Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM AMBANG RAMADAN BICARA MUFTI : PENGHUNI AR-RAYYAN

PUTRAJAYA, 24 FEBRUARI 2025 – Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Awam telah menganjurkan Program Ambang Ramadan Bicara Mufti: Penghuni Ar-Rayyan bertempat di Dewan Mezzanine, blok C10, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, dijemput sebagai penceramah yang menyampaikan pengisian berkaitan persediaan menghadapi bulan Ramadan, kepentingan pencarian malam Lailatul Qadar, serta motivasi bagi mempertingkatkan amalan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Encik Jalil Husni bin Yahaya, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dalam ceramah Mufti Wilayah Persekutuan, beliau menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga madrasah ruhani yang mendidik umat Islam menjadi lebih bertakwa dan berdisiplin. Beliau turut mengingatkan hadirin mengenai keistimewaan malam Lailatul Qadar, di mana amalan pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan. Oleh itu, setiap individu perlu berusaha meningkatkan ibadah dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan agar beroleh ganjaran yang dijanjikan. Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif, di mana para peserta berpeluang mendapatkan jawapan langsung daripada penceramah dalam usaha meningkatkan persediaan menjelang Ramadan.

Semoga program ini memberi manfaat kepada semua yang hadir dan menjadi inspirasi untuk meningkatkan amal ibadah serta kesedaran dalam menghadapi Ramadan tahun ini dengan lebih bersedia.