Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 140/2026 : MAKNA KALIMAH LIGHAD DALAM SURAH AL-HASYR AYAT 18

T.jpeg

 

MAKNA KALIMAH LIGHAD DALAM SURAH AL-HASYR AYAT 18

Pendahuluan

Baru-baru ini, kalimah lighad daripada surah al-Hasyr ayat 18 telah menimbulkan perbincangan dalam kalangan masyarakat. Perbahasan tersebut tertumpu kepada persoalan sama ada kalimah berkenaan boleh dikaitkan dengan perancangan masa depan, sedangkan para ulama tafsir secara umumnya menjelaskan bahawa ia merujuk kepada hari akhirat.

Dalam meneliti persoalan ini, penting untuk dibezakan antara tafsiran sesuatu ayat al-Quran berdasarkan maksud yang dikehendaki oleh nas dengan penghayatan terhadap pengajaran dan petunjuknya dalam kehidupan manusia. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam disiplin memahami al-Quran, dan tidak sewajarnya dicampuradukkan sehingga mengubah maksud asal ayat atau menyempitkan ruang pengambilan iktibar daripadanya.

 

Tafsiran Kalimah Li-Ghad Menurut Ulama Tafsir

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

Surah al-Hasyr (18)

 

Dari sudut bahasa Arab, perkataan ghad (غَدٍ) bermaksud hari esok, iaitu hari yang datang selepas hari ini. Penggunaannya juga boleh merujuk kepada masa yang akan datang. Walau bagaimanapun, penentuan maksud sesuatu perkataan dalam al-Quran tidak memadai dengan makna bahasa semata-mata, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan konteks ayat dan huraian para ulama tafsir.

Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ungkapan wal tanzur nafsun ma qaddamat lighad menjelaskan bahawa setiap manusia diperintahkan supaya meneliti amalan yang telah dilakukannya sebagai persediaan menghadapi hari kiamat. Penelitian tersebut merangkumi amalan kebaikan yang dapat menyelamatkannya dan amalan keburukan yang boleh membawa kepada kebinasaan.[1]

Beliau turut meriwayatkan pandangan Qatadah bahawa Allah SWT menggambarkan hari kiamat begitu hampir sehingga diungkapkan seolah-olah ia akan berlaku pada hari esok.[2]

Imam Ibn Kathir pula menjelaskan bahawa ayat ini merupakan seruan kepada manusia supaya melakukan muhasabah terhadap diri sendiri sebelum mereka dihisab oleh Allah SWT.[3] Setiap individu hendaklah menilai amal soleh yang telah disediakan sebagai bekalan untuk menghadapi hari pertemuan dengan Allah.

Sementara itu, Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa penggunaan kalimah ghad menunjukkan dekatnya hari kiamat. Beliau turut menyatakan bahawa perkataan tersebut digunakan dalam bahasa Arab untuk merujuk kepada perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.[4]

Imam Fakhr al-Din al-Razi pula menghuraikan bahawa hari kiamat dinamakan sebagai ghad kerana Allah SWT ingin mendekatkan gambaran kedatangannya kepada manusia. Penggunaan perkataan tersebut juga memperlihatkan betapa besar dan dahsyatnya hari berkenaan.[5]

Berdasarkan huraian para mufassir ini, jelas bahawa maksud utama kalimah lighad dalam konteks surah al-Hasyr ayat 18 ialah hari akhirat, khususnya hari manusia akan dihisab dan menerima balasan atas segala amalannya.

Oleh itu, tidak tepat sekiranya maksud hari akhirat diketepikan dan digantikan sepenuhnya dengan pengertian masa depan duniawi.

 

Antara Tafsir dan Penghayatan Ayat Secara Umum

Walaupun kalimah lighad ditafsirkan oleh para ulama sebagai hari akhirat, hal ini tidak bererti bahawa pengajaran yang terkandung dalam ayat tersebut terbatas kepada persoalan akhirat tanpa sebarang hubungan dengan kehidupan dunia.

Dalam memahami perkara ini, perlu dibezakan antara dua pendekatan.

Pertama, tafsir, iaitu menjelaskan maksud sesuatu ayat berdasarkan bahasa Arab, konteks ayat, riwayat serta kaedah tafsir yang muktabar. Dalam konteks ini, lighad merujuk kepada hari akhirat.

Kedua, tadabbur dan penghayatan, iaitu memahami petunjuk serta pengajaran ayat untuk membimbing kehidupan manusia, tanpa menafikan atau mengubah maksud asalnya.

Ayat ini turut mengandungi perintah supaya manusia memperhatikan apa yang telah disediakan untuk menghadapinