Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

TM 19

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Soalan saya adakah Nabi Ibrahim pernah berbohong?. Saya ada terdengar yang Nabi Ibrahim pernah berbohong untuk selamatkan nyawanya?. Adakah benar?.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Nabi Ibrahim  merupakan Rasul yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai Rasul yang segera melaksanakan perintah Allah SWT tanpa ada keraguan. Firman Allah SWT :

وَإِذِ ٱبْتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

Maksudnya : ““Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia"

(Surah Al-Baqarah : 124)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, memang terdapat hadis-hadis yang pada zahirnya seakan-akan Nabi Ibrahim menipu. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ إِلَّا ثَلَاثًا

Maksudnya : “Nabi Ibrahim tidak pernah berbohong (berhelah) kecuali pada tiga perkara.”

Riwayat Al-Bukhari (3357)

Di dalam riwayat lain, Abu hurairah RA memperincikan tentang tiga perkara tersebut. Beliau berkata :

لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام إِلَّا ثَلَاثَ كَذَبَاتٍ ثِنْتَيْنِ مِنْهُنَّ فِي ذَاتِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَوْلُهُ {إِنِّي سَقِيمٌ} وَقَوْلُهُ {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا} وَقَالَ بَيْنَا هُوَ ذَاتَ يَوْمٍ وَسَارَةُ إِذْ أَتَى عَلَى جَبَّارٍ مِنْ الْجَبَابِرَةِ فَقِيلَ لَهُ إِنَّ هَا هُنَا رَجُلًا مَعَهُ امْرَأَةٌ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَسَأَلَهُ عَنْهَا فَقَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَ أُخْتِي فَأَتَى سَارَةَ قَالَ يَا سَارَةُ لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرَكِ وَإِنَّ هَذَا سَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّكِ أُخْتِي فَلَا تُكَذِّبِينِي فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا فَلَمَّا دَخَلَتْ عَلَيْهِ ذَهَبَ يَتَنَاوَلُهَا بِيَدِهِ فَأُخِذَ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ اللَّهَ فَأُطْلِقَ ثُمَّ تَنَاوَلَهَا الثَّانِيَةَ فَأُخِذَ مِثْلَهَا أَوْ أَشَدَّ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ فَأُطْلِقَ فَدَعَا بَعْضَ حَجَبَتِهِ فَقَالَ إِنَّكُمْ لَمْ تَأْتُونِي بِإِنْسَانٍ إِنَّمَا أَتَيْتُمُونِي بِشَيْطَانٍ فَأَخْدَمَهَا هَاجَرَ فَأَتَتْهُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ مَهْيَا قَالَتْ رَدَّ اللَّهُ كَيْدَ الْكَافِرِ أَوْ الْفَاجِرِ فِي نَحْرِهِ وَأَخْدَمَ هَاجَرَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ تِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ

Maksudnya : “Nabi Ibrahim tidak pernah berhelah melainkan pada tiga perkara. Dua daripadanya melibatkan zat Allah. Beliau berkata : ‘Aku Sakit’ dan juga ‘ Bahkan yang lakukan adalah berhala yang besar’. Dan satu lagi Nabi Ibrahim berhelah ketika Baginda dan isterinya,Sarah datang kepada seorang raja yang bengis. Dikatakan kepada raja tersebut : Di sini ada seorang lelaki dan seorang wanita yang elok rupanya. Maka raja tersebut mengutuskan seorang utusan kepada Nabi Ibrahim dan bertanya kepada Baginda : Siapakah wanita ini?. Baginda menjawab : Ini adalah saudara perempuanku. Kemudian Baginda mendatangi Sarah dan berkata : Wahai Sarah, tiada ada di atas muka bumi ini orang yang beriman melainkan aku dan engkau. Orang ini bertanya kepada aku maka katakan bahawa engkau adalah saudara perempuan. Jangan engkau bohongi apa yang aku katakan. Apabila Sarah masuk menemui raja tersebut, dia mula mencuba memegang tangan Sarah. Maka tidak mampu (kerana tangannya menjadi keras). Maka raja tersebut berkata kepada Sarah : Doakanlah untuk aku dan aku tidak akan menyakiti engkau. Lalu Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan. Maka raja tersebut cuba untuk memegang Sarah buat kali kedua. Maka tangan raja tersebut menjadi lebih teruk daripada sebelumnya. Raja tersebut berkata : Berdoalah untuk aku. Aku tidak akan menyakiti engkau. Maka Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan. Lalu raja tersebut memanggil pembantunya : Sesungguhnya kalian tidak bawa kepada aku manusia, akan tetapi yang kalian bawa adalah syaitan. Maka raja tersebut pun memberikan Hajar sebagai pembantu Sarah. Kemudian Sarah datang bertemu Nabi Ibrahim yang mana pada ketika itu Baginda bangun melakukan solat. Lalu Baginda menunjukkan isyarat : Apa yang berlaku?. Allah telah membalas perancangan orang yang kafir dan berdosa dan raja tersebut memberikan Hajar sebagai pembantu. Kata Abu Hurairah : Itulah ibu kalian wahai arab.”

