Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 135/2026 : PELAKSANAAN SOLAT JUMAAT DI TEMPAT SELAIN MASJID DAN SURAU MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

t.jpg

PELAKSANAAN SOLAT JUMAAT DI TEMPAT SELAIN MASJID DAN SURAU MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

Pendahuluan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Solat Jumaat merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh kaum lelaki yang beragama Islam pada setiap hari Jumaat. Lazimnya, solat Jumaat dilaksanakan di masjid atau di surau yang mendapat kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat.

Namun, kewujudan faktor-faktor yang membataskan pergerakan serta tuntutan-tuntutan yang lain, seperti kepadatan penduduk di kawasan bandar, kedudukan tempat kerja yang jauh dari masjid, kesesakan lalu lintas dan had masa rehat pekerja, telah menimbulkan persoalan mengenai keharusan untuk mendirikan solat Jumaat di kawasan selain masjid dan surau, seperti di sekitar premis pejabat, dewan, tanah lapang dan seumpamanya.

Justeru, penulisan kali ini bertujuan menghuraikan persoalan tersebut berdasarkan dalil syarak, pandangan fuqaha dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan menurut perspektif siyasah syar'iyyah.

Kewajipan Solat Jumaat Menurut Syarak

Secara asasnya, kewajipan untuk menunaikan solat Jumaat telah dinyatakan dengan jelas menerusi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual beli. Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Surah al-Jumu'ah (9)

Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini berpandangan bahawa ia merupakan dalil yang menunjukkan kefarduan ke atas setiap muslim khususnya kaum lelaki untuk menunaikan solat Jumaat. Bahkan pelaksanaannya merupakan tuntutan fardu ain seperti yang telah dipersetujui oleh jumhur dan para imam[1].

Di samping itu, terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menegaskan kewajipan untuk menunaikan solat Jumaat. Baginda SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat itu suatu hak yang wajib ke atas setiap Muslim secara berjemaah kecuali empat golongan, iaitu hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang yang sakit.”

(Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Umar RA dan Abu Hurairah RA ketika mereka mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar Baginda lalu bersabda:

لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ، أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Hendaklah kaum-kaum itu berhenti daripada meninggalkan solat Jumaat, atau Allah akan mengunci mati hati-hati mereka, kemudian mereka benar-benar akan tergolong dalam kalangan orang yang lalai.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menegaskan bahawa hukum mendirikan solat Jumaat adalah fardu ain ke atas setiap mukalaf selain golongan yang mempunyai keuzuran dan kekurangan yang disebutkan. Menurut beliau, inilah pandangan mazhab, nas Imam al-Syafi'i dalam kitab-kitabnya dan pandangan yang diputuskan oleh para ashab dalam semua jalur periwayatan mazhab. Beliau turut menukilkan bahawa Ibn al-Munzir meriwayatkan ijmak umat Islam tentang kewajipan solat Jumaat[2].

Perbahasan Mengenai Tempat Pelaksanaan Solat Jumaat

Berdasarkan pengamalan dalam kalangan generasi awal umat Islam menunjukkan bahawa solat Jumaat tidak terikat dengan bangunan masjid. Ka'ab bin Malik RA menceritakan bahawa As'ad bin Zurarah RA ialah orang pertama yang mengimamkan solat Jumaat bersama mereka:

لِأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ جَمَّعَ بِنَا فِي هَزْمِ النَّبِيتِ مِنْ حَرَّةِ بَنِي بَيَاضَةَ فِي نَقِيعٍ يُقَالُ لَهُ: نَقِيعُ الْخَضِمَاتِ

Maksudnya: “Kerana beliaulah orang pertama yang mengimamkan solat Jumaat bersama kami di Hazm al-Nabit, di Harrah Bani Bayadhah, pada suatu kawasan lembah yang dinamakan Naqi' al-Khadhimat.”

Riwayat Abu Dawud

Selain itu, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa mereka pernah menulis surat kepada Sayyidina 'Umar bin al-Khattab RA untuk bertanya tentang solat Jumaat, lalu beliau menjawab:

جَمِّعُوا حَيْثُ كُنْتُمْ

Maksudnya: “Tunaikanlah solat Jumaat di mana sahaja kamu berada.”

(Riwayat Ibn Abi Syaibah)

Berdasarkan asas ini, fuqaha mazhab Syafi'i menetapkan bahawa syarat tempat bagi pelaksanaan solat Jumaat adalah didirikan dalam khittah abniyah awtan al-mujammi'in, iaitu kawasan binaan tempat bermastautin orang yang mendirikan solat Jumaat, dan bukannya bangunan masjid.

Imam al-Rafi'i menyatakan bahawa solat Jumaat tidak disyaratkan didirikan di tempat yang berbumbung atau di masjid, bahkan harus dilaksanakan di kawasan lapang yang dikira sebahagian daripada kawasan negeri tersebut dan tidak terkeluar daripadanya[3].

Al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa solat Jumaat hendaklah didirikan dalam kawasan binaan penempatan bagi orang yang menunaikannya walaupun bukan di dalam masjid, kerana solat Jumaat tidak didirikan pada zaman Nabi SAW dan Khulafa' al-Rasyidin melainkan di kawasan-kawasan penempatan. Beliau turut menyatakan bahawa harus mendirikannya di kawasan lapang yang dikira sebahagian daripada binaan yang berhimpun iaitu kawasan yang tidak boleh diqasarkan solat padanya[4].

Imam Syams al-Din al-Ramli juga menyatakan bahawa masjid tidak disyaratkan bagi solat Jumaat. Beliau menetapkan piawaian (dhabit) bahawa tempat tersebut hendaklah bukan suatu tempat yang membolehkan seorang musafir mengqasarkan solat sebelum melepasinya[5].

Imam Jalal al-Din al-Mahalli pula menyatakan bahawa tempat tersebut merangkumi masjid, rumah dan kawasan lapang, berbeza dengan padang pasir yang berada di luar daripada kawasan penempatan[6].

Oleh itu, perbahasan fuqaha seperti di atas menunjukkan bahawa pelaksanaan solat Jumaat sah didirikan di kawasan-kawasan selain daripada masjid atau surau seperti di dewan, premis pejabat, bangunan atau tanah lapang selagi lokasinya berada dalam lingkungan kawasan binaan sesebuah bandar atau kampung.

Walau bagaimanapun, Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab menukilkan salah satu wajh dalam perbahasan ini daripada Ibn Abi Hurairah, bahawa solat Jumaat sah dengan didirikan oleh jemaah yang bermukim tanpa jemaah yang bermukim[7]. Namun begitu, keharusan ini tidak bermakna setiap premis bebas untuk mendirikan solat Jumaat secara bersendirian kerana mazhab Syafi'i turut mensyaratkan bahawa pelaksanaan solat Jumaat tidak boleh dilakukan secara ta'addud (banyak) dalam sesebuah kawasan tanpa keperluan.

Kebenaran Mengadakan Solat Jumaat di Kawasan Selain Masjid dan Surau Menurut Perspektif Siyasah Syar'iyyah

Antara syarat sah solat Jumaat dalam mazhab Syafi'i ialah ia tidak didahului dan tidak disertai oleh solat Jumaat yang lain dalam negeri yang sama. Imam al-Nawawi menukilkan nas Imam al-Syafi'i bahawa solat Jumaat tidak didirikan dalam sesebuah bandar, walaupun bandar itu besar dan banyak masjidnya, melainkan di satu tempat sahaja[8].

Walau bagaimanapun, Imam al-Syafi'i tidak mengingkari penduduk Baghdad yang mendirikan solat Jumaat di dua ataupun tiga tempat. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa keharusan tersebut disebabkan oleh demografi Baghdad merupakan sebuah negeri yang besar dan penduduknya sukar untuk berhimpun di satu tempat dalam satu masa yang sama. Atas dasar itu, beliau berpandangan bahawa harus untuk menambah bilangan solat Jumaat melebihi daripada satu kawasan apabila terdapat bilangan penduduk yang lebih ramai dan sukar untuk berhimpun dalam satu-satu masa[9].

Dalam kitab al-Majmu', Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pandangan yang lebih kuat adalah harus untuk mendirikan solat Jumaat di dua tempat atau lebih mengikut kadar keperluan dan kesukaran berhimpun[10].

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa solat Jumaat yang berbilang tidak diharuskan kecuali apabila kawasan itu besar dan penduduknya sukar berhimpun di satu tempat, iaitu tiada di kawasan solat Jumaat itu suatu tempat yang dapat memuatkan mereka tanpa kesukaran, sama ada masjid atau selainnya. Dalam keadaan tersebut, solat Jumaat harus dibilangkan atas dasar keperluan mengikut kadarnya[11].

