Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

SYEIKH AL-AZHAR MENERIMA DELEGASI UTAMA MENTERI WAKAF DAN MUFTI NEGARA-NEGARA ISLAM

KAHERAH, MESIR,15 FEBRUARI 2022 - Imam Besar Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb, Syeikh Al-Azhar Al- Sharif, hari ini menerima kunjugan hormat Prof. Dr. Muhammad Mukhtar Gomaa, Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam Mesir, diiringi oleh delegasi utama menteri-menteri wakaf dan hal ehwal Islam serta mufti dari beberapa buah negara umat Islam, antaranya Sheikh Noor-ul-Haq Qadri, Menteri Hal Ehwal Ugama Pakistan, Sheikh Haji Musa Darami, Menteri Hal Ehwal Ugama Gambia, Dr. Mahmoud Al-Habbash, Ketua Hakim dan Penasihat Presiden Palestin Bagi Hal Ehwal Islam, Sheikh Hatem Muhammad Helmy, Menteri Wakaf Palestin, Sheikh Shaban Ramadan Mubaji, Mufti Uganda dan Datuk Dr. Luqman Abdullah, Mufti Malaysia di luar Persidangan Majlis Tertinggi Bagi Hal Ehwal Islam ke-32 bertajuk “Kontrak Kewarganegaraan dan Kesannya terhadap Keamanan Masyarakat dan Global”.

Imam Besar mengalu-alukan kunjugan para menteri dan mufti ke Al-Azhar Al-Sharif dan negara Mesir yang tercinta serta mendoakan dan mengharapkan kejayaan persidangan ini untuk menghasilkan resolusi yang ideal bagi membantu menyebar luaskan dan mengasimilasikan konsep kewarganegaraan tanpa mengira kepercayaan, warna kulit atau jantina. Beliau juga menegaskan kepentingan penyelarasan bersama dan berterusan antara institusi-institusi agama di dunia, terutama dalam isu-isu  semasa kontemporari.

Pertemuan ini turut membincangkan peranan Akademi Antarabangsa Al-Azhar untuk melatih dan mendidik para imam dan pendakwah serta keperluan untuk terus merangka program latihan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan cabaran yang dihadapi mereka, di samping peranan yang perlu dimainkan oleh institusi Al-Azhar yang bertebaran di negara-negara Islam bagi menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar. Pertemuan ini juga berbincang bagi mencari penyelesaian segera untuk merapatkan jurang perbezaan dari sudut ilmu dan sosial serta halangan-halangan dan penyelesaian yang dihadapi oleh pelajar antarabangsa untuk belajar di Universitii Al- Azhar.

Bagi pihak delegasi, mereka melahirkan rasa gembira dapat bertemu dengan Syeikh Al-Azhar dan menyatakan penghargaan atas usaha murni Syeikh Al-Azhar dalam mempromosikan kefahaman agama Islam yang sebenar dan menangkis salah faham yang cuba dilakukan oleh setengah pihak bagi memberi gambaran buruk terhadap Agama Islam. Delegasi juga mengulangi komitmen mereka terhadap manhaj kesederhanaan dalam pendekatan Al-Azhar. Di akhir pertemuan, delegasi merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Azhar yang telah menghantar ramai guru, imam serta  pendakwah dalam mendidik generasi muda umat Islam di seluruh pelosok dunia.