Riwayat Al-Bukhari (3358) & Abu Daud (2214)

Di dalam riwayat yang lain, menyandarkan (Marfu’) hadis tersebut kepada Nabi SAW. Baginda bersabda :

لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ إِلَّا ثَلَاثَ كَذَبَاتٍ بَيْنَمَا إِبْرَاهِيمُ مَرَّ بِجَبَّارٍ وَمَعَهُ سَارَةُ فَذَكَرَ الْحَدِيثَ فَأَعْطَاهَا هَاجَرَ قَالَتْ كَفَّ اللَّهُ يَدَ الْكَافِرِ وَأَخْدَمَنِي آجَرَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَتِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ

Maksudnya : “Nabi Ibrahim tidak pernah berbohong (berhelah) kecuali tiga perkara. Ketika mana Baginda melepasi satu raja yang zalim dan bersama dengan Baginda ada Sarah. Lalu NabI SAW menyebut kisah yang masyhur. Lantas raja tersebut memberikan Hajar kepada Sarah. Lalu Sarah berkata : Allah telah menahan tangan orang yang kafir dan memberikan kepada aku pembantu. Kata Abu Hurairah : Itulah ibu kalian wahai Arab.”

Riwayat AL-Bukhari (5084)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika dilihat secara zahir riwayat-riwayat tersebut seakan-akan memberi gambaran bahawa Nabi Ibrahim telah berbohong sedangkan sifat  yang wajib bagi para Nabi dan Rasul adalah sifat benar. Para Nabi dan Rasul terpelihara dari bercakap perkataan yang bohong dan dusta.

Hakikatnya, Nabi Ibrahim bukannya menipu. Akan tetapi Baginda menyebutkan satu perkara yang lain akan tetapi difahami dengan maksud yang lain. Perkara ini dijelaskan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani. Beliau berkata :

وأما إطلاقه الكذب على الأمور الثلاثة فلكونه قال قولا يعتقده السامع كذبا لكنه إذا حقق لم يكن كذبا لأنه من باب المعاريض المحتملة للأمرين فليس بكذب محض

Maksudnya : “Ada apa yang Nabi SAW sebutkan tentang Nabi Ibrahim seakan menipu pada tiga perkara pada hakikatnya Nabi Ibrahim berkata satu perkataan yang dianggap oleh orang yang mendengar sebagai bohong akan tetapi setelah diteliti ianya bukan bohong kerana ia termasuk di dalam Al-Mu’aridh (iaitu bercakap dengan perkataan yang membawa banyak maksud) yang mana ianya berkemungkinan membawa dua maksud. Oleh kerana itu ianya bukannya satu pembohongan sama sekali.” (Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/391)

Imam Al-Nawawi menyebut :

فمعناه ان الكذبات المذكورة انما هي بالنسبة إلى فهم المخاطب والسامع واما في نفس الامر فليست كذبا مذموما

Maksudnya : “ Ianya bermakna bahawa penipuan yang disebutkan di dalam hadis tersebut adalah nisbah kepada kefahaman orang yang mendengar. Adapun ucapan itu sendiri ianya bukan penipuan yang dicela. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/124).

Maka dapat kita fahami secara asasnya apa yang disebutkan oleh Nabi Ibrahim difahami sebagai satu perkara yang menipu oleh orang yang mendengar akan tetapi ucapan itu sendiri bukannya satu perkataan bohong. Nabi Ibrahim bermaksud dengan maksud yang lain.

