Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF466 compressed

Soalan:

Assalamuaikum wrm. wbt.,

Baru-baru ini, semasa rakyat Malaysia berada dalam tempoh Arahan Kawalan Pergerakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mempersembahkan cadangan perlaksanaan azan kepada Duli yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong. Ini berikutan daripada larangan untuk berkumpul termasuk untuk melaksanakan solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau bagi mengekang penularan jangkitan virus Covid-19. YB Menteri telah mencadangkan agar azan dilaungkan seperti biasa, tetapi diperlahankan apabila sampai kepada lafaz hayya `ala al-solah. Selepas azan tamat, dicadangkan agar bilal memberitahu kepada masyarakat yang mendengar, “solatlah kalian di tempat tinggal kalian” dalam Bahasa Malaysia. Bolehkah dijelaskan justifikasi pindaan ini pada azan dan adakah menterjemahkan azan itu dibenarkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, Ahli Keluarga baginda, Para Sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Format azan ketika berlakunya halangan untuk solat berjemaah

Para ulama Syafieyyah berkata bahawa semasa berlakunya halangan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid, disunatkan muazzin untuk melaungkan azan dengan tambahan lafaz:

أَلَا صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ

Maksudnya: “Ketahuilah! Solatlah di rumah kalian.”

Atau:

أَلَا صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ

Maksudnya: “Solatlah di rumah kalian.”

Atau:

صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ

Maksudnya: “Solatlah di rumah kalian.”

 

Berkata Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Tolibin (1/208-209):

“Pengarang kitab al-Uddah – yakni al-Ruyani – berkata: Sekiranya pada waktu malam itu hujan lebat, atau berlaku ribu kuat dan terlalu gelap, maka disunatkan untuk menyebut juga setelah selesai azan – ala sollu fi rihalikum. Namun, jika disebut semasa azan selepas al-haila`ah – yakni hayya ala al-solah dan hayya ala al-falah – tiada masalah (tetapi lebih utama selepas solat). Inilah pendapat al-Soidalani, al-Bandaniji, al-Syasyi dan selain mereka. Imam al-Haramain tidak menyukai lafaz itu dibaca semasa azan selepas al-haila`ah. Itulah yang betul dan menepati Sunnah. Imam al-Syafie telah menaskan pada akhir bab azan, dalam kitab al-Umm (): telah sabit dalam al-Sahihain [ al-Bukhari () dan Muslim () ] riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata kepada tukang azan pada hari hujan turun dengan lebat: “Apabila anda sudah melaungkan Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah, maka jangan ucapkan hayya `ala al-solah, sebaliknya sebutkan sollu fi buyutikum (solatlah di rumah kalian). Ada orang ramai yang mengingkari hal itu. Lalu Ibn Abbas berkata; “Kalian pelik dengan hal ini? Inilah yang dilakukan oleh orang yang lebih baik daripada diriku – yakni Nabi ﷺ.”

Perkara ini boleh dikiaskan kepada apa yang berlaku kepada rakyat Malaysia ketika ini apabila kita sedang diuji dengan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan masjid dan surau tidak dapat digunakan untuk solat berjemaah demi membendung jangkitan yang boleh membawa maut. 

 

Adakah lafaz haila`ah perlu ditukar?

Sebahagian ulama Syafieyyah, dan ulama mazhab lain, memahami bahawa hadis di atas perlu difahami secara zahir yakni lafaz al-haila`ah diganti terus dengan seruan agar solat di rumah. Hal ini dibantah oleh ulama seumpama Syeikh al-Islam, Imam Zakariyya al-Ansari:

“Berkata pengarang al-Muhimmat – yakni al-Isnawi -: hadis ini menunjukkan bahawa lafaz itu menggantikan al-haila`ah, bertentangan dengan apa yang dibawakan oleh al-Nawawi yang mengatakan perlu dibaca selepas azan. Isu ini dijawab bahawa hadis berkenaan makna sebenarnya ialah jangan membaca semata-mata hayya `ala al-solah secara tunggal.”

Rujuk Asna al-Matolib (1/133)

Ini bermaksud kenyataan Ibn Abbas bukanlah bertujuan untuk menggantikan sebaliknya melarang bacaan azan dilaungkan tanpa menyebut sollu fi rihalikum.

