Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

irsyad406

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya hukum membeli followers di media sosial seperti instagram dan facebook. Adakah dibenarkan sekiranya saya sebagai penjual akan berlaku jujur dengan memastikan kualiti barangan adalah benar, cuma membeli followers kerana memerlukan bilangan followers yang ramai sahaja. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

{ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا}

Maksudnya: Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275)

Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Imam al-Baidhowi mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. [Lihat: Tafsir al-Baidhowi; 1/162]. Pada dasarnya, jual beli adalah harus juga berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu:

الأصل في الأشياء الإباحة

Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus”

[Lihat: Mausu’ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah; 2/115]

الأصل في الإنسان وتصرفاته الحرية والإباحة

Maksudnya: “Asal pada manusia dan tingkah lakunya ialah kebebasan dan keharusan”.

[Lihat: Ma’lamah Zayd; 3/165]

Berdasarkan kepada kaedah-kaedah Fiqh yang disebut di atas, ia menunjukkan keharusan dalam setiap perkara termasuklah dalam isu muamalat, namun ia terpakai selagimana tiada nas ataupun hukum yang melarang daripadanya. Sepertimana kaedah Fiqh yang berbunyi:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

MaksudnyaAsal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

[Lihat: al-Asybah wa al-Nazhoir; hlm.60]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan mengenai hukum jual beli followers. Sebelum dibahaskan lebih lanjut hukum bagi perbuatan tersebut, maka terlebih dahulu perlulah diketahui maksud dan gambaran jual beli followers. Ini juga sesuai berdasarkan suatu kaedah Fiqh iaitu:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: Hukum atas sesuatu adalah cabang dari gambarannya

Followers atau dalam bahasa ialah pengikut. Istilah ini banyak digunakan dalam media sosial seperti Instagram, Facebook dan lain-lain. Media sosial yang dahulunya menjadi medan komunikasi kini menjadi medium untuk mempromosi barangan, mencari populariti dan sebagainya. Follower ini juga menjadi peranan penting dalam sesebuah akaun sosial dengan cara makin ramai follower, maka makin meningkatlah populariti akaun tersebut. Disebabkan itu, orang ramai khususnya para peniaga mula menggunakan peluang ini untuk mempromosikan barangan mereka dan menjualnya secara atas talian.

Follower boleh diperolehi dengan cara manual yakni tanpa perlunya kepada sebarang perbelanjaan dan pembiayaan, namun ia memakan masa yang lama. Ini kerana kita perlu menunggu maklum balas (respon) daripada akaun sasaran kita, dan mereka juga boleh menentukan sama ada untuk follow back atau unfollow. Maka, peningkatan follower boleh jadi berlaku atau tidak, ataupun mungkin ia berlaku namun peningkatanya agak perlahan dan sedikit.

Namun, berikutan dengan kemajuan dan kemodenan arus teknologi masa kini, wujudnya sistem untuk menambah follower dengan cara yang cepat dan banyak, namun ia perlu kepada bayaran. Maka, ia sememangnya termasuk dalam hal jual beli dan terpakai ke atasnya rukun dan juga syarat-syarat jual beli.

Rukun-rukun jual beli ialah:

  • Pihak yang melakukan akad (Penjual dan Pembeli)
  • Sighah Akad
  • Barang jualan dan harganya

[Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/11-20]

Maka, di sini kami perlihatkan melalui dua situasi iaitu situasi pertama yang hukumnya harus dan situasi kedua iaitu hukum haram.

Situasi 1: Harus

Antara gambaran jual beli followers ialah seseorang membeli akaun media sosial dari seseorang yang mempunyai ramai follower dengan niat untuk menjadikannya sebagai suatu strategi pemasaran dan pengiklanan produk atau barangan yang dijual dan sebagainya. Juga sebab lain bagi peniaga, supaya info mengenai barang jualan dan sebagainya segera sampai ke pengetahuan para follower dan cepat tersebar dalam kalangan masyarakat.

Di sini, jika dilihat pada rukun jual beli yang wujud padanya, penjual di sini ialah pemilik asal akaun media sosial (mengandungi ramai follower) yang asli (bukan palsu seperti fake account), pembeli pula ialah orang yang menginginkan kepada akaun tersebut untuk kegiatan perniagaan atau sebagainya (bukan tujuan yang tidak baik atau ingin menipu). Kedua-duanya (penjual dan pembeli) merupakan orang yang waras, bebas ketika membuat akad (bukan kerana paksaan) dan kedua-duanya adalah orang yang berlainan. Jual beli tersebut juga tidak terikat dengan sebarang syarat ataupun tempoh waktu. Seterusnya, barang jualan di sini ialah akaun media sosial. Ia wujud ketika akad dijalankan, bermanfaat menurut syara’ dan juga ‘urf.

Justeru itu, berdasarkan kepada gambaran tersebut dan juga mengikut kaedah Fiqh, kami katakan bahawa hukum asal bagi jual beli followers adalah harus selagimana ia memenuhi rukun-rukun dan syarat jual beli yang dijelaskan oleh syara’.

Situasi 2: Haram

Ia boleh berubah menjadi haram jika niat pembeli (peniaga) untuk memonopoli beli semua followers atau memonopoli barangan, atau merasuah followers supaya tidak membeli barangan dari orang lain, atau bertujuan menipu pembeli dengan cara mengatakan bahawa barangan jualannya laku dan berkualiti yakni ramai pembeli walhal sebenarnya tidak ramai. Selain itu, ia mungkin juga berubah menjadi hukum haram dengan cara seperti seseorang membeli akaun palsu yang mempunyai banyak follower, atau membeli akaun yang mempunyai follower palsu, atau menggunakan dan mengambil akaun orang lain tanpa keizinan dan keredhaannya, atau mungkin juga dia membeli akaun tetapi tanpa jelas akad dan juga barang yang diniagakannya iaitu akaun dari segi jumlah follower dan sebagainya serta muncul juga sebab-sebab yang lain menyebabkan kepada perubahan hukum tersebut.