Berkenaan ukuran kesukaran berhimpun, al-Khatib al-Syirbini berpandangan bahawa yang diambil kira ialah orang yang bersolat, bukan orang yang diwajibkan solat Jumaat dan bukan juga seluruh penduduk negeri[12]. Imam al-Ramli sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Bujairimi, menyatakan bahawa kemungkinan yang paling hampir ialah orang yang lazimnya menunaikan solat Jumaat di tempat tersebut[13].

Al-Bujairimi menukilkan daripada kitab al-Anwar bahawa kesukaran berhimpun boleh berpunca daripada faktor bilangan jemaah yang ramai, peperangan dalam kalangan penduduk atau lokasi yang terletak jauhnya di hujung-hujung negeri[14]. Beliau juga menukilkan bahawa kebanyakan solat Jumaat yang didirikan secara ta'addud sebenarnya tidak diperlukan kerana setiap negeri lazimnya memiliki kawasan tertentu yang berupaya untuk menghimpunkan orang ramai walaupun sekadar tapak runtuhan atau kawasan sekitar negeri[15].

Dari sudut kesan hukum, Imam Syihab al-Din al-Ramli memfatwakan bahawa solat-solat Jumaat yang didirikan di Mesir adalah sah, sama ada didirikan secara serentak atau berturutan, selagi faktor kesukaran untuk berhimpun dalam satu-satu masa masih wujud. Menurut beliau, solat Zohor tidak wajib ke atas mereka tetapi disunatkan bagi keluar daripada khilaf. Sebaliknya, solat Jumaat yang didirikan setelah keperluan kepada solat Jumaat yang berbilang tiada adalah tidak sah, dan pelakunya wajib menunaikan solat Zohor[16].

Kedudukan Izin Ulil Amri dalam Mazhab Syafi'i

Imam Taqiy al-Din al-Subki dalam membahaskan perkara ini telah membezakan antara sahnya solat Jumaat dengan tindakan melaksanakannya. Beliau menyatakan bahawa pelaksanaan solat Jumaat yang banyak, di sisi ulama yang mengharuskannya ketika hajah, lebih utama disyaratkan keizinan pemerintah, bukan dari sudut sahnya tetapi dari sudut tindakan untuk melaksanakannya[17]. Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut sewajarnya memerlukan keizinan daripada pihak pemerintah kerana ia merupakan ruang ijtihad dan dibimbangi berlakunya fitnah[18].

Beliau juga menyatakan bahawa seorang kadi tidak boleh memberi keizinan dalam perkara ini melainkan dengan dua syarat, iaitu dia berpandangan bahawa perkara itu harus dalam mazhabnya dan dia melihat padanya maslahat yang manfaatnya kembali kepada umat Islam secara umum[19].

Pendekatan ini selari dengan kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti, iaitu tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah terikat dengan maslahat[20]. Justeru, penilaian sama ada keperluan benar-benar wujud, sama ada premis berada dalam kawasan binaan dan sama ada solat Jumaat yang baharu akan menjejaskan solat Jumaat yang sedia ada wajar diserahkan kepada pihak berkuasa agama.

Pandangan Mazhab-Mazhab yang Lain

Dalam mazhab Hanafi, Imam al-Sarakhsi menyatakan bahawa sekiranya seorang amir membuka pintu-pintu istananya, memerintahkan muazin melaungkan azan lalu mendirikan solat Jumaat bersama orang ramai di istananya, maka solat itu memadai bagi mereka. Namun, perbuatan tersebut dianggap tidak elok kerana tempat yang disediakan untuk mendirikan solat Jumaat ialah masjid. Sebaliknya, jika pintu istana tidak dibuka dan orang ramai tidak diizinkan masuk, solat Jumaat itu tidak memadai kerana antara syarat solat Jumaat ialah keizinan umum (al-izn al-'am)[21]. Beliau juga menyatakan bahawa menurut pandangan yang sahih daripada Imam Abu Hanifah dan Muhammad bin al-Hasan, harus mendirikan solat Jumaat di dua tempat atau lebih dalam sebuah bandar[22].

Dalam mazhab Maliki, Imam al-Dardir menyatakan bahawa solat Jumaat disyaratkan didirikan di masjid jami' yang dibina menurut binaan kebiasaan penduduk setempat dan bersifat tunggal. Sekiranya berlaku ta’addud, solat Jumaat yang sah ialah solat Jumaat di masjid yang paling awal didirikan solat Jumaat padanya (al-'atiq), melainkan terdapat keperluan kepada masjid yang baharu[23].

