Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 5/2025: ULASAN TITAH UCAPAN YDPA SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1447H: UTAMAKAN PERPADUAN UMMAH, ELAK MANIPULASI AGAMA UNTUK KEPENTINGAN SEMPIT

TintaMufti.jpeg

 

ULASAN TITAH UCAPAN YDPA SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1447H

UTAMAKAN PERPADUAN UMMAH, ELAK MANIPULASI AGAMA UNTUK KEPENTINGAN SEMPIT

 

Pengenalan

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menjunjung tinggi titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 H peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur yang telah berlangsung pada hari Jumaat, 27 Jun 2025. Titah Baginda tersebut sangat penting untuk dijadikan pedoman bagi setiap warganegara Malaysia khususnya umat Islam, dalam menghayati semangat hijrah Rasulullah SAW. Sebagai tanda menjunjung titah tersebut, pihak JMWP akan menghuraikan beberapa isi penting yang ditegaskan dan ditekan oleh YDPA dalam titah Baginda tersebut.

 

Syariat Islam Sempurna dan Syumul

Pertama, Seri Paduka Baginda menyifatkan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai permulaan tamadun Islam yang sangat besar maknanya. Tamadun yang dibina tersebut adalah berteraskan kepada nilai-nilai Islam dan kerohanian, bukan pembangunan dari sudut fizikal semata-mata. Hal ini dapat dilihat daripada tindakan Rasulullah SAW yang terlebih dahulu mempersatukan penduduk di Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan penganut agama yang berbeza melalui suatu perjanjian bertulis yang dinamakan sebagai Piagam Madinah.

Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan satu cara hidup (al-din) yang syumul dan lengkap. Hal ini seperti yang dirakamkan dalam firman Allah SWT, surah al-Maidah, ayat 3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Imam al-Razi dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa antara ciri istimewa bagi syariat Islam ialah bersifat sempurna dan melengkapi kehidupan manusia selama-lamanya[1]. Pada fasa penurunan wahyu, setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT mencukupi untuk menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan manusia pada masa tersebut. Bahkan terdapat ayat yang dimansuhkan dan ditambah bagi melengkapi kekurangan. Lebih-lebih lagi setelah berakhirnya penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW, ia jelas menunjukkan bahawa syariat Islam telah sempurna sepenuhnya. Oleh itu, syariat merupakan perlembagaan dan sumber panduan hidup manusia yang merangkumi segenap aspek dalam kehidupan. Antaranya termasuklah dalam hal ehwal politik, kepimpinan dan pentadbiran dalam sesebuah negara.

 

Larangan Perbuatan Menunggang Agama Untuk Kepentingan Parti Politik

Antara perkara yang turut dibangkitkan dalam titah ucapan Seri Paduka Baginda ialah peringatan ikhlas oleh Tuanku kepada semua pihak agar tidak memperalatkan agama demi kelangsungan parti politik. Baginda menegaskan bahawa agama Islam di negara ini berada pada kedudukan yang mulia. Lantaran itu, umat Islam tidak sewajarnya mencemarkan kesucian agama ini untuk memenuhi agenda peribadi atau kepentingan tertentu. Hal ini bukanlah bermaksud umat Islam dilarang daripada melibatkan diri dalam politik. Sebaliknya, umat Islam hendaklah memastikan bahawa pendekatan atau ideologi politik yang hendak dibawa mestilah bertepatan dengan prinsip syarak dan tidak melanggar batasannya. Antara batasan tersebut ialah larangan menunggang atau memperalatkan agama untuk kepentingan sempit sama ada untuk peribadi atau parti politik sendiri. Kesucian agama Islam yang luhur ini wajib dipelihara. Ia tidak seharusnya dicemari dengan hanya dijadikan slogan, retorik atau sekadar penampilan luaran yang bersifat Islamik oleh mana-mana pihak. Sesungguhnya perjuangan Islam yang sebenar adalah bertujuan untuk mengangkat tinggi kalimah Allah SWT dan bukan untuk mengangkat diri atau parti politik sendiri. Sabda Rasullah SAW:

مَن قاتَل لتكونَ كلمةُ اللهِ هي العليا فهو في سبيلِ اللهِ.

Maksudnya: Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah SWT merupakan yang tertinggi maka dia berada di jalan Allah SWT (fi sabilillah).

(Riwayat Ibn Hibban)

Dalam hal ini, bergiat dalam politik merupakan suatu wasilah untuk mencapai kemaslahatan bagi agama dan negara. Oleh yang demikian, syariat Islam memberikan kebebasan kepada umat Islam untuk bergiat aktif dalam politik dengan memilih sebarang wadah atau saluran perjuangan yang dinilai selari dengan ideologi atau pendirian peribadi. Namun begitu, kebebasan tersebut bukanlah bersifat mutlak. Sebaliknya, terdapat garis panduan syarak yang perlu dipatuhi demi memastikan agenda politik yang hendak dibawa tidak menyalahi perintah syarak, bertentangan dengan maqasid atau maslahah umat Islam.

Lantaran itu, kebebasan berpolitik dalam Islam tidak terhad kepada wadah, jenama atau parti tertentu. Bahkan perjuangan politik yang berteraskan nilai universal seperti keadilan, keamanan, keharmonian dan seumpamanya juga menepati prinsip-prinsip umum dalam syariat Islam. Dalam pada itu, umat Islam juga bertanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam daripada tabiat politik yang dinamik dan anjal terhadap sebarang perubahan dalam mencatur strategi untuk meraih kemenangan serta menewaskan musuh. Sikap taasub dalam berpolitik dan suka menyebarkan fitnah serta kebencian berkaitan perkara ini akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.

