Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

JMWP KONGSI KEPAKARAN CERAPAN HILAL BERSAMA DELEGASI UIN SIBER SYEKH NURJATI CIREBON

PUTRAJAYA, 13 Oktober 2026 – Unit Falak, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menerima kunjungan hormat delegasi Universitas Islam Negeri (UIN) Siber Syekh Nurjati Cirebon, Indonesia, yang diketuai oleh YBrs. Dr. H. Edy Setyawan, Dekan Fakultas Syariah merangkap Ketua Penyelidik.

Ketibaan delegasi disambut oleh YBhg. Datin Najibah binti Abdul Mutalib, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Fatwa), bersama pegawai Unit Falak JMWP. Delegasi turut dibawa melawat lokasi cerapan hilal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kunjungan ini bertujuan mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman berkaitan pelaksanaan cerapan hilal di Malaysia, khususnya kesesuaian lokasi cerapan di kawasan pesisir pantai dan tanah tinggi, bagi menyokong penyelidikan pihak UIN Siber Syekh Nurjati Cirebon.

Dalam sesi perkongsian, pegawai Unit Falak JMWP memberikan penerangan mengenai prosedur operasi standard, pelaksanaan cerapan dan kriteria pemilihan lokasi, termasuk faktor geografi, keadaan persekitaran serta cabaran teknikal yang mempengaruhi keberkesanan cerapan hilal.

Kunjungan ini diharapkan dapat memperluas jaringan perkongsian ilmu dan kepakaran, sekali gus menyumbang kepada perkembangan bidang falak di peringkat serantau.

JMWP sentiasa komited memperkasa bidang falak syarie melalui pengembangan ilmu, penyelidikan dan perkongsian kepakaran di peringkat nasional serta antarabangsa, sekali gus mengangkat kepakaran Malaysia ke persada dunia.