Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT YAYASAN WAQAF MALAYSIA (YWM) KE JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA, 8 September 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi membincangkan usaha pembangunan dan pemerkasaan wakaf di Malaysia, khususnya dalam memperluas peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang memberi manfaat secara berterusan kepada masyarakat.

Kunjungan tersebut diketuai oleh YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia. Perbincangan turut memberi perhatian kepada kepentingan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap konsep dan fungsi wakaf, di samping meneroka pendekatan baharu yang mampu mengoptimumkan manfaat harta wakaf dalam bidang pendidikan, kebajikan, ekonomi dan pembangunan sosial. Usaha tersebut dilihat selari dengan prinsip Maqasid Syariah dalam memastikan manfaat wakaf dapat disalurkan secara menyeluruh kepada golongan yang memerlukan.

Dalam masa yang sama, kedua-dua agensi turut membincangkan ruang kerjasama strategik antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, khususnya dalam aspek penyelidikan, penerangan dan pendidikan berkaitan wakaf, pembangunan kandungan ilmu serta penganjuran program yang dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat terhadap agenda wakaf di Malaysia.

Kunjungan ini diharapkan dapat menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama antara kedua-dua agensi dalam memperkasa ekosistem wakaf negara. Kerjasama yang berterusan antara institusi fatwa dan agensi pengurusan wakaf diyakini mampu menyokong pembangunan wakaf yang lebih tersusun, berdaya saing dan berteraskan syariah demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan ummah.