 

Larangan Menjadikan Masjid Sebagai Medan Perseteruan Politik

Kebawah Duli Tuanku turut berpesan agar tidak menyalahgunakan fungsi masjid sebagai tempat untuk berpolitik. Dalam konteks titah tersebut, larangan berpolitik yang dimaksudkan ialah membincangkan hal ehwal politik dalam kerangka kepartian dengan tujuan berkempen bagi mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau mengundi parti politik tertentu. Hal ini dilihat menyalahi fungsi asal masjid atau surau yang didirikan bagi menyediakan kemudahan umat Islam untuk beribadah dan menuntut ilmu. ِAllah SWT berfirman:


لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya).”

Surah al-Taubah (108)

Menurut al-Tabari, ayat ini menunjukkan fungsi asal bagi pembinaan sesebuah masjid iaitu mengajak manusia untuk mentaati Allah SWT dan bertakwa kepada-Nya[2]. Lantaran itu, perbincangan mengenai politik yang menjurus ke arah kepartian dilihat bertentangan dengan maksud daripada ayat ini. Hal ini kerana, perkara tersebut cenderung kepada hal ehwal keduniaan apabila berbicara soal keperluan untuk kemenangan parti, membangkitkan semangat persaingan yang boleh mendorong ke arah perseteruan dan permusuhan seterusnya mencetuskan suasana yang tidak harmoni dalam rumah Allah SWT. Walhal, masjid dan surau seharusnya menjadi ruang yang boleh menyatukan umat Islam di sebalik kepelbagaian latar belakang dan ideologi politik. Sejajar dengan itu, pendekatan menfokuskan terhadap pembangunan ummah seperti menganjurkan majlis ilmu, program-program kemasyarakatan dan aktiviti-aktiviti sosial amat wajar dilaksanakan oleh pengurusan masjid. Oleh itu, titah Seri Paduka Baginda dalam hal ini perlu diberikan perhatian oleh semua pihak demi kebaikan bersama.                 

 

Berusaha Mencapai Perpaduan Ummah

Di samping itu, YDPA dalam ucapan Baginda turut menekankan kepentingan untuk memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat. Inilah juga pengajaran yang terbesar dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang menunjukkan bahawa perpaduan dalam kalangan umat Islam merupakan kekuatan utama bagi mereka. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa dan menyuruh umat Islam untuk bersatu padu serta tidak berpecah belah. Antaranya firman Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ‎﴿١٠٣﴾‏

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

(Surah Ali Imran: 103)

Menurut Ibn Kathir, antara maksud daripada ayat ini ialah perintah Allah SWT kepada orang beriman agar bersatu padu dan menjauhi perpecahan. Bahkan, Allah SWT juga mengurniakan kebaikan ke atas golongan yang bersatu dengan melindungi mereka daripada melakukan kesalahan[3]. Berdasarkan konteks ayat ini, ia merujuk kepada kesatuan umat Islam dalam hal berkaitan agama. Namun jika difahami dengan lebih meluas, ayat ini juga menunjukkan bahawa agama Islam amat mementingkan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, umat Islam seharusnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat yang lain dalam menyuburkan semangat perpaduan antara kaum, berusaha menyelesaikan sebarang konflik melalui jalan perdamaian, menjauhi sentimen yang boleh mencetuskan permusuhan serta perpecahan.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia titah YDP Agong ini perlu dijadikan sebagai pedoman dan dilaksanakan sebaiknya dalam kerangka ketaatan kepada pemerintah dalam perkara makruf dan kebaikan. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ.

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Selain itu, dalam kesempatan ini juga pihak JMWP ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 1447 Hijrah. Kami mendoakan agar seluruh umat Islam khususnya di Malaysia sentiasa dilimpahkan dengan nikmat keamanan dan kemakmuran yang berterusan, inshaAllah.

WaAllahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
3 MUHARRAM 1447 / 29 JUN 2025

[1] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb (Beirut:Dar Ihya’ al-Turath,1420H), 11:287.

أَنَّ الدِّينَ مَا كَانَ نَاقِصًا الْبَتَّةَ، بَلْ كَانَ أَبَدًا كَامِلًا، يَعْنِي كَانَتِ الشَّرَائِعُ النَّازِلَةُ مِنْ عِنْدِ اللَّه فِي كُلِّ وَقْتٍ كَافِيَةً فِي ذَلِكَ الْوَقْتِ، إِلَّا أَنَّهُ تَعَالَى كَانَ عَالِمًا فِي أَوَّلِ وَقْتِ الْمَبْعَثِ بِأَنَّ مَا هُوَ كَامِلٌ فِي هَذَا الْيَوْمِ لَيْسَ بِكَامِلٍ فِي الْغَدِ وَلَا صَلَاحَ فِيهِ، فَلَا جَرَمَ كَانَ يَنْسَخُ بَعْدَ الثُّبُوتِ وَكَانَ يَزِيدُ بَعْدَ الْعَدَمِ، وَأَمَّا فِي آخِرِ زَمَانِ الْمَبْعَثِ فَأَنْزَلَ اللَّه شَرِيعَةً كَامِلَةً وَحَكَمَ بِبَقَائِهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَالشَّرْعُ أَبَدًا كَانَ كَامِلًا، إِلَّا أَنَّ الْأَوَّلَ كَمَالٌ إِلَى زَمَانٍ مَخْصُوصٍ

[2] Abu Ja’afar al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil fi Ayi al-Quran (Mekah:Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.t), 14:474.

يعني بقوله: (أسس على التقوى) ، ابتدئ أساسه وأصله على تقوى الله وطاعته

[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-’Azim (Beirut:Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah,1998), 2:77.

وقوله : ( ولا تفرقوا ) أمرهم بالجماعة ونهاهم عن التفرقة

وقد ضمنت لهم العصمة ، عند اتفاقهم ، من الخطأ