Dalam mazhab Hanbali, Imam al-Hajjawi menyatakan bahawa solat Jumaat sah didirikan di kawasan lapang yang berhampiran dengan binaan walaupun tanpa keuzuran, tetapi tidak sah di kawasan yang jauh[24]. Sheikh Wahbah al-Zuhaili menukilkan bahawa mazhab Hanbali mengharuskan solat Jumaat didirikan di beberapa tempat apabila negeri itu besar dan memerlukan beberapa masjid jami', atau dibimbangi berlaku fitnah kerana permusuhan antara penduduk, atau negeri itu luas dan hujung-hujungnya berjauhan.[25]

Kesimpulannya, mazhab Hanafi, Syafi'i dan Hanbali tidak mensyaratkan masjid bagi sahnya solat Jumaat, manakala mazhab Maliki mensyaratkannya. Mazhab Hanafi pula mensyaratkan keizinan pemerintah dan keizinan umum, suatu syarat yang wajar diraikan bagi premis yang mempunyai kawalan akses.

Pandangan Fuqaha Kontemporari dan Fatwa Semasa

Sheikh Wahbah al-Zuhaili merumuskan bahawa apabila solat Jumaat berlaku secara ta’addud kerana terdapat keperluan (hajah), iaitu sukar untuk berhimpun di satu tempat yang sama, maka ia diharuskan dan solat yang dilaksanakan oleh kesemua jemaah adalah sah menurut pandangan yang lebih kuat. Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa disunatkan untuk melakukan disunatkan sebagai langkah berhati-hati[26].

Bagi situasi di Malaysia, keharusan ini dilaksanakan melalui kebenaran pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Antaranya adalah seperti yang berikut:

1.       Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa solat Jumaat telah dilaksanakan di beberapa pusat beli-belah di Wilayah Persekutuan seperti Alamanda Shopping Centre dan Suria KLCC, melalui kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)[27].

2.       Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan bahawa Sultan Selangor tidak memperkenankan surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu mendirikan solat Jumaat, kerana dibimbangi menjejaskan usaha mengimarahkan masjid. Hanya sebuah surau di pusat beli-belah diberi kebenaran sementara kerana tiada masjid yang berhampiran.[28]

3.       Mufti Pahang memaklumkan pendirian bahawa solat Jumaat tidak boleh bertembung di kawasan yang berhampiran kecuali terdapat kesukaran yang pasti, yang diputuskan oleh Mufti Negeri Pahang dan disembahkan untuk perkenan Sultan Pahang[29].

Perbezaan pendirian antara negeri ini menunjukkan bahawa isu ini terletak dalam ruang siyasah syar'iyyah. Asas fiqhnya adalah sama, tetapi penilaian terhadap keperluan (hajah) dan maslahat setempat diputuskan oleh pihak berkuasa agama di setiap negeri.

Peruntukan Undang-Undang di Wilayah Persekutuan

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, perkara ini dikawal oleh Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505][30]. Antara peruntukan yang berkaitan adalah seperti yang berikut:

1.       Seksyen 2(1) mentakrifkan “masjid” sebagai suatu bangunan yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan yang disuruh, disyorkan atau dibenarkan oleh agama Islam, dan termasuk mana-mana masjid, surau atau madrasah yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga.

2.       Seksyen 73(1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis, mendirikan apa-apa bangunan yang hendak digunakan sebagai masjid, atau selainnya menggunakan mana-mana bangunan bagi maksud sesuatu masjid, atau menyebabkan atau membenarkan mana-mana bangunan digunakan sebagai masjid.

3.       Seksyen 73(2) memperuntukkan bahawa Majlis tidak boleh memberikan kebenaran tersebut melainkan jika tapak bangunan bagi masjid yang dicadangkan itu telah dijadikan wakaf yang berkekalan.

4.       Seksyen 83 memberi kuasa kepada Majlis untuk meminda Jadual Ketiga dari semasa ke semasa melalui pemberitahuan dalam Warta.

5.       Seksyen 39 memperuntukkan bahawa Mufti pada lazimnya mengikut qaul muktamad mazhab Syafi'i, dan boleh mengikut qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali sekiranya qaul muktamad mazhab Syafi'i membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam.

Berdasarkan peruntukan ini, penggunaan mana-mana bangunan sebagai tempat untuk mendirikan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIWP. Kebenaran ini berfungsi sebagai keizinan ulil amri yang ditekankan oleh Imam al-Subki, bagi mengelakkan daripada berlaku ta’addud terhadap pelaksanaan solat Jumaat tanpa keperluan yang boleh menjejaskan kesahihannya menurut mazhab Syafi'i.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, antara perkara yang dapat disimpulkan adalah seperti berikut:

1.       Solat Jumaat pada asalnya afdal ditunaikan di masjid kerana masjid merupakan tempat yang dikhususkan untuk beribadah bagi umat Islam dan syiar bagi agama Islam. Pelaksanaan di masjid juga menghimpunkan pelbagai fadilat antaranya pahala berniat iktikaf sepanjang berada di masjid dan solat sunat tahiyyatul masjid.

