SABAK BERNAM, SELANGOR, 23 NOVEMBER 2024 - Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMPW) telah mengadakan Program Satu Kampung Satu Pemimpin (SANTUNI MADANI) di perkampungan Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan di Kampung Batu 37 Darat, Sabak Bernam, Selangor selama tiga hari dua malam bermula pada 21 hingga 23 November 2024. Program turun padang (down-to-earth) ini merupakan salah satu inisiatif yang telah dirangka oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU JPM kepada pemimpin-pemimpin kerajaan dan ketua jabatan Persekutuan. Selain bagi memastikan pemimpin yang telah berjaya tidak melupakan kampung halaman, menimbulkan “sense of belonging" dan meningkatkan potensi kampung untuk dimajukan melalui libat urus dan kerjasama agensi berkaitan.
Pada hari pertama, JMWP mencipta hubungan kemasyarakatan dengan penduduk kampung melalui Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Perdana yang diadakan di Masjid al-Naim, Kampung Batu 37 Darat, Sabak Bernam. Kemudiaan pelbagai aktiviti-activiti menyantuni masyarakat telah diadakan pada hari kedua antaranya melalui Program Ziarah Kasih Guru dan Warga Sekolah Kebangsaan Batu 38 yang merupakan tempat permulaan Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan mendapat pendidikan awal beliau di kampung tersebut. Pelbagai nostalgia ilmu dapat diselami setibanya kami di sana. Sementara itu juga, telah berlangsungnya Program Transformasi Minda yang telah dikendalikan oleh YBrs. Tuan Che’gu Mahadi Mohamed Ismaei’ly, Pakar Perunding Akademi Latihan Profesional Islami Malaysia (ALPIM) kepada para pelajar Sekolah Menengah Agama Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan disempurnakan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada hari kedua itu juga bagi mengeratkan lagi silaturahim yang terbina bersama masyarakat setempat Kampung Batu 37 Darat, Sabak Bernam, para pegawai JMWP dan masyarakat kampung tersebut telah mengadakan kerjasama dan bertungkus-lumus dalam mengadakan gotong royong rewang bagi persediaan Majlis Forum Perdana Santuni Madani yang diadakan pada malam tersebut. Sementara itu, beberapa pegawai JMWP yang diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor Cawangan Sabak Bernam yang diketuai oleh Tuan Haji Huzairi bin Ibrahim, Ketua Operasi Agihan telah menyantuni 10 keluarga asnaf dan warga sakit dan terlantar dalam Ziarah Kasih Asnaf dengan menghulurkan bantuan bakul makanan asasi dan duit sumbangan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pada sebelah malam pula, program ini diserikan dengan majlis keilmuan bertajuk ‘Imarah Masjid, Hidup Barakah’ melalui Majlis Forum Perdana Santuni Madani yang menampilkan Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan Alfadhil Ustaz Mohamad Khair bin Zainal, Pegawai Tadbir Agama Daerah Sabak Bernam sebagai panel forum tersebut dan YBrs. Ustaz Zakaria bin Othman, Pengurus Institut Pemberdayaan Ummah Selangor sebagai moderator. Turut hadir YDH Tuan Dr Hj Paridul Adras Ismail, Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Sabak Bernam dan Ybrs. Tuan Ali Sadikin Sadin , Pegawai Daerah Sabak Bernam. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran hampir 300 penduduk kampung dan masyarakat awam serta menjamu melalui juadah makan malam secara bertalam bagi mengeratkan lagi silaturahim yang terjalin.
Pada hari ketiga pula, program diteruskan dengan sesi kuliah subuh yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk ‘Hukum Musafir Hari Jumaat’ dan diteruskan dengan ceramah ‘Cegah Jenayah’ yang disampaikan oleh Sarjan Mohd Rashid bin Mat Shamsuddin, Bahagian Siasatan Jenayah komersil, Ibu Pejabat Daerah Sabak bernam, Selangor. JMWP juga telah menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan daripada Klinik Kesihatan Daerah Sabak Bernam dan perkhidmatan kaunter bergerak daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor. Program ini juga berjaya mengukuhkan silaturhim bersama masyarakat kampung tersebut dengan mengadakan gotong-royong mengecat kawasan masjid dan mengadakan aktiviti riadah seperti sukaneka bersama masyarakat di sana.
Program Satu Kampung Satu Pemimpin (SANTUNI MADANI) dengan jayanya berakhir melalui Majlis Perasmian Penutupan yang disempurnakan oleh YB Datuk Hj Rizam bin Haji Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna, Pejabat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan turut dihadiri YB Ustaz Salehen bin Mukhyi, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabak. Jabatan ini merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada YBrs. Tuan Kamal bin Kasron, Ketua Kampung Batu 37 Darat Sabak Bernam, Tuan Hj Zaid Ahmad, Pengerusi JPKK Persekutuan, YBrs. Encik Mohd Hairi bin Jeleni, Penghulu Mukim Sabak Bernam dan YBrs. Haji Shahrul Munir bin Maamor, Nazir Masjid al-Naim, Kampung Batu 37 Darat, Sabak Bernam serta seluruh masyarakat Kampung Batu 37 Darat Sabak Bernam yang bertungkus-lumus dalam membantu merealisasikan program ini dengan jayanya. Moga silaturahim yang terbina dikukuhkan melalui program-program mendatang dan berpanjangan serta mendatangkan manfaat kepada semuan pihak.
Terima kasih atas kolaborasi dan sumbangan dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dan Rangkaian Restoran Ali Maju. Semoga kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang.