PUTRAJAYA, 7 APRIL 2025 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan hari ini menerima kehadiran tiga pegawai baharu yang telah melapor diri secara rasmi di ibu pejabat Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Pelantikan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk memperkukuhkan pentadbiran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai agensi kefatwaan serta mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Mereka terdiri daripada En. Mohd Radhi bin Abdul Ghani, En. Mohd Zulrushdi bin Salleh dan En. Khairulnizam bin Khadri.
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada tiga pegawai yang akan berpindah ke agensi baharu. En. Eizzul A'la bin Bajuri @ Mohamad akan meneruskan khidmat bakti beliau di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), manakala En. Muhammad Abdul Hadi bin Abd Razak akan memulakan tugas baharu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Seorang lagi pegawai, En. Mohd Nazarudi bin Mohd Nadzir pula akan bertugas di Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berharap agar kehadiran pegawai-pegawai baharu ini akan menyuntik semangat dan idea baharu ke dalam organisasi, seterusnya memperkasa lagi usaha dakwah, penyelidikan hukum serta tadbir urus hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan. Pada masa yang sama, jabatan ini juga mendoakan agar pegawai-pegawai yang berpindah terus cemerlang dalam perkhidmatan mereka dan menjadi duta yang mengharumkan nama jabatan ini di tempat baharu.