Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT DAN KUNJUNGAN MAHABBAH DENGAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA, 12 MAC 2025 - Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, telah menerima kunjungan hormat daripada Maulana Manan, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, bersama rombongan dari Pondok Magelang, Indonesia yang terdiri daripada Kiyai Solihin, Kiyai Muhyiddin, dan Kiyai Ismail.

Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta berbincang mengenai isu-isu berkaitan hukum syarak dan perkembangan institusi pendidikan pondok. Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pemerkasaan institusi pondok dalam menyampaikan ilmu Islam secara berkesan kepada masyarakat.

Dalam sesi ini, delegasi juga mengadakan pertemuan dengan Unit Buhuth Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi membincangkan pelbagai isu dan penyelidikan berkaitan hukum Islam. Pertemuan ini turut dihadiri oleh Ustaz Sabri bin Mat Yasim, Ketua Unit Buhuth, Dr. Syed Shahridzan bin Syed Mohamed, Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan) serta para pegawai Unit Buhuth.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi pondok serta badan-badan yang berkaitan dengan hukum syarak. Semoga pertemuan ini membawa manfaat yang besar dalam usaha memperkasa institusi Islam dan menyebarkan kefahaman agama yang sahih kepada masyarakat.