Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-173: HUKUM TIDUR SEPANJANG HARI PADA WAKTU SIANG RAMADHAN

iframadhan173

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan seseorang itu tidur pada selepas sahur sehinggalah dekat dengan waktu asar. Kemudian dia bangun sembahyang zuhur dan asar dan sambung semula sehingga hampir waktu berbuka puasa. Apabila ditegur dia menjawab tidur di bulan Ramadhan adalah ibadah. Adakah dikira sah puasanya. Mohon penjelasan terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang digalakkan untuk memperbanyakan beribadah seperti membaca al-Quran dan lain-lain lagi. Begitu juga, bulan Ramadhan adalah bulan yang diberi ganjaran pahala yang besar serta berlipat kali ganda. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ

Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda

Riwayat Muslim (1151)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berkenaan dengan tidur sepanjang hari, hal ini tidak membatalkan puasa oleh kerana tidur sepanjang hari bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Imam al-Nawawi menyebut:

وَلَوْ نَامَ جَمِيعَ النَّهَارِ، صَحَّ صَوْمُهُ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui

(Lihat Raudah al-Talibin, 2/366)

Begitu juga yang disebut oleh Imam Syihab al-Din al-Ramli bahawa, tidak menjadi kemudharatan (kepada puasanya) sekiranya ia tidur yang nyenyak sehingga habisnya waktu siang mengikut pandangan yang sahih. Ini kerana ia tetap sebagai golongan yang diperintahkan oleh syara’ (untuk berpuasa). Lalu apabila dikejutkannya dan ia terjaga dari tidurnya maka ia diwajibkan untuk mengqada’ sembahyang yang tertinggal ketika tidur, bukan tertinggal disebabkan ia pengsan. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 3/176)

Namun perbuatan tidur sepanjang hari pada bulan Ramadhan adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya serta berlawanan dengan adab dan hilangnya nikmat merasa kepayahan serta kesusahan berpuasa. Ini jelas bahawa kesusahan dalam menghadapi bulan ramadhan merupakan salah satu hikmah berpuasa bahawa Allah SWT ingin mentarbiah hambanya supaya sentiasa mengawal diri dan nafsu daripada memenuhi keinginannya serta sentiasa mengingati Allah SWT.

Hal ini seperti yang disebut oleh Imam al-Ghazali:

بل من الآداب أن لا يكثر النوم بالنهار حتى يحس بالجوع والعطش ويستشعر ضعف القوي فيصفو عند ذلك قلبه

Maksudnya: Bahkan daripada adab (berpuasa) adalah tidak memperbanyakkann tidur pada siang hari, sehingga seseorang itu merasakan kelaparan, haus dan merasakan lemah keupayaannya. Maka dengan itu akan dibersihkan hatinya

(Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/235)

Oleh itu, para ulama menyebut bahawa tidur sepanjang siang hari pada bulan Ramadhan adalah termasuk daripada perkara yang dimakruhkan. Imam al-Hattab al-Maliki menyebut di dalam kitabnya, di antara perkara makruh ketika berpuasa adalah banyak tidur pada siang hari di bulan ramdhan. (Lihat, Mawahib al-Jalil, 2/415)

Begitu juga, Dr Muhammad Zuhaili menyebut, di antara perkara makruh yang dilakukan ketika berpuasa adalah banyak tidur dan bercakap perkara yang tidak berfaedah. Ini kerana boleh menghilangkan faedah berpuasa. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 448)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta penjelasan dan nas ulama yang diberikan dapat kami simpulkan bahawa perbuatan tidur sepanjang hari di siang Ramadhan adalah perkara yang dimakruhkan serta sah puasanya pada hari tersebut. Namun sebaiknya pada bulan Ramadhan adalah bulan untuk melipat gandakan amalan dan beribadah kepada Allah SWT.

Dan sekiranya seseorang itu tidur dan berniat di dalam hatinya bahawa dengan tidurnya itu dapat merehatkan tubuh badannya supaya ia dapat melakukan ibadah dengan lebih kuat, maka tidurnya itu boleh menjadi ibadah bergantung dengan niatnya. Ini secara umumnya tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah kerana tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa. Hal ini kami telah jelaskan di dalam artikel yang bertajuk IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-370: TIDUR ORANG YANG BERPUASA ADALAH IBADAH

Justeru, di bulan yang penuh dengan keberkatan ini kami menyeru agar memperbanyakan amalan ibadah dan melakukan perbuatan yang bermanfaat agar amalan pada Ramadhan pada kali ini diterima oleh Allah SWT serta menjadikan Ramadhan yang terbaik daripada sebelumnya.