Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

HARI BERTEMU PELANGGAN DAN RUMAH TERBUKA SYAWAL 1446H

LABUAN, 28 APRIL 2025 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan dan Rumah Terbuka Syawal 1446H, yang berlangsung serentak di premis pejabat bermula dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Penganjuran program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara jabatan dan masyarakat melalui pendekatan mesra pelanggan, di samping menyemarakkan sambutan Syawal dengan semangat ukhuwah dan perpaduan. Para pengunjung berpeluang mendapatkan khidmat nasihat secara terus berkaitan hukum-hakam, fatwa dan hal ehwal agama Islam daripada pegawai-pegawai yang bertugas.

Majlis turut diserikan dengan jamuan hari raya serta sesi ramah mesra bersama kakitangan pejabat. Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pengarah, ketua-ketua jabatan, wakil-wakil jabatan kerajaan, agensi bukan kerajaan dan orang awam sekitar Labuan.

Turut berlangsung pada hari yang sama, lawatan kerja oleh delegasi Jabatan Mufti Johor yang diketuai oleh Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Johor. Rombongan telah disambut oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dr. Nik Azlan bin Nik Man, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Labuan.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi mufti serta membincangkan cabaran dalam menangani fikrah ajaran sesat serantau. Di samping itu, turut disentuh ialah usaha-usaha memperteguhkan kefahaman aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Pada sebelah petang, delegasi dan pelajar serta pembimbing Kolej Matrikulasi Labuan turut berkesempatan melawat Tapak Cerapan Hilal Rasmi Wilayah Persekutuan Labuan yang terletak di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan. Seterusnya, mereka menyertai aktiviti cerapan hilal bagi bulan Zulkaedah, yang menjadi platform berharga untuk perkongsian pengalaman serta pemantapan ilmu dalam bidang falak syarie.
Program seumpama ini adalah medium bagi mendekatkan institusi agama dengan masyarakat serta memperkukuhkan peranan jabatan dalam menyampaikan maklumat berautoriti dan sahih kepada umum.