
UMRAH KETIKA KONFLIK AMERIKA – ISRAEL DENGAN IRAN: MENILAI SYARAT ISTITA‘AH DAN KESELAMATAN PERJALANAN”
Peperangan yang berlaku di Timur Tengah antara pakatan Amerika–Israel dengan Iran dilihat semakin memuncak. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa kerana konflik tersebut bukan sahaja melibatkan faktor politik dan keselamatan, bahkan turut memberi kesan kepada laluan perjalanan utama yang menghubungkan antara Timur dan Barat. Dalam situasi yang tidak menentu ini, timbul persoalan dalam kalangan umat Islam di Malaysia, adakah mereka masih boleh meneruskan perjalanan untuk menunaikan ibadah umrah ketika peperangan sedang berlangsung?
menjawab persoalan ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah syarat istita‘ah (kemampuan) dalam menunaikan ibadah haji dan umrah. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Maksudnya: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah”.
(Surah Ali Imran, 97)
Para ulama menafsirkan bahawa kemampuan tersebut merangkumi beberapa aspek seperti kemampuan fizikal, kewangan serta keselamatan perjalanan. Dalam hal ini, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa maksud kemampuan dari sudut keselamatan ialah terjamin keselamatan nyawa dan harta sepanjang perjalanan menuju ke Tanah Suci, termasuklah di tempat-tempat yang dilalui dan diziarahi. Bahkan menurut beliau, memadai sekiranya tahap keselamatan itu dinilai berdasarkan sangkaan yang kuat (zanni) bahawa perjalanan tersebut berada dalam keadaan aman dan tidak mendatangkan bahaya yang nyata.
Berdasarkan prinsip ini, sekiranya berlaku peperangan atau konflik bersenjata yang boleh menjejaskan keselamatan perjalanan, maka penilaian terhadap tahap keselamatan tersebut perlu dilakukan secara teliti oleh pihak yang berautoriti. Hal ini kerana keselamatan jemaah merupakan sebahagian daripada tuntutan syarak dalam memastikan ibadah dapat dilaksanakan tanpa menimbulkan mudarat kepada nyawa dan harta. Pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab dan hak untuk menilai sama ada perjalanan bagi menunaikan ibadah umrah dan haji benar-benar memenuhi syarat istita‘ah atau tidak. Penilaian ini termasuklah mempertimbangkan faktor keselamatan laluan penerbangan, keadaan geopolitik di rantau tersebut serta jaminan keselamatan di negara destinasi. Prinsip ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebut oleh Imam al-Suyuti dalam karyanya:
تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kepada kemaslahatan.”
Kaedah ini menunjukkan bahawa setiap keputusan yang diambil oleh pemerintah atau pihak berkuasa hendaklah berpaksikan kepada kepentingan dan kesejahteraan masyarakat. Justeru, sekiranya pihak berkuasa memutuskan bahawa perjalanan ke Tanah Suci masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal, maka umat Islam boleh meneruskan ibadah umrah atau haji seperti biasa. Sebaliknya, sekiranya keadaan keselamatan didapati tidak terjamin, maka penangguhan perjalanan tersebut adalah satu langkah yang selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs).
Sehubungan dengan situasi keselamatan yang tidak menentu akibat konflik yang berlaku di beberapa kawasan Timur Tengah, umat Islam dinasihatkan agar mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan ke kawasan yang berpotensi terjejas sehingga keadaan kembali stabil dan selamat. Dalam masa yang sama, orang ramai juga diseru supaya sentiasa peka dan merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berautoriti, khususnya Kementerian Luar Negeri Malaysia, yang bertanggungjawab memantau perkembangan keselamatan antarabangsa serta mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia.
Wallahu’alam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
23 RAMADAN 1447H / 13 MAC 2026