Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Soalan:

Apakah hukum tersalah kiblat ketika solat qadha? Adakah perlu diulang semula?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Mukadimah

Menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat, sama ada ada solat fardhu pada waktunya, solat qadha fardhu dan solat solat sunat pada waktu selain solat sunat ketika musafir dan solat khauf (keadaan sangat takut). Sesiapa yang memulakan solat dalam keadaan tidak menghadap kiblat maka tidak sah solatnya. Manakala sesiapa yang beralih daripada kiblat ketika solat secara sengaja maka batallah solatnya. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/127 & 170 ). Ini berdasarkan firman Allah Taala:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٥٠﴾ 

Maksudnya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

(Surah al-Baqarah: 150)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:

 

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

 

Maksudnya: Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.

 

Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

 

Kaedah Penentuan Arah Kiblat

 

Dalam mazhab al-Syafie, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat:

  1. Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
  2. Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
  3. Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
  4. Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain

Rujuk I`anah al-Talibin (1/145)

 

Isu Tersalah Kiblat; Adakah Perlu Diulang Solat?

Berdasarkan kaedah di atas timbul persoalan; sekiranya seseorang itu menyedari kiblatnya salah selepas menunai solat seperti diberitahu oleh seorang yang terpercaya, lalu bagaimana hukumnya?

Berkata Imam al-Nawawi: “Barangsiapa yang solat dengan ijtihad (atau bertaqlid kepada ijtihad orang lain) kemudian dia yakin berlaku kesilapan maka hendaklah dia qadha mengikut pendapat yang kuat.”

Rujuk Minhaj al-Talibin (hal.43)

Manakala pendapat yang kedua menyatakan tidak perlu qadha’ seperti yang disebut oleh Imam al-Ramli: “Pendapat kedua pula menyatakan tidak perlu qadha kerana peninggalan kiblat dengan keuzuran adalah serupa dengan keadaan ketika peperangan (yakni solat khauf).”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj (446/1)

 

Begitu juga seperti kata Syeikh Taqiuddin Abu Bakar al-Hisni:

“Pendapat qil (kedua) menyatakan tidak wajib pengulangan solat kerana mengambil kira dzan (prasangka kuat) semasa tuntutan perlaksanaan perbuatan solat itu atas alasan bahasa seseorang itu diperintahkan untuk solat dengan sangkaan terbabit. Pendapat pertama adalah mazhab ahli fiqh manakala pendapat kedua adalah mazhab ahli kalam (daripada ahli usul mazhab al-Syafie). Sekiranya dia yakin kesilapannya tetapi tidak yakin pula apa yang arah yang betul bahkan hanya prasangka sahaja, maka tidak perlu diulangi solat kerana solat yang pertama dilaksanakan atas ijtihad dan solat yang kedua juga atas ijtihad, maka ijtihad itu tidak membatalkan ijtihad yang lain.”

Rujuk Kifayah al-Akhyar (ms.96)

 

Bagi pendapat pertama, pengulangan atau qadha’ solat hanya wajib apabila yakin kesilapan. Adapun jika dia berijtihad lagi kemudian berubah arah, maka tidak perlu mengulangi solat yang dilaksanakan mengikut ijtihad pertama.

Fakta ini ada disebut oleh Syeikh al-Nawawi al-Bantani: “Kalau seseorang berijtihad menentukan kiblat dan solat lalu dia yakin salahnya ijtihad itu, maka dia mengulangi semula solatnya. Adapun jika dia tidak yakin salahnya ijtihad tetapi hanya hasil ijtihadnya (yang kedua) menunjukkan arah yang lain, maka ijtihad yang kedua itu adalah lebih rajih dan wajib dia beramal dengannya, sama ada semasa solat atau bukan, dan tidak wajib dia mengulangi semula solatnya yang ditunaikan mengikut ijtihad pertama kerana sesungguhnya ijtihad itu tidak dibatalkan dengan ijtihad yang lain, sehinggakan sekiranya dia solat empat rakaat dengan empat arah berbeza bagi setiap rakaat kerana empat ijtihad berbeza, sah solatnya.”

Rujuk Nihayah al-Zain (hal.52-53)

Kesimpulan

Justeru, menjawab soalan di atas, kami bahagikan kepada beberapa keadaan:

  1. Seseorang yang solat tanpa memiliki ilmu tentang kiblat, tidak mencari khabar daripada orang terpercaya, tidak berijtihad atau bertaqlid, maka solatnya adalah tidak sah kerana dia cuai. Justeru hendaklah dia mengqadhakan semula solat yang dia lakukan dalam keadaan itu.
  2. Dia solat setelah berijtihad mengenai arah kiblat, kemudia pada waktu solat seterusnya dia berijtihad lagi, lalu arah kiblatnya berubah. Solatnya pada kedua-dua waktu adalah sah dan tidak perlu diulang.
  3. Dia dimaklumkan oleh seseorang yang berijtihad bahawa kiblatnya salah dan menunjukkan arah kiblat yang betul mengikut ijtihadnya, maka jika dia bersetuju sekalipun, solatnya yang pertama adalah sah dan tidak perlu diulang dan wajib solat seterusnya dia mengikuti ijtihad yang baharu.
  4. Dia dimaklumkan oleh seseorang yang yakin secara pasti tentang arah kiblat seperti pernah melihat Kaabah. Sebahagian ulama memasukkan sekali dalam kategori ini penyaksian ahli falak yang sudah membuat ukuran manakala sebahagian lain menganggap ukuran mereka ijtihad jua. Maka dia wajib mengulangi dan mengqadha solat yang dilakukan apabila datang ilmu yang meyakinkan bahawa ijtihadnya salah. Ini seperti batalnya ijtihad seorang hakim apabila terdapat nas syarak dalam suatu isu. Pendapat yang kedua pula tidak mewajibkan pengulangan dan qadha’. Pendapat ini sesuai sekiranya jumlah yang tertinggal itu terlalu banyak sehingga mendatangkan kesukaran.

Wallahua’lam.