Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 6/2025: MENYELESAIKAN KEKELIRUAN IBADAH HAJI TIDAK SAH

 

TintaMufti.jpg

 

MENYELESAIKAN KEKELIRUAN IBADAH HAJI TIDAK SAH

 

Pengenalan

Sambutan tahun baharu hijrah baru-baru ini menandakan bermulanya kalendar hijri yang baharu. Pada masa yang sama, musim haji bagi tahun 1446 hijrah yang lalu juga telah berakhir. Kebanyakan jemaah haji telah pulang dan selamat tiba di negara masing-masing. Sebahagian jemaah pulang dalam keadaan hati yang gembira kerana telah berjaya menyempurnakan rukun Islam kelima. Manakala terdapat sebahagian yang lain pula berasa sebaliknya kerana ditimpa ujian yang menghalang pelaksanaan ibadah berjalan seperti yang dirancang. Sesetengah daripada mereka beranggapan halangan sedemikian menyebabkan ibadah haji yang dilakukan tidak sah dan perlu mengulanginya kembali. Sesetengah yang lain pula mendakwa ibadah haji tersebut tetap sah kerana mengambil kira pandangan daripada mazhab yang lain. Perbezaan pandangan ini secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pelaksanaan ibadah haji berasaskan kepada mazhab tertentu. Sehubungan dengan itu, penulisan ini bertujuan memberikan pencerahan kepada masyarakat berhubung terhadap pelaksanaan ibadah haji yang dianggap tidak sah tersebut.

Menurut Tahir Ibn ‘Asyur, salah satu daripada maqasid syariah yang utama ialah memastikan agama ini bersifat mudah dan tidak membebankan umatnya. Islam datang sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebahagian daripada manifestasi rahmat itu ialah dengan memberikan kemudahan dalam melaksanakan tuntutan agama. Prinsip ini jelas dapat dilihat melalui banyak nas dan dalil syar‘ie yang menganjurkan agar segala urusan agama disampaikan dan diamalkan dengan penuh hikmah, kelembutan dan kesederhanaan, selaras dengan fitrah manusia. Salah satu dalil yang jelas dalam menggambarkan keindahan dan kelembutan prinsip ini terkandung dalam sebuah hadis sahih yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mengutus dua orang sahabat bernama Mu‘az bin Jabal dan Abu Musa al-Asy‘ari ke Yaman, lalu Baginda bersabda:

يَسِّرا وَلا تُعَسِّرَا، وَبَشِّرا وَلا تُنَفِّرَا، وَتَطَاوَعا وَلا تَخْتَلِفَا

Maksudnya: "Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, berilah berita gembira dan jangan membuat orang lari, dan bekerjasamalah serta jangan berselisih."

(Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga terdapat kaedah fiqh yang dirumuskan daripada dalil-dalil di atas iaitu:

المشقة تجلب التيسير

Maksudnya: “Kesukaran akan membuka kepada pintu kemudahan.”

Secara asasnya, penentuan hukum sah ataupun tidak bagi sesuatu ibadah dinilai berdasarkan kepada ketetapan dalam mazhab fiqh yang diikuti oleh individu tersebut. Bagi umat Islam di Malaysia, mazhab Syafi'i merupakan mazhab yang menjadi sumber rujukan berkaitan hal ehwal perundangan agama Islam di negara ini. Perkara ini dapat dilihat menerusi fasal yang khusus dalam enakmen atau akta pentadbiran agama Islam negeri yang menjelaskan mengenai keutamaan kepada Mufti untuk mengeluarkan fatwa berdasarkan kepada qaul muktamad dalam mazhab Syafi'i. Namun sekiranya pandangan tersebut bertentangan dengan kepentingan awam, maka Mufti boleh memberikan fatwa berasaskan pandangan yang muktamad daripada mazhab lain. Oleh yang demikian, mazhab bagi orang awam ialah mengikuti fatwa atau pandangan hukum daripada Mufti mereka. Sebahagian ulama kontemporari menyabutkan bahawa talfiq yang dilakukan oleh masyarakat awam adalah disebut sebagai talfiq tanpa sengaja (التلفيق من غير قصد). Hal ini kerana talfiq yang dilakukan oleh orang awam bukan kerana niat sengaja untuk bertalfiq, tetapi mengikuti pandangan daripada mufti kerana mazhab bagi orang awam ialah mazhab mufti mereka.

Lazimnya, pengeluaran fatwa berlaku disebabkan oleh timbulnya permasalahan-permasalahan baharu yang tidak mempunyai jawapan hukum yang jelas daripada rujukan sebelumnya. Selain itu, penyelesaian terhadap permasalahan tersebut juga masih terbuka kepada perbincangan sama ada memilih untuk mengikuti pandangan sedia ada, menggunakan kaedah qiyas terhadap pandangan fiqh sebelumnya, mengikut pandangan muktamad dalam mazhab lain ataupun mengambil langkah progresif untuk berijtihad.

