Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-150: HUKUM MENJUAL, MENDERMA DAN MENANAM RAMBUT

 

Soalan:

Apakah hukum menjual, menderma dan menanam rambut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Hukum Menjual Rambut

Jumhur ulama’ mengatakan jual beli ke atas rambut manusia adalah dilarang kerana manusia itu dimuliakan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam…

(Al-Isra’: 70)

Al-Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya Al-Majmu’ bahawa tidak boleh untuk dijual rambut manusia sama ada ianya bersambung ataupun terpotong.[1] Ini juga turut disebutkan di dalam kitab-kitab mazhab yang lain seperti Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah (Hanafi), Al-‘Adawi menyebutkannya juga di dalam Hasyiahnya ke atas kitab Syarh Mukhtasar Khalil (Maliki) dan begitu juga al-Bahuti menyebutkan perkara yang sama di dalam kitabnya Kasyyaf al-Qina’ (Hanbali).

 

Hukum Menderma Rambut

Hukum menderma rambut berbeza hukumnya mengikut keadaan. Sekiranya rambut itu diberikan untuk disambungkan dengan rambut yang lain maka haram hukumnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ، وَالْوَاشِمَةَ وَالْمُسْتَوْشِمَةَ

Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat wanita yang menyambung rambut dan meminta disambungkan rambut, wanita yang bertatu dan minta untuk ditatukan.

Riwayat Al-Bukhari (5940)

 

Perkataan laknat di dalam hadis di atas membawa maksud pengharaman dan sebab pengharaman adalah kerana berlakunya penipuan serta mengaburi pandangan orang lain dengan mengubah ciptaan Allah SWT.

Oleh itu, segala perkara yang boleh membawa kepada penyambungan rambut meskipun dengan menderma rambut tersebut, maka ianya diharamkan. Wallahu a’lam.

 

Hukum Menanam Rambut

Islam pada asasnya membenarkan segala jenis perhiasan yang tiada pada nas dari al-Quran dan hadis Nabi SAW akan pengharamannya. Begitu juga bagi menghilangkan ‘aib yang terdapat pada tubuh badan manusia, Islam membenarkan agar dihilangkan ‘aib tersebut.

Ini berdasarkan sebuah hadis di mana Nabi SAW pernah mengarahkan seorang sahabat yang kehilangan hidungnya ketika berperang agar dibuat kembali hidungnya menggunakan emas.

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ طَرَفَةَ، أَنَّ جَدَّهُ، عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلاَبِ فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Tarafah, sesungguhnya datuknya ‘Arjafah bin As’ad telah terpotong hidungnya ketika peperangan al-Kulab. Maka diambil daripada perak untuk dijadikan hidungnya namun ia menjadi busuk maka Rasulullah SAW mengarahkan agar diambil daripada emas untuk dibina kembali hidungnya.

Riwayat Abu Daud (4232). Dinilai hasan oleh Syeikh Al-Albaani.

 

Majma’ al-Fiqh al-Islami telah mengeluarkan keputusan bahawa dibenarkan untuk menanam rambut bagi mereka yang mengalami keguguran. Ianya berdasarkan keputusan bernombor 173 bagi tahun 2007 bagi pembedahan kecantikan yang mana menyebutkan:

“Syara’ membenarkan untuk melakukan pembedahan kecantikan  bagi yang bersifat darurat dan keperluan yang mana dimaksudkan dengannya itu adalah seperti memperbaiki ‘aib disebabkan kebakaran, kecelakaan jalan raya, penyakit dan selainnya juga seperti membaiki kulit, menampalnya dengan kulit yang baru…menanam rambut bagi mereka yang keguguran rambut khususnya bagi wanita”.

 

Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-94 yang bersidang pada 20-22 April 2011 telah membincangkan hukum menanam rambut di kepala. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah berpandangan bahawa Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala dengan tujuan untuk memperelok diri daripada keaiban, selagi tidak bertentangan dan melampaui batas yang telah ditetapkan oleh syara’.

Sehubungan itu, muzakarah bersetuju mewutuskan bahawa menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, menggunakan bahan-bahan suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudarat.”

Maka jelas akan keharusan untuk melakukan proses menanam rambut berdasarkan dua fatwa yang dikemukakan di atas namun dengan syarat mestilah menggunakan rambut sendiri dan bahan-bahan lain yang digunakan mestilah suci. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

24 November 2016 bersamaan 24 Safar 1438 H.

 

 

[1] Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (9/254).