Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM MAHRAJAN CINTA RASUL TAHUN 1448H/2026M : WILAYAH PERSEKUTUAN BERTAFAQQUH

KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 – Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448H/2026M telah berlangsung dengan penuh penghayatan di bawah tema “Wilayah Persekutuan Bertafaqquh” di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan (MWP).

Majlis tersebut telah dirasmikan dan disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), program juga diserikan dengan kehadiran YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Mohd Bakhari bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), YBrs Hj. Mustakim bin Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Hj. Yahya Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). YB Menteri juga telah menyempurnakan pelancaran dua buah buku yang akan dijadikan bahan bacaan utama bagi dua hari penganjuran program.

Program yang pertama dan julung kali diadakan ini dengan menghuraikan dua buah kitab iaitu Kitab Bidayah As-sul fi Tafdil Ar-Rasul karangan Syeikh Al-Izz Abd Aziz bin Abd Salam Al-Sulami dan Kitab Manaqib al-Ummah al-Muhammadiah wa Khasaisuha karangan Syeikh Abdullah bin Abd Qadir Al-Talidiy. Dua buah kitab ini membawa gambaran berkenaan kelebihan dan kehebatan Rasulullah s.a.w dan kelebihan menjadi umat Baginda s.aw. Ini merupakan inisiatif Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dalam memperkasa keilmuan Masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan di samping menyambut Maulidur Rasul SAW pada tahun ini yang menjadi wadah untuk memperingati dan menghayati perjuangan, sirah serta akhlak mulia Rasulullah SAW, di samping memperkukuh kecintaan umat Islam terhadap Baginda.

Program dimulakan dengan sesi pembacaan biografi Syeikh Al-Izz Abd Aziz bin Abd Salam Al-Sulami oleh Prof. Dato’ Dr. Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia kemudian disusuli dengan penghuraian kitab oleh Sahibul Fadilah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Majlis ilmu seperti ini mencerminkan komitmen Jabatan dalam menyokong usaha memperkukuh penghayatan Islam serta menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat. Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuh kesatuan dan kebersamaan umat Islam dalam membina ummah yang berakhlak, sejahtera dan diberkati.