2.       Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi'i, solat Jumaat adalah sah untuk didirikan di mana-mana tempat dalam kawasan binaan penempatan, termasuk dewan, premis pejabat dan tanah lapang yang berada di dalamnya.

3.       Sekiranya terdapat kesulitan yang menghalang untuk pergi ke masjid disebabkan lokasi yang jauh dan terdapat keperluan lain yang menuntut, maka harus menunaikan solat Jumaat di tempat selain masjid dan surau mengikut kadar keperluan tersebut.

4.       Kawasan atau premis berkenaan hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, iaitu berada dalam kawasan binaan penempatan, mencukupi bilangan jemaah yang mengesahkan solat Jumaat, dan terbuka kepada orang ramai.

5.       Pelaksanaannya hendaklah memperoleh kebenaran daripada pihak ulil amri di kawasan tersebut. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, kebenaran ini diperoleh daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan selaras dengan seksyen 73 Akta 505.

S.S. Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil

Mufti Wilayah Persekutuan

 

[1] Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, ed. Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Atfayyisy, cet. ke-2 (Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964), 18:105. Teks asal:

«فَرَضَ اللَّهُ تَعَالَى الْجُمُعَةَ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، رَدًّا عَلَى مَنْ يَقُولُ: إِنَّهَا فَرْضٌ عَلَى الْكِفَايَةِ ... وَجُمْهُورُ الْأُمَّةِ وَالْأَئِمَّةِ أَنَّهَا فَرْضٌ عَلَى الْأَعْيَانِ، لِقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: إِذا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ»

[2] al-Nawawi, al-Majmu', 4:483. Teks asal:

«فَالْجُمُعَةُ فَرْضُ عَيْنٍ عَلَى كُلِّ مُكَلَّفٍ غَيْرَ أَصْحَابِ الْأَعْذَارِ وَالنَّقْصِ الْمَذْكُورِينَ هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ وَهُوَ الْمَنْصُوصُ لِلشَّافِعِيِّ فِي كُتُبِهِ وَقَطَعَ بِهِ الْأَصْحَابُ فِي جَمِيعِ الطُّرُقِ ... وَنَقَلَ ابْنُ الْمُنْذِرِ فِي كِتَابَيْهِ كِتَابِ الْإِجْمَاعِ الْإِشْرَافِ إجْمَاعَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى وُجُوبِ الْجُمُعَةِ»

[3] 'Abd al-Karim bin Muhammad al-Rafi'i, Fath al-'Aziz bi Syarh al-Wajiz (Dar al-Fikr, t.t.), 4:495. Teks asal:

«وليس من الشرط اقامتها في كن أو مسجد بل يجوز اقامتها في فضاء معدود من خطة البلدة غير خارج عنها»

[4] Syams al-Din Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani Alfaz al-Minhaj (Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1994), 1:543. Teks asal:

«(أَنْ تُقَامَ فِي خِطَّةِ أَبْنِيَةِ أَوْطَانِ الْمُجَمِّعِينَ) بِتَشْدِيدِ الْمِيمِ: أَيْ الْمُصَلِّينَ الْجُمُعَةَ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ فِي مَسْجِدٍ لِأَنَّهَا لَمْ تُقَمْ فِي عَصْرِ النَّبِيِّ ﷺ وَالْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ إلَّا فِي مَوَاضِعِ الْإِقَامَةِ ... وَيَجُوزُ إقَامَتُهَا فِي فَضَاءٍ مَعْدُودٍ مِنْ الْأَبْنِيَةِ الْمُجْتَمَعَةِ بِحَيْثُ لَا تُقْصَرُ فِيهِ الصَّلَاةُ»

[5] Syams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Dar al-Fikr, 1984), 2:299. Teks asal:

«وَلَا يُشْتَرَطُ لَهَا مَسْجِدٌ ... وَعُلِمَ مِمَّا تَقَرَّرَ أَنَّ الضَّابِطَ فِيهِ أَنْ لَا يَكُونَ بِحَيْثُ تُقْصَرُ الصَّلَاةُ قَبْلَ مُجَاوَزَتِهِ»

[6] Jalal al-Din Muhammad bin Ahmad al-Mahalli, Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin, dicetak bersama Ahmad Salamah al-Qalyubi dan Ahmad al-Burullusi 'Umairah, Hasyiyata Qalyubi wa 'Umairah (Dar al-Fikr, 1995), 1:315. Teks asal:

«وَهِيَ مَا ذُكِرَ، سَوَاءٌ فِيهِ الْمَسْجِدُ وَالدَّارُ وَالْفَضَاءُ بِخِلَافِ الصَّحْرَاءِ»

[7] Al-Shirazi, Abu Ishaq, al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie (Beirut: Dar al-Kutub al-Misriyyah, t.th), jld. 1, hlmn. 208.