Para ulama menjelaskan dengan lebih terperinci apakah maksud disebalik ucapan Nabi Ibrahim yang disalah anggap sebagai berbohong.

  • إني سقيم iaitu aku sakit ketika diajak oleh kaumnya untuk pergi ke majlis sembahan. Maksud Baginda daripada ucapan tersebut ialah sakit atau tidak mampu untuk menghadirkan sebab yang membenarkan Baginda keluar bersama kaumnya dan tidak ingin menyaksikan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/391; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/126)). Sheikh Dr Solah Al-Khalidi sakit yang dimaksudkan adalah sakit secara ma’nawi. Iaitu Baginda tidak suka apa yang dilakukan oleh kaumnya yang gemar menyembah berhala. (Rujuk Al-Qasas Al-Qur’ani ‘Ard Waqa’i Wa Tahlil Ahdath, 1/354).
  • بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا iaitu yang menghancurkan berhala-berhala tersebut ialah patung yang besar sedangkan Baginda sendiri yang memecahkannya. Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan Al-Qurtubi. Beliau berkata :

تمهيدا للاستدلال على أن الأصنام ليست بآلهة وقطعا لقومه في قولهم إنها تضر وتنفع، وهذا الاستدلال يتجوز فيه في الشرط المتصل، ولهذا أردف قوله: {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ} بقوله: {فَاسْأَلُوهُمْ إِنْ كَانُوا يَنْطِقُونَ} قال ابن قتيبة معناه إن كانوا ينطقون فقد فعله كبيرهم هذا

Maksudnya : “ Ini merupakan satu permulaan untuk berhujah bahawa berhala-berhala tersebut bukanlah Tuhan. Ia juga adalah satu ucapan bagi membantah kaumnya yang mengatakan bahawa berhala tersebut memberi mudarat dan manfaat. Cara berhujah seperti ini diharuskan dengan syarat yang bersambung. Oleh kerana itu selepas mengucapkan yang memecahkan berhala-berhala tersebut adalah berhala yang paling besar, Baginda menyebut tanyalah kepada berhala besar itu jika mereka boleh bercakap. Ibnu Qutaibah berkata : Ia dilakukan oleh berhala yang paling besar jika mereka (berhala-berhala) boleh bercakap. Sekiranya mereka tidak boleh bercakap bukanlah berhala yang paling besar yang melakukannya.” (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/392)

Ini bermakna ianya adalah satu ucapan hujahan untuk membantah apa yang dilakukan oleh kaumnya. Ia merupakan hujah akal yang secara langsung menafikan sembahan-sembahan yang diagungkan oleh kaumnya.

  • هذه أختي iaitu Sarah adalah saudara perempuan aku sedangkan Sarah adalah isteri Baginda. Maksud Nabi Ibrahim adalah Sarah juga adalah saudaranya di dalam agama yang sama. Imam Al-Nawawi menyebut bahawa ia juga adalah satu ucapan untuk mengelakkan dari dizalimi oleh orang yang kafir lagi zalim pada situasi yang genting. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/126).

Inilah takwilan dan maksud sebenar yang dianggap sebagai berbohong oleh orang yang mendengar zahir ucapan tersebut. Akan tetapi hakikatnya maksud yang ingin disampaikan adalah berbeza sepertimana yang difahami. Inilah yang disebut sebagai Al-Mu’aridh (المعاريض). Oleh kerana itu, seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Imran Bin Husain:

إن في المعاريض لَمَنْدوحةً عن الكذب

Maksudnya : “Sesungguhnya pada ucapan Al-Mu’aridh (iaitu ucapan yang bersifat indirect) sangat jauh daripada ucapan menipu.”

Riwayat Al-Bukhari (857) di dalam Al-Adab Al-Mufrad

Kesimpulannya, apa yang disebutkan oleh Nabi Ibrahim seperti mana yang dinyatakan oleh Nabi SAW bukanlah satu ucapan yang bohong akan tetapi ianya membawa maksud yang pelbagai yang dianggap oleh orang yang mendengar sebagai menipu. Akan tetapi ucapan tersebut disebutkan dengan makna dan maksud yang berbeza. Bahkan di dalam Al-Quran, Allah SWT menyifatkan Nabi Ibrahim sebagai seorang Nabi yang benar pertuturan dan perlakuannya. Firman Allah SWT :

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

Maksudnya : “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.”

(Surah Maryam : 41)

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam