tamar itu terdapat kekuatan yang tersendiri. Terdapat satu hadith sahih yang menceritakan, "Rumah yang tiada tamar padanya, maka akan lapar penghuninya", kerana tamar merupakan makanan asasi yang utama di sisi mereka. Hal ini menunjukkan bahawa bersahur dengan tamar itu dipuji, kerana perkataan ni'ma (نِعْمَ) ini menunjukkan sighah pujian sebagaimana yang diketahui. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, oleh Syeikh Abd al-Muhsin al-'Abbad, 8/255)

KEBERKATAN BERSAHUR

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: "Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur. (Lihat Fath al-Bari, 4/140)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya pula menyebut: "Pada hadith ini menunjukkan galakan untuk bersahur. Ulama' telah bersepakat bahawa bersahur itu sunat dan digalakkan, dan ianya bukanlah wajib, namun pada zahirnya, terdapat berkat dalam sahur itu kerana ianya menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa, menjadikannya sebab dan galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang yang telah bersahur, dan ia adalah pandangan yang tepat yang muktamad pada maknanya. Dan dikatakan: ditambah pula dengan perbuatan bangun, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia, iaitu waktu diturunkan rahmat, dimaqbulkan doa dan istighfar. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/206).

Justeru, keberkatan bersahur yang ditunjukkan dalam hadith ini terbahagi kepada dua jenis keberkatan:

  1. Keberkatan Syar'iyyah: iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu yang mustajab doanya.
  2. Keberkatan Badaniyah: iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.

KESIMPULAN

Melihatkan kepada nas dan hujah di atas, kami katakan bahawa perbuatan melakukan sahur merupakan sunat yang sangat dituntut di dalam syariat kerana padanya terdapat keberkatan yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui utusanNya Nabi SAW.

Perbuatan meninggalkan sahur tanpa uzur yang syar’ie disebabkan oleh sikap yang tidak baik seperti malas untuk bangun pada awal pagi wajarlah dijauhi kerana perbuatan tersebut merugikan diri orang yang berpuasa itu sendiri, seperti lemah tubuh badan ketika berpuasa, hilang semangat, dan seumpamanya. Kami nasihatkan supaya bangunlah bersahur walaupun dengan sebiji tamar ataupun segelas air.

Semoga kita mendapat taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin.