PUTRAJAYA, 7 NOVEMBER 2024 - Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dengan kerjasama Surau Al-Baiti LPPSA telah mengadakan Program Bicara Murabbi yang menampilkan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, sebagai penceramah dengan tajuk "Akidah dan Adab". Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman agama kakitangan sektor awam melalui penerangan tentang akidah yang sahih, pentingnya adab, serta penerangan berkenaan ajaran sesat yang semakin menular.
Dalam sesi ceramah dan soal jawab, Tuan Haji Jamali memberi panduan mengenai kepentingan menjaga akidah serta mengelakkan ajaran yang bertentangan dengan Islam, dan menjadikan kehidupan seharian sentiasa menerapkan adab dan menyampaikan dakwah, perkongsian serta pendapat dengan penuh hikmah. Program ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan di mana peserta memperoleh kefahaman mendalam tentang isu-isu agama, bahaya ajaran sesat, serta kepentingan berpegang pada akidah dan akhlak yang benar.