Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 45/2025: KEWAJIPAN KETAATAN KEPADA PEMIMPIN DAN LARANGAN MENJATUHKAN PEMIMPIN

TintaMufti.jpg

KEWAJIPAN KETAATAN KEPADA PEMIMPIN DAN LARANGAN MENJATUHKAN PEMIMPIN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Ketaatan kepada pemimpin ialah suatu perkara yang sangat ditekankan di dalam syariat Islam. Hal ini kerana pemerintah yang bertindak mengawal tatakelola dan urus tadbir berkaitan hal ehwal rakyat merupakan suatu kedudukan penting yang menjadi penentu kepada kesejahteraan sesebuah negara. Oleh itu, ketaatan rakyat kepada pemimpin juga adalah penting bagi membolehkan pemerintah melaksanakan dasar-dasar kebaikan kepada rakyatnya bertepatan dengan Maqasid Umran. Kewajipan ini diserlahkan dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

(Suran al-Nisa’: 59)

Dalam ayat ini, Allah SWT meletakkan kewajipan ketaatan kepada pemimpin selepas daripada ketaatan kepada Allah SWT dan rasulNya yang menunjukkan kepentingannya. Walau bagaimanapun, ketaatan kepada pemimpin ini sudah tentu tidak mutlak seperti ketaatan kepada Allah SWT dan rasulNya. Oleh yang demikian, Allah SWT tidak mengulang semula perkataan أَطِيعُوا pada ulil amri kerana ketaatan kepada pemimpin itu adalah bersyarat.

Syarat tersebut adalah merujuk kepada ayat sebelumnya iaitu Allah SWT menyuruh untuk manusia melaksanakan amanah dan menegakkan keadilan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

(Surah al-Nisa’: 58)

Oleh yang demikian, kewajipan ketaatan itu diikat dengan keadaan selagimana para pemimpin itu melaksanakan amanahnya dan berhukum dengan hukuman yang adil. Jika pemimpin tidak amanah dan tidak berlaku adil maka tiada ketaatan yang perlu diberikan kepadanya.Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Abu Hayyan al-Andalusi dalam tafsirnya terhadap ayat ini bahawa:

‌وَمُنَاسَبَتُهَا ‌لِمَا ‌قَبْلَهَا ‌أَنَّهُ ‌لَمَّا ‌أَمَرَ ‌الْوُلَاةَ ‌أَنْ ‌يَحْكُمُوا ‌بِالْعَدْلِ ‌أَمَرَ ‌الرَّعِيَّةَ ‌بِطَاعَتِهِمْ

Maksudnya: Kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya ialah apabila Allah SWT memerintahkan para pemimpin untuk berlaku adil, maka dengan itu Allah SWT memerintahkan rakyat untuk memberikan ketaatan kepada mereka.[1]

Selain daripada itu, ketaatan kepada pemimpin ialah pada perkara makruf dan kebaikan, adapun perkara yang melibatkan dosa dan kemaksiatan maka tiada ketaatan pada perkara tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

لا طَاعَةَ في مَعْصِيَةٍ، إنَّما الطَّاعَةُ في المَعروفِ

Maksudnya: Tiada ketaatan pada perkara maksiat, ketaatan hanya diberikan pada perkara yang makruf.

Di samping itu juga, syariat Islam melarang daripada menjatuhkan atau memberontak ke atas para pemimpin. Ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Tahawi dalam kitabnya, al-‘Aqidah al-Tahawiyyah bahawa:

ولا نرى الخروج عَلَى أَئِمَّتِنَا وَوُلاةِ أُمُورِنَا وَإِنْ جَارُوا، وَلَا نَدْعُوا عَلَيْهِمْ وَلَا يَنزَعُ يَدًا مِنْ طَاعَتِهِم، وَنَرَى طَاعَتَهُم مِنْ طَاعَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلٌ فَرِيضَةً، مَا لَمْ يَأْمُرُوا بِمَعْصِيَةِ، وَنَدْعُو لَهُم بِالصَّلَاحِ وَالْمَعَافَاةِ.

Maksudnya: Kami berpendapat bahawa tidak boleh menderhaka kepada imam atau pemimpin kami sekalipun mereka berlaku zalim, kami tidak mendoakan kecelakaan ke atas mereka dan kami tidak boleh menarik kesetiaan daripada mereka. Kami berpendapat kesetiaan kepada pemimpin adalah fardu yang diwajibkan Allah SWT selama mereka tidak menyuruh perkara maksiat. Kami mendoakan mereka agar mendapat kebaikan dan keampunan.[2]

Hal ini kerana perbuatan ini akan membawa kepada kemudaratan yang lebih besar apabila ketiadaan pemimpin yang akan menyebabkan keamanan negara tidak akan dapat dikawal dengan baik serta menimbulkan kekacauan dan huru-hara. Keadaan ini sudah tentu ia akan mengancam kepada Maqasid Syariah yang dijaga oleh syarak seperti menjaga nyawa (hifz al-nafs), menjaga agama (hifz al-din), menjaga akal (hifz al-‘aql), menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan menjaga harta (hifz al-mal). Tambahan pula, tujuan syarak dalam menjaga kemanan ini juga adalah bertujuan untuk menjaga kesemua maqasid ini.

Walau bagaimanapun, sekiranya peralihan kepimpinan tersebut boleh berlaku dengan cara yang aman dan terkawal seperti melalui proses pilihanraya dan seumpamanya, maka tidak mengapa untuk melakukan dengan menggunakan proses tersebut. Hal ini kerana melantik pemimpin yang paling berkelayakan, adil dan amanah juga berbanding pemimpin yang tidak layak, zalim dan khianat adalah suatu tuntutan syarak. Sabda Nabi SAW:

إذا ضُيِّعَتِ الأمانَةُ فانْتَظِرِ السَّاعَةَ قالَ: كيفَ إضاعَتُها يا رَسولَ اللَّهِ؟ قالَ: إذا أُسْنِدَ الأمْرُ إلى غيرِ أهْلِهِ فانْتَظِرِ السَّاعَةَ.

Maksudnya: Apabila amanah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat. Seseorang bertanya, ‘Bagaimana amanah disia-siakan, wahai Rasulullah SAW?’ Baginda SAW bersabda: “Apabila sesuatu urusan diserahkan pada bukan ahlinya, maka tunggulah hari Kiamat.”

(Riwayat al-Bukhari)

Secara kesimpulannya, Islam mewajibkan umatnya untuk mentaati para pemimpin mereka dalam perkara kebaikan dan selagimana mereka melaksanakan tanggungjawab mereka dengan adil dan amanah. Di samping itu juga, Islam turut melarang umatnya daripada menderhaka dan memberontak ke atas pemerintah yang mana perbuatan tersebut akan membawa kepada kemudaratan yang lebih besar sehingga mengancam Maqasid Syariah yang syarak diturunkan untuk menjaganya. Namun sekiranya melalui cara dan proses yang dibenarkan yang dilaksanakan dengan aman dan teratur seperti proses pilihanraya, maka cara tersebut adalah diharuskan.

Waallahua’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
20 JAMADILAKHIR 1447H / 11 DISEMBER 2025

 

Rujukan: 

[1] Abu Hayyan al-Andalusi, al-Bahr al-Muhith, (Beirut: Dar al-Fikr, 2000), jld. 3, hlmn. 686.

[2] Al-Tahawi, Abu Ja’far, al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, terj. Md. Sahari bin Abdullah (Selangor: Jabatan Mufti Negeri Selangor, 2015), 107.