وهل تنعقد بمقيمين غير مستوطنين؟ فيه وجهان: قال أبو علي بن أبي هريرة تنعقد بهم لأنه تلزمهم الجمعة فانعقدت بهم كالمستوطنين.

[8] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudhah al-Talibin wa 'Umdah al-Muftin, ed. Zuhair al-Syawisy, cet. ke-3 (al-Maktab al-Islami, 1991), 2:5. Teks asal:

«قَالَ الشَّافِعِيُّ: وَلَا يَجْمَعُ فِي مِصْرَ - وَإِنْ عَظُمَ، وَكَثُرَتْ مَسَاجِدُهُ - إِلَّا فِي مَوْضِعٍ وَاحِدٍ»

[9] al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, 2:5. Teks asal:

«أَصَحُّهَا: أَنَّهُ إِنَّمَا جَازَتِ الزِّيَادَةُ فِيهَا عَلَى جُمُعَةٍ، لِأَنَّهَا بَلْدَةٌ كَبِيرَةٌ يَشُقُّ اجْتِمَاعُهُمْ فِي مَوْضِعٍ وَاحِدٍ، فَعَلَى هَذَا تَجُوزُ الزِّيَادَةُ عَلَى الْجُمُعَةِ الْوَاحِدَةِ فِي جَمِيعِ الْبِلَادِ، إِذَا كَثُرَ النَّاسُ وَعَسُرَ اجْتِمَاعُهُمْ»

[10] al-Nawawi, al-Majmu', 4:586. Teks asal:

«وَالصَّحِيحُ هُوَ الْوَجْهُ الْأَوَّلُ وَهُوَ الْجَوَازُ فِي مَوْضِعَيْنِ وَأَكْثَرَ بِحَسْبِ الْحَاجَةِ وَعُسْرِ الِاجْتِمَاعِ»

[11] Syams al-Din Muhammad al-Khatib al-Syirbini, al-Iqna' fi Hall Alfaz Abi Syuja', dicetak bersama Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi, Tuhfah al-Habib 'ala Syarh al-Khatib (Dar al-Fikr, 1995), 2:194–195. Teks asal:

«إلَّا إذَا كَبُرَ الْمَحَلُّ وَعَسُرَ اجْتِمَاعُهُمْ فِي مَكَان بِأَنْ لَمْ يَكُنْ فِي مَحَلِّ الْجُمُعَةِ مَوْضِعٌ يَسَعُهُمْ بِلَا مَشَقَّةٍ وَلَا غَيْرَ مَسْجِدٍ فَيَجُوزُ التَّعَدُّدُ لِلْحَاجَةِ بِحَسَبِهَا»

[12] al-Khatib al-Syirbini, al-Iqna', 2:195. Teks asal:

«وَالظَّاهِرُ أَنَّ الْعِبْرَةَ فِي الْعُسْرِ بِمَنْ يُصَلِّي لَا بِمَنْ تَلْزَمُهُ وَلَوْ لَمْ يَحْضُرْ وَلَا بِجَمِيعِ أَهْلِ الْبَلَدِ»

[13] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi, Tuhfah al-Habib 'ala Syarh al-Khatib (Dar al-Fikr, 1995), 2:195. Teks asal:

«وَعِبَارَةُ م ر: وَهَلْ الْمُرَادُ اجْتِمَاعُ مَنْ تَلْزَمُهُ أَوْ مَنْ تَصِحُّ مِنْهُ وَإِنْ كَانَ الْغَالِبُ أَنَّهُ لَا يَفْعَلُهَا أَوْ مَنْ يَفْعَلُهَا فِي ذَلِكَ الْمَحَلِّ غَالِبًا؛ كُلٌّ مُحْتَمَلٌ وَلَعَلَّ أَقْرَبَهَا الْأَخِيرُ»

[14] al-Bujairimi, Tuhfah al-Habib, 2:195. Teks asal:

«ثُمَّ عَسُرَ الِاجْتِمَاعُ إمَّا لِكَثْرَتِهِمْ، قَالَ فِي الْأَنْوَارِ: أَوْ لِقِتَالٍ بَيْنَهُمْ أَوْ بُعْدِ أَطْرَافِ الْبَلَدِ»

[15] al-Bujairimi, Tuhfah al-Habib, 2:195. Teks asal:

«أَنَّ غَالِبَ مَا يَقَعُ مِنْ التَّعَدُّدِ غَيْرُ مُحْتَاجٍ إلَيْهِ إذْ كُلُّ بَلَدٍ لَا تَخْلُو غَالِبًا عَنْ مَحَلٍّ يَسَعُ النَّاسَ وَلَوْ نَحْوَ خَرَابَةٍ وَحَرِيمِ الْبَلَدِ»

[16] Syihab al-Din Ahmad bin Hamzah al-Ramli, Fatawa al-Ramli (al-Maktabah al-Islamiyyah, t.t.), 1:275–276. Teks asal:

«بِأَنَّ الْجُمَعَ الْوَاقِعَةَ فِي مِصْرَ صَحِيحَةٌ سَوَاءٌ أَوْقَعَتْ مَعًا أَمْ مُرَتَّبًا إلَى أَنْ يَنْتَهِيَ عُسْرُ الِاجْتِمَاعِ بِأَمْكِنَةِ تِلْكَ الْجُمَعِ فَلَا يَجِبُ عَلَى أَحَدٍ مِنْ مُصَلِّيهَا صَلَاةَ ظُهْرِ يَوْمِهَا لَكِنَّهَا تُسْتَحَبُّ خُرُوجًا مِنْ خِلَافِ مَنْ مَنَعَ تَعَدُّدَ الْجُمُعَةِ بِالْبَلَدِ ... ثُمَّ الْجُمَعُ الْوَاقِعَةُ بَعْدَ انْتِفَاءِ الْحَاجَةِ إلَى التَّعَدُّدِ غَيْرُ صَحِيحَةٍ فَيَجِبُ عَلَى مُصَلِّيهَا ظُهْرُ يَوْمِهَا»

[17] Taqiy al-Din 'Ali bin 'Abd al-Kafi al-Subki, Fatawa al-Subki (Dar al-Ma'arif, t.t.), 1:180. Teks asal:

«أَمَّا التَّعَدُّدُ عِنْدَ مَنْ يُجَوِّزُهُ عِنْدَ الْحَاجَةِ فَهُوَ أَوْلَى بِالِاشْتِرَاطِ لَا مِنْ جِهَةِ الصِّحَّةِ وَلَكِنْ مِنْ جِهَةِ الْإِقْدَامِ عَلَيْهِ»

[18] al-Subki, Fatawa al-Subki, 1:181. Teks asal:

«فَيَنْبَغِي أَنْ يَحْتَاجَ إلَى إذْنِ السُّلْطَانِ قَطْعًا لِأَنَّهُ مَحَلُّ اجْتِهَادٍ ... لِأَنَّ الْمَحْذُورَ هُنَا خَشْيَةُ فِتْنَةٍ»

[19] al-Subki, Fatawa al-Subki, 1:181. Teks asal:

«فَلَيْسَ لِلْقَاضِي أَنْ يَأْذَنَ فِيهِ إلَّا بِشَرْطَيْنِ: أَحَدُهُمَا أَنْ يَرَى ذَلِكَ جَائِزًا فِي مَذْهَبِهِ. وَالثَّانِي أَنْ يَرَى فِي ذَلِكَ مَصْلَحَةً لِلْمُسْلِمِينَ يَعُودُ نَفْعُهَا عَلَى عُمُومِهِمْ ... لِأَنَّ أَحْكَامَ الْقُضَاةِ لَا تَدْخُلُ فِي الْعِبَادَاتِ»

[20] Jalal al-Din 'Abd al-Rahman al-Suyuti, al-Asybah wa al-Naza'ir (Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1990), 121. Teks asal:

«تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ. هَذِهِ الْقَاعِدَةُ نَصَّ عَلَيْهَا الشَّافِعِيُّ وَقَالَ: مَنْزِلَةَ الْإِمَامِ مِنْ الرَّعِيَّةِ مَنْزِلَة الْوَلِيِّ مِنْ الْيَتِيمِ»

[21] Muhammad bin Ahmad al-Sarakhsi, al-Mabsut (Dar al-Ma'rifah, 1993), 2:120. Teks asal:

