Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Soalan: Assalamualaikum Dr. boleh jelaskan berkenaan kaedah:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Di manakah kegunaan ruang lingkupnya, adakah ia boleh diguna secara meluas dalam hukum-hakam atau bagaimana ?

 

Jawapan: Waalaikumussalam. Alhamdulillah, selawat dan salam dipanjatkan kepada Rasulullah, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah mereka sehingga hari kiamat. Soalan yang ditanyakan di atas berkaitan dengan sebuah kaedah yang disebutkan oleh para ahli ilmu:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.

Sebelum mengulas kaedah ini dengan lebih lanjut, adalah lebih baik untuk kita fahamkan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan hukum dan juga illah.

Definisi Hukum

Hukum dari segi istilah bermaksud: Khitab (ucapan) Allah yang berhubungkait dengan perbuatan mukallaf sama ada ia bersifat iqtidha’ (tuntutan untuk melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu, ataupun bersifat takhyir (boleh dibuat pilihan sama ada mahu lakukan ataupun tidak), ataupun bersifat al-wadh’ie (menjadikan sesuatu sebagai sebab, syarat, atau penghalang buat sesuatu yang lain). Lihat Fawatih al-Rahamut Bi Syarhi Musallam al-Thubut, Ibn Abd al-Syakur (1/45).

Definisi Illah

Illah dari segi bahasa bermaksud: Suatu penyakit yang mengganggu. Manakala dari sudut istilah pula illah bermaksud: Suatu ciri yang meliputi hikmah yang membawa kepada pensyariatan sesuatu hukum. Rujuk Majmuah al-Fawaid al-Bahiyyah (1/112).

 

Definisi Kaedah Dan Sumbernya

Kata al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Kaedah “Hukum Berlegar Bersama-sama Illahnya Ketika Ia Ada Ataupun Tiada” bermaksud: Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya kedua-duanya iaitu sebab atau illah. Lihat I’laam al-Muwaqqi’in, Ibn al-Qayyim (4/80).

Kaedah di atas diperakui dan disepakati oleh majoriti ahli ilmu sebagai salah satu kaedah fekah yang digunapakai. Bahkan ia diletakkan di dalam kitab-kitab para ulama. Antaranya ialah:

  • Syarah Mukhtasar al-Tahrir oleh Ibn al-Najjar.
  • Al-Muwafaqat karya Abu Ishaq al-Syathibi.
  • A’laam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Aalamin karya Ibn Qayyim al-Jauziyyah.
  • Syarah Risalah Lathifah fi Usul al-Fiqh karangan Syeikh Abd ar-Rahman bin Nasir al-Sa’di.

 

Pengaplikasian Kaedah Berserta Contoh

Berikut kami kongsikan beberapa contoh bagi kaedah di atas supaya ia lebih mudah difahami:

Pertama: Larangan Menyimpan Daging Korban Lebih Dari Tiga Hari

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan juga Imam Abu Daud, para sahabat telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W:

يَا رَسُولَ اللَّهِ نَهَيْتَ عَنْ إِمْسَاكِ لُحُومِ الضَّحَايَا بَعْدَ ثَلاَثٍ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  إِنَّمَا نَهَيْتُكُمْ مِنْ أَجْلِ الدَّافَّةِ الَّتِي دَفَّتْ عَلَيْكُمْ فَكُلُوا وَتَصَدَّقُوا وَادَّخِرُوا

Maksudnya: Wahai Rasulullah, kau telah melarang kami dari menyimpan daging-daging korban selepas tiga hari. Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya aku hanya melarang kalian disebabkan golongan al-Daffah (arab badwi yang fakir) yang berada dalam kalangan kamu. Sekarang ini makanlah, bersedekahlah, dan simpanlah.

Riwayat Abu Dawud (2812)

Hadis di atas menjelaskan akan larangan Nabi S.A.W kepada para sahabat terhadap perbuatan menyimpan daging-daging korban lebih daripada tiga hari. Larangan ini membawa kepada hukum haram. Illah bagi pengharaman ini adalah disebabkan golongan arab badwi yang fakir yang berada di kawasan mereka.  Maka Rasulullah S.A.W melarang para sahabat baginda menyimpan daging-daging korban ini melebihi tiga hari sebaliknya ia hendaklah disedekahkan kepada para fakir miskin tersebut dengan memberikan sedikit daging kepada mereka serta sedikit bekalan. Justeru, sekiranya illah ini hilang maka hilanglah juga hukum pengharaman tersebut.

 

Kedua: Hukum Arak Berubah Menjadi Cuka

Kata al-Imam Ibn al-Qayyim: Arak dikaitkan dengannya hukum najis dan mewajibkan hukuman had (hudud) kerana cirinya yang memabukkan. Sekiranya ciri ini berubah dan arak berubah menjadi cuka maka hukum tadi pun turut hilang. Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in, Ibn Qayyim al-Jauziyyah (4/80).

Demikian juga pecahan dari kes ini jika seorang lelaki diajak untuk minum minuman yang memabukkan lalu dia bersumpah untuk tidak meminumnya. Kemudian ia berubah menjadi cuka dan lelaki ini meminumnya maka dia tidak dianggap melanggar sumpah. Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, Ibn Qayyim al-Jauziyyah (4/80).

 

Ketiga: Hukum Memakai Pakaian Bernajis Untuk Solat

Di dalam kes ini, seseorang tidak boleh untuk memakai pakaian yang bernajis untuk menunaikan solat dalam keadaan dia mengetahui terdapatnya najis pada pakaian tersebut. Larangan ini membawa erti solatnya tidak sah. Illah larangan ini adalah kerana terdapatnya najis pada pakaian. Oleh itu, jika illah ini hilang seperti baju tersebut dibasuh dan dicuci sehingga tiada lagi najis, maka hukum najis tadi turut hilang. Bolehlah pakaian tadi dibawa pakai untuk solat kerana ia berubah menjadi suci lagi bersih.

Kesimpulan

Akhir kalam, semoga penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman kepada penyoal dan kita semua berkenaan kaedah ini. Seperkara yang perlu kita faham daripada kaedah ini, hendaklah illah yang dinyatakan itu merupakan illah yang berciri zahir lagi jelas serta dikenalpasti melalui proses masalik al-illah (jalan-jalan mengenalpasti illah) seperti yang telah disebutkan di dalam kitab-kitab usul fiqh. Wallahu A’lam.