Jual beli Followers melalui Aplikasi Auto-Follow

Dalam hal seseorang membeli akaun media sosial atau follower palsu atau menggunakan aplikasi auto-follow yang banyak wujud di media sosial seperti instagram dan facebook serta lain-lain media. Apabila dilihat dengan lebih teliti di sini, maka kita dapat lihat bahawa ia sebenarnya berkait dengan syarat sah jual beli. Mereka menggunakan follower palsu ini bertujuan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menipu pengikut akaun media sosialnya yang lain apabila mereka melihat jumlah follower yang ramai membuatkan mereka percaya atau yakin bahawa apa yang disiarkannya adalah benar ataupun barangan yang dijualnya adalah baik dan berkualiti. Justeru, perkara ini juga amatlah dilarang dalam Islam atas sebab niat untuk menipu tersebut.

Jual beli Followers kerana Ingin Menipu

Cara ini amatlah ditegah dan dilarang yakni dengan cara seseorang itu membeli follower kemudiannya mempromosikan barangannya dan mengatakan barangnya laku dan ramai pembeli dengan melihat kepada ramai pengguna yang follow akaunnya. Maka, di sini wujudnya unsur penipuan kerana tidak dipastikan kualiti barang dan juga berlawanan dengan fakta yang sebenar. Ini juga berdasarkan hadith Nabi Muhammad S.A.W:

»لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ«

Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami (umat Muhammad S.A.W) siapa yang menipu”.

Riwayat Abu Daud (3452)

Hadith ini jelas menunjukkan larangan menipu bagi umat Islam seluruhnya. Perbuatan menipu ini juga boleh terjadi dengan cara seseorang itu (pembeli akaun) menggunakan nama pemilik akaun tanpa izin dan keredhaannya dan memberikan komen yang baik terhadap barangan jualannya, maka follower yang lain akan melihat seolah-olah barang tersebut menjadi pilihan terbaik. Cara yang lain juga ialah menggunakannya dengan tujuan menaikkan harga barangan, kebiasaannya hal ini berlaku seolah-olah lelong, tapi ia berbeza dengan cara dia menggunakan akaun yang dibeli menawarkan harga yang lebih tinggi daripada harga asal pada barangan yang dijual tanpa niat untuk membeli, kemudiannya pelanggan lain yang ingin membeli harga tersebut akan terpedaya lalu membelinya dengan harga yang lebih tinggi. Jual beli ini samalah seperti jual beli najasyi, sabda Nabi Muhammad S.A.W:

وَلاَ تَنَاجَشُوا

Maksudnya: dan janganlah kalian melakukan jual beli najasy …

Riwayat al-Bukhari (2140), Muslim (1515)

Dan sabda lain Nabi Muhammad S.A.W:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّجْشِ

Maksudnya: Nabi S.A.W melarang dari jual beli najasy

Riwayat al-Bukhari (2142), Muslim (1516)

Jual beli najasyi ialah seorang yang berpura-pura melakukan penawaran terhadap suatu barang, akan tetapi dia tidak berniat (keinginan) untuk membeli barang tersebut. Tujuannya adalah untuk memberikan keuntungan kepada penjual atau membuat calon pembeli lain yang bersungguh-sungguh ingin memilikinya membeli barangan tersebut. Orang yang melakukan perbuatan ini disebut dengan istilah naajisy. [Lihat: Fath al-Bari; 4/355].

Jual beli Followers untuk Bermegah-megah

Perkara ini boleh dilihat apabila seseorang itu membeli followers dengan tujuan meramaikan follower supaya dia boleh bermegah-megah dengannya. Perkara ini amatlah ditegah dan dilarang sama sekali dalam Islam. Firman Allah S.W.T:

﴿أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُر ﴿١﴾ حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ ﴿٢﴾ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ﴾

Maksudnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati).

Surah al-Takathur (1-3)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T melarang hambaNya daripada sikap bermegah-megahan ataupun berbangga-bangga dengan harta dan keturunan. Sibuk dengan hal tersebut sehingga melalaikan dan memalingkan diri dari beribadah kepada Allah S.W.T dan beramal untuk akhirat. [Lihat: Tafsir al-Munir; 30/384].

Penutup

Kesimpulannya, kami katakan bahawa hukum jual beli followers adalah harus selagimana ia tidak bertentangan dengan syarak dan juga tidak melanggar rukun serta syarat sah jual beli. Pada dasar ini, kami juga mengatakan bahawa hukum ini juga berdasarkan kepada niat seseorang itu. Ini berdasarkan kepada kaedah usul:

الأمور بمقاصدها

MaksudnyaHukum suatu perkara itu bergantung kepada niat.

Ini bererti jika seseorang itu berniat membeli follower dengan niat yang baik yakni untuk tujuan promosi atau meramaikan follower, maka harus hukumnya namun jika dia berniat untuk menipu pelanggan dan pengikut, maka haram hukumnya. Ia juga dipetik berdasarkan kaedah lain iaitu:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram.

Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T melimpahkan kepada kita rezeki dan nikmat, menjadikan diri kita seorang yang ikhlas dan taat akan perintahNya. Semoga Allah S.W.T menetapkan hati kita dengan keimanan dan memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’alam.