«وَلَوْ أَنَّ أَمِيرًا فَتَحَ أَبْوَابَ الْقَصْرِ وَأَمَرَ الْمُؤَذِّنَ فَأَذَّنَ فَجَمَعَ بِالنَّاسِ فِي قَصْرِهِ فَإِنَّهُ يُجْزِيهِمْ ... وَلَكِنَّهُ مُسِيءٌ فِيمَا صَنَعَ؛ لِأَنَّ الْمَوْضِعَ الْمُعَدَّ لِإِقَامَةِ الْجُمُعَةِ فِيهِ الْمَسْجِدُ ... وَإِنْ لَمْ يَفْتَحْ بَابَ قَصْرِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لِلنَّاسِ بِالدُّخُولِ وَصَلَّى بِحَشَمِهِ وَمَوَالِيهِ لَمْ يُجْزِهِمْ؛ لِأَنَّ مِنْ شَرْطِ الْجُمُعَةِ الْإِذْنَ الْعَامَّ وَلَمْ يُوجَدْ»

[22] al-Sarakhsi, al-Mabsut, 2:120. Teks asal:

«فَالصَّحِيحُ مِنْ قَوْلِ أَبِي حَنِيفَةَ وَمُحَمَّدٍ رَحِمَهُمَا اللَّهُ تَعَالَى أَنَّهُ يَجُوزُ إقَامَةُ الْجُمُعَةِ فِي مِصْرٍ وَاحِدٍ فِي مَوْضِعَيْنِ وَأَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ»

[23] Ahmad bin Muhammad al-Dardir, al-Syarh al-Kabir, dicetak bersama Muhammad bin Ahmad al-Dasuqi, Hasyiyah al-Dasuqi 'ala al-Syarh al-Kabir (Dar al-Fikr, t.t.), 1:373–374. Teks asal:

«(وَبِجَامِعٍ) الْبَاءُ بِمَعْنَى فِي (مَبْنِيٍّ) بِنَاءً مُعْتَادًا لِأَهْلِ الْبَلَدِ ... (مُتَّحِدٍ) فَإِنْ تَعَدَّدَ لَمْ تَصِحَّ فِي الْكُلِّ (وَالْجُمُعَةُ لِلْعَتِيقِ) أَيْ مَا أُقِيمَتْ فِيهِ أَوَّلًا ... وَمَا لَمْ يَحْتَاجُوا لِلْجَدِيدِ»

[24] Musa bin Ahmad al-Hajjawi, al-Iqna' fi Fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal, ed. 'Abd al-Latif Muhammad Musa al-Subki (Dar al-Ma'rifah, t.t.), 1:192. Teks asal:

«وتصح فيما قارب البنيان من الصحراء ولو بلا عذر لا فيما بعد»

[25] Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, cet. ke-4 (Dar al-Fikr, t.t.), 2:1300. Teks asal:

«إن كان البلد كبيراً يحتاج إلى جوامع أو في حال خوف الفتنة بأن يكون بين أهل البلد عداوة، أو في حال سعة البلد وتباعد أطرافه، فصلاة الجمعة في جميعها جائزة»

[26] al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2:1300. Teks asal:

«وإن تعددت الجمعة لحاجة، بأن عسر اجتماع بمكان، جاز التعدد، وصحت صلاة الجميع على الأصح، سواء وقع إحرام الأئمة معاً أو مرتباً، وسن صلاة الظهر احتياطاً»

[27] “Negeri Dialu-alukan Laksana Inisiatif Solat Jumaat di Pusat Beli-belah,” Berita Harian, Julai 2026, https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2026/07/1583075/bhplus.

[28] “Sultan Selangor Tidak Perkenan Solat Jumaat di Surau Pusat Beli-belah,” Berita Harian, 8 Julai 2026, https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2026/07/1584447/sultan-selangor-tidak-perkenan-solat-jumaat-di-surau-pusat-beli.

[29] “Masjid Sedia Ada di Pahang Lebih Sesuai Diimarahkan Berbanding Surau Jumaat di Pusat Beli-belah,” Utusan Malaysia, Julai 2026, https://www.utusan.com.my/berita/2026/07/masjid-sedia-ada-di-pahang-lebih-sesuai-diimarahkan-berbanding-surau-jumaat-di-pusat-beli-belah/.

[30] Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), cetakan semula sebagaimana pada 1 Jun 2017, https://muftiwp.gov.my/images/archive/akta_pekeliling/Akta_505-pentadbiran_undang_islam_1993.pdf.