Hal ini dihuraikan lagi oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, seperti mana dinukillakan oleh al-Abbadi dalam Hasyiah Tuhfah (1/481):

“Pensyarah – yakni al-Haitami- telah berkata dalam Syarh al`Ubab: makna jangan sebut hayya ala al-solah ialah jangan tunggalkan bacaan itu, bukan bermaksud untuk menggantikannya. Maka ini tidak menafikan pendapat para ulama yang mengatakan ia dibaca selepas azan. Ini kerana jika ia dibaca dengan menggantikan dua haila`ah – yakni hayya `ala al-solah dan al-falah – atau salah satu daripada keduanya maka azan itu tidak sah. Sedangkan sebahagian ulama cenderung untuk mengambil zahir hadis agar menggantikan terus hai`alatayn, atas alasan kedua-dua lafaz itu adalah seruan untuk solat, maka bagaimana boleh diterima bahawa tukang azan menyeru mereka datang untuk solat, tetapi selepas itu menyuruh mereka untuk solat di rumah mereka? Maka hal ini dijawab balas, kedua-dua lafaz itu bukan seruan untuk solat di tempat azan, tetapi seruan untuk melaksanakan solat pada tempat orang yang mendengar. Pendapat ini dikuatkan dengan lafaz hadis daripada al-Sahihain  bahawa baginda menyuruh tukang azan agar menyeru untuk solat kemudian menyeru agar solatlah di rumah mereka.

Hasil daripada perbincangan ini, sesungguhnya al-hai`alatayn itu sabit sebagai syarat sah azan berdasarkan nas. Sedangkan dalil yang hendaklah menggugurkannya itu adalah tunggal dan khas, lagi mempunyai ihtimal (kemungkinan penafsiran), maka ia tidak kuat untuk menolak perkara yang sabit lagi tidak mempunyai ihtimal.”

 

Benarkah ada lafaz khusus menjawab lafaz azan sollu fi rihalikum?

Tidak ada nas al-Quran dan al-Sunnah, serta Ijmak yang menukilkan lafaz khusus untuk menjawab lafaz sollu fi rihalikum. Akan tetapi berdasarkan qiyas, maka para ulama mengatakan sunat menjawab dengan al-haiqalah – yakni la haula wala quwwata illa billah – kerana qiyas dengan al-hai`alah. Inilah pendapat Imam al-Isnawi dalam al-Muhimmat dan dipersetujui oleh ramai ulama.

Rujuk Fath al-Wahhab (1/41) oleh Imam Zakariyya al-Ansari; Mughni al-Muhtaj (1/329) oleh Syeikh al-Khatib al-Syarbini; I`anah al-Tolibin (1/236) oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati.

Pendapat ini munasabah kerana jika lafaz sollu fi rihalikum dibaca dalam azan, ia dibaca selepas al-hai`alah. Wallahua`lam.

 

Adakah lafaz azan boleh diterjemah dan diperlahankan sebahagiannya

Timbul persoalan daripada saranan YB Senator Menteri agar dilaungkan selepas azan seruan agar solat di rumah. Apakah ini termasuk dalam kategori menterjemahkan azan? Apakah hukumnya?

Kami cenderung kepada pendapat bahawa ia tidak menjadi masalah kerana dilakukan selepas azan. Bahkan lafaznya yang berbentuk terjemahan itu lebih senang difahami oleh penduduk Malaysia yang memahami Bahasa Malaysia. Jika disebutkan dalam Bahasa Arab, barangkali akan menimbulkan kekeliruan kerana jarangnya ia berlaku dan menafikan tujuan yakni agar orang solat di rumah. Ini lebih dekat dengan fiqh al-maqasidi agar manusia memahami Syariat itu dan mudah melakukannya. Adapun jika dilakukan semasa azan, maka hal tersebut makruh kerana bertentangan dengan Sunnah dan dikhuatiri mengganggu syarat sah azan agar berturut-turut atau al-muwalah antara kalimat atau lafaz azan. 

Berkenaan dengan lafaz al-hai`alatayn diperlahankan sedikit, maka hal itu hanyalah sebagai isyarat bahawa solat itu hendaklah dilaksanakan di rumah atau tempat keberadaan orang yang mendengar, tetapi tidak dibuang terus kerana itu merupakan syarat sah azan yang sabit berdasarkan nas.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa format azan sewaktu tempoh Arahan Kawalan Pergerakan yang dicadangkan oleh YB Senator agama adalah munasabah dan boleh diamalkan. Semoga Allah ﷻ menerima amalan kita dan mengampunkan dosa-dosa kita serta menjauhkan diri daripada wabak dan bala bencana. Amin.