Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if452

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya berkaitan hukum penggunaan sumber hasil kewangan tidak patuh syariah (termasuk lesen judi dan arak) untuk disalurkan kepada badan kebajikan Islam bagi tujuan kebajikan (amal jariah). 

Apakah hukum dan syarat bagi pegawai muslim yang menguruskan peruntukan tersebut? Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertamanya, Allah SWT telah meletakkan asas bagi umat Islam dengan menganjurkan makan daripada sumber yang halal lagi baik. Oleh itu, wang yang diperolehi daripada sumber tidak halal tidak boleh digunakan. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

(Surah al-Baqarah: 168)

Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa Allah SWT telah memerintah umat Islam supaya makan daripada apa yang telah dihalalkan oleh Allah SWT yang telah disampaikan melalui lisan rasul-Nya dan mengharamkan kepada sekalian manusia apa yang membahayakan diri mereka. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 2:104)

Begitu juga, dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Mas’ud al-Ansari RA, bahawa beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ melarang daripada hasil jualan anjing, mahar (bayaran upah) pelacur, dan upah kahin (pawang yang menilik masa depan).

Hadith riwayat al-Bukhari: (2237)

Adapun berkaitan wang yang haram atau sumber hasil kewangan tidak patuh syariah ini, para ulama berselisih pendapat berkaitan cara untuk menguruskannya. Ada sebahagian ulama yang bersikap warak berpandangan bahawa tidak harus mengambilnya sama sekali  walaupun untuk tujuan bersedekah, kerana tidak harus menyedekahkan wang yang ‘kotor’ kepada orang ramai. Bahkan sebaliknya ia harus dilupuskan seperti di buang ke laut dan sebagainya. (Rujuk Himpunan Isu-Isu Fiqh Terpilih: 209)

Walau bagaimanapun, jumhur ulama’ daripada Hanafiyyah, Syafi’iyyah, Malikiyyah dan Hanabilah berpendapat tidak harus untuk melupuskan harta-harta tersebut dengan apa jua bentuk, bahkan wajib ia dikembalikan kepada pemiliknya, jika sekiranya ia adalah harta yang dicuri dan sebagainya, serta diketahui pemiliknya. 

Namun jika tidak, maka diharuskan untuk digunakan wang tersebut bagi keperluan umat Islam seperti bersedekah kepada orang-orang fakir miskin, pembinaan jambatan, jalan raya dan seumpamanya. Imam al-Tabari dalam tafsirnya, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, menerangkan perkara ini dengan berkata:

إن سبيل التوبة مما بيده من الأموال الحرام إن كانت من ربا فليردها على من أربى عليه، ويطلبه إن لم يكن حاضرًا، فإن أيس من وجوده فليتصدق بذلك عنه

Maksudnya: Sesungguhnya cara untuk bertaubat bagi sesiapa yang memegang wang-wang haram, jika sekiranya ia adalah riba maka hendaklah dia memulangkannya kepada orang yang dia ambil daripadanya dan hendaklah dia mencari jika sekiranya orang itu tidak dijumpai. Jika sekiranya dia telah berputus-asa untuk mencarinya, maka hendaklah dia bersedekah untuknya. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 3:336)

Hal ini seperti yang dinyatakan Imam al-Nawawi yang menukilkan kalam Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

إذا كان معه مال حرام وأراد التوبة والبراءة منه؛ فإن كان له مالك معين وجب صرفه إليه أو إلى وكيله، فإن كان ميتًا وجب دفعه إلى وارثه، وإن كان لمالك لا يعرفه ويئس من معرفته فينبغي أن يصرفه في مصالح المسلمين العامة؛ كالقناطر والربط والمساجد ومصالح طريق مكة ونحو ذلك مما يشترك المسلمون فيه، وإلا فيتصدق به على فقير أو فقراء

Maksudnya: Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam. Dan jika tidak begitu, boleh untuk disedekahkan kepada seorang faqir miskin atau ramai. ” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9:351)

Oleh yang demikian, jika sekiranya wang tersebut disedekahkan kepada orang fakir miskin, maka wang tersebut menjadi halal lagi baik (halalan toyyiba) bagi mereka. Ini seperti yang disebutkan sambungan daripada nas di atas:

وإذا دفعه إلى الفقير لا يكون حرامًا على الفقير، بل يكون حلالًا طيبًا، وله أن يتصدق به على نفسه وعياله إذا كان فقيرًا؛ لأن عياله إذا كانوا فقراء فالوصف موجود فيهم بل هم أولى من يتصدق عليه وله هو أن يأخذ منه قدر حاجته؛ لأنه أيضًا فقير

Maksudnya: Jika sekiranya ia diberikan kepada orang fakir, maka wang tersebut tidak menjadi haram bagi orang fakir tersebut, bahkan menjadi harta yang halal lagi baik (halalan toyyiba). Dan dia boleh untuk menyedekahkan wang tersebut kepada dirinya sendiri dan keluarganya jika sekiranya termasuk dalam kategori fakir. Hal ini kerana jika keluarganya termasuk dalam kategori fakir maka sifat tersebut ada pada mereka, bahkan mereka lebih utama untuk disedekahkan, dan orang tersebut juga boleh mengambil pada kadar keperluannya, kerana dia juga seorang fakir. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9:351)

Kesimpulan

Bagi menjawab persoalan di atas, secara kesimpulannya kami menyatakan bahawa hukum penggunaan sumber hasil kewangan tidak patuh syariah termasuk lesen judi dan arak untuk disalurkan kepada badan kebajikan Islam bagi tujuan kebajikan (amal jariah) adalah diharuskan dan dibolehkan berdasarkan kepada pendapat jumhur ulama’. Manakala, syarat dan nasihat yang ingin kami titipkan kepada pegawai muslim yang bertanggungjawab menguruskan berkaitan hal ini adalah seperti berikut:

  • Diharuskan untuk menggunakan hasil dari sumber kewangan tidak patuh syariah bagi tujuan untuk disedekah kepada orang-orang miskin dalam kalangan umat Islam dan juga bagi tujuan kemashlahatan umat Islam seperti membina kemudahan-kemudahan awam dan seumpamanya.
  • Pandangan ini bukanlah bertujuan untuk mengiktiraf dan menyuburkan lagi amalan-amalan kemaksiatan seperti judi dan arak tersebut untuk terus berleluasa dengan alasan bahawa hasilnya nanti akan disedekahkan kepada amal kebajikan. Bahkan, usaha untuk membasminya harus dijalankan dengan efektif dan bersungguh-sungguh. Selain itu, ia haruslah diikat dengan usaha-usaha dakwah dan menyeru kepada taubat bagi mereka yang terlibat untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat sedemikian.
  • Hendaklah dipastikan bahawa hasil tersebut sampai kepada kumpulan sasaran yang sebenarnya dan diyakini bahawa ia tidak hanya berlegar pada golongan-golongan tertentu yang berpotensi untuk memonopoli dan memanipulasikan hasil tersebut untuk kepentingan peribadi.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.