Menurut ulama mutakhir mazhab Syafi’i seperti Imam al-Baijuri dan Imam al-Syirwani, seseorang yang menghadapi situasi yang melibatkan isu khilafiyyah dibolehkan untuk mengikut pandangan mana-mana ulama yang mengharuskan perkara tersebut. Prinsip ini memberi ruang kepada umat Islam untuk memilih pandangan yang lebih ringan atau sesuai dalam keadaan tertentu, selagi mana ia berasaskan pendapat ulama yang muktabar. Namun begitu, penggunaannya hendaklah berlandaskan keperluan sebenar dan tidak bertujuan untuk mengambil mudah hukum-hakam agama. Kaedah yang diguna pakai oleh para ulama mutakhir dalam Mazhab Syafi‘i berhubung perkara ini adalah seperti berikut:

فَمَنِ ابْتُلِيَ بِشَيْءٍ مِنَ المـُخْتَلَفِ فِيْهِ فَلَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَاْزَ

Maksudnya:Sesiapa yang berada dalam keadaan yang mendesak pada perkara yang diperselisihkan oleh ulama maka dia boleh mengambil pandangan yang membolehkan.”

Penjelasan berhubung isu "Bilakah Keadaan yang Dibenarkan untuk Mengambil Pandangan Mazhab Lain?" pernah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Untuk bacaan lanjut, rujuk pautan berikut:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/6227-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-77-bilakah-keadaan-yang-dibenarkan-untuk-mengambil-pandangan-mazhab-lain

Antara permasalahan semasa yang memerlukan penelitian semula dari sudut hukum fiqh ialah isu-isu berkaitan pelaksanaan ibadah haji. Hal ini kerana terdapat beberapa isu fiqh haji yang berlaku pada masa kini dihukumkan sebagai tidak sah di sisi mazhab Syafi'i. Namun begitu, Jawatankuasa Muzakarah Haji Kebangsaan telah mengeluarkan resolusi yang memberikan panduan kepada jemaah haji dalam mendepani permasalahan ini. Berdasarkan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-41 yang telah bersidang pada 27 hingga 29 September 2024, terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi oleh jemaah haji dalam menggunakan pendekatan talfiq iaitu menggabungkan pandangan mazhab bagi meringankan kesukaran yang perlu dihadapi ketika menunaikan ibadah haji. Antaranya ialah[1]:

a) Tidak bertujuan semata-mata untuk mengikut pandangan yang lebih mudah dengan niat untuk bermudah-mudah dalam beribadah (tatabbu' al-rukhas)

b) Pandangan tersebut tidak berlawanan dengan ijmak

c) Pendekatan talfiq dalam permasalahan haji hanya dibenarkan sekiranya tiada pandangan dalam mazhab Syafi'i yang boleh dijadikan sebagai sandaran atau pandangan tersebut berlawanan dengan kepentingan awam atau bertentangan dengan ketetapan daripada pihak berkuasa.

Antara contoh isu fiqh haji yang berbangkit adalah seperti[2]:

a) Pembatalan wuduk ketika tawaf kerana tersentuh antara lelaki dengan wanita ajnabi

b) Wanita bermusafir untuk menunaikan haji atau melakukan umrah ketika musim haji tanpa diiringi oleh mahram

c) Wanita yang mengalami haid setelah memulakan ibadah haji tamattu' dan tidak sempat untuk berada dalam keadaan suci apabila tiba hari wuquf di Arafah serta tidak boleh mengubah niat kepada haji qiran.

d) Wanita yang mengalami haid selepas selesai melakukan tahallul awal namun tidak sempat untuk melakukan tawaf ifadah dan tidak sempat berada dalam keadaan suci apabila pulang ke negara asal masih dianggap berada dalam keadaan ihram menurut mazhab Syafi'i.

Berkenaan permasalahan ibadah haji dan umrah lampau, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 menyatakan:

a) Amalan-amalan haji dan umrah masa lampau yang baru diragui kesahihannya, tidak memberi apa-apa kesan dari segi hukum jika dia yakin sah ketika melaksanakannya dahulu.

b) Amalan-amalan haji dan umrah lampau yang diyakini tidak sah mengikut mazhab Syafi’i maka boleh bertaqlid kepada mazhab lain untuk mengesahkannya jika ada.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, jemaah haji yang beranggapan ibadah haji mereka sebelum ini tidak sah menurut mazhab Syafi’i tidak perlu berasa khuatir. Hal ini kerana kekeliruan terhadap perkara ini dapat diselesaikan menerusi pendekatan mengambil pandangan daripada mazhab lain yang membenarkan. Namun begitu, pendekatan ini hendaklah mengikut garis panduan khusus yang perlu dipatuhi demi memastikan ia tidak mengandungi unsur hawa nafsu iaitu bersikap culas atau bermudah-mudah dalam ibadah hingga mencampur aduk pandangan antara mazhab. Dalam konteks pengurusan ibadah haji di Malaysia, umat Islam boleh merujuk kepada resolusi yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan dalam mengetahui isu-isu semasa ibadah haji yang dibenarkan untuk mengikuti pandangan mazhab lain. Hal ini bertepatan dengan salah satu ciri keistimewaan bagi syariat Islam iaitu memberikan kemudahan dan tidak membebankan umat Islam terutamanya ketika terpaksa berdepan dengan situasi yang sukar dalam melaksanakan ibadah.

WaAllahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
4 MUHARRAM 1447 / 30 JUN 2025

 

Rujukan:

[1] "Resolusi Muzakarah Haji", laman sesawang Tabung Haji, diakses pada 28 Jun 2025, https://www.tabunghaji.gov.my/ms/haji/bimbingan/resolusi-muzakarah-haji-0

[2] Anisah Ab. Ghani, "Kedudukan Mazhab Syafi'i dalam Ibadat di Malaysia." Jurnal Fiqh 4 (2007): 185-196.