Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 37/2025: KEPENTINGAN HUBUNGAN ULAMA-UMARA DALAM PEMBINAAN NEGARA MADANI

TintaMufti.jpg

KEPENTINGAN HUBUNGAN ULAMA-UMARA DALAM PEMBINAAN NEGARA MADANI

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Ucapan YB Senator Dato Setia Dr Hj Mohd Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ) dalam Jelajah Ulama-Umara Peringkat Kebangsaan dan Karnival al-Falah Madani Permatang Pauh 2025 di Masjid Mengkuang Titi, Pulau Pinang baru-baru ini merupakan sesuatu ucapan penting untuk dihayati dalam memahami kepentingan hubungan ulama dan umara dalam pembinaan sesebuah negara. Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan berkaitan keperluan kerjasama antara para ulama dan umara dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Ulama diberikan ilmu berdasarkan panduan wahyu perlu untuk memberikan pandangan dan teguran secara beradab dan berhikmah kepada para umara. Manakala umara hendaklah mendengar dan menerima nasihat yang diberikan oleh para ulama dalam melaksanakan dasar pentadbiran dan urustadbir negara

Sememangnya kedudukan kedua-dua goloangan merupakan sesuatu yang diberikan perhatian yang serius oleh syarak. Hal ini dengan terdapat ayat al-Quran dan hadith yang menekankan tentang ketinggian martabat dan kedudukan kedua-dua golongan ini. Antaranya firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ‎﴿٥٩﴾‏

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah al-Nisa’: 59)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ ‌الْعُلَمَاءَ ‌وَرَثَةُ ‌الْأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ

Maksudnya: Ulama pewaris para nabi dan para nabi tidak mewarisi harta sama ada dinar ataupun dirham tetapi mereka mewariskan ilmu.

(Riwayat Ibn Majah)

Aspek hubungan antara ulama dan umara ini merupakan kunci utama dalam pembinaan sesebuah negara yang harmoni dan makmur. Bahkan dengan baiknya kedua-dua golongan ini menentukan baiknya sesebuah negara dan masyarakat. Hubungan yang rapat antara kedua-dua golongan ini juga digambarkan oleh al-Ghazali dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I’tiqad bahawa:

الدين أسٌّ والسلطان حارثٌ، وما لا أسَّ له فمهدومٌ، وما لا حارس له فضائع.

Maksudnya: Agama ialah asas dan pemerintah ialah penjaganya. Setiap apa yang tidak mempunyai asas maka akan runtuh, manakala setiap apa yang tidak mempunyai penjaga akan terabai.[1]

Berdasarkan kata-kata ini, ia menunjukkan bahawa kerjasama antara ulama dan umara perlu diberikan perhatian daripada sudut peranan masing-masing. Ulama ialah golongan yang menerangkan panduan beragama kepada masyarakat dan memastikan mereka mengikut petunjuk daripada wahyu. Manakala umara pula merupakan penjaga bagi asas ini dengan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan sempurna dan tidak diancam dengan pelbagai ancaman yang ingin mengagalkannya.

Disamping itu juga, nasihat dan teguran yang disampaikan oleh ulama kepada umara mestilah mengikut adab dan akhlak dalam Islam untuk memastikan ia dapat disampaikan dengan berkesan kepada para umara serta untuk menjaga hubungan erat antara kedua-dua. Ini berdasarkan firman Allah:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

(Surah al-Nahl: 125)

Selain daripada itu, ulama perlu menjadi tauladan yang baik bagi masyarakat dalam menasihati para umara dengan cara yang terbaik dan bukan menjadi contoh yang tidak baik yang menjadi membawa kepada perpecahan umat. Sebaliknya, ulama menjadikan umat dapat bersatu padu dan menenangkan keadaan dengan ilmu yang sahih dan akhlak yang tinggi. Oleh yang demikian, keberadaan ulama di sisi umara merupakan suatu perkara terpenting dalam usaha pembinaan sesebuah negara supaya negara bukan sahaja makmur dan maju dari sudut ekonomi, malah turut disuburkan dengan keimanan dan ketaqwaan yang menjamin kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Dalam masa yang sama, pihak umara pula hendaklah memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka dilaksanakan dengan penuh amanah dan berintergriti. Mereka perlu mengambil berat nasihat dan teguran para ulama untuk memastikan pentabdiran kerajaan diurus dengan ihsan, adil dan mengutamakan kemaslahatan rakyat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, cabaran zaman semasa ini seperti perpecahan umat Islam, kebejatan moral dan kekeliruan maklumat serta ancaman daripada pelbagai pemikiran asing semasa ini seharuskan dirujuk kepada para ulama dalam memandu ke jalan yang diredai oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, hubungan erat dan kerjasama antara ulama dan umara adalah perlu untuk diperkasakan untuk pembinaan negara Madani yang maju, makmur dan diberkati.

Wallahu a'lam 

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
10 JAMADILAKHIR 1447H / 1 DISEMBER 2025

[1] Al-Ghazali, Abu Hamid, al-Iqtisad fi al-I’tiqad, (Dar al-Minhaj, Beirut: 2019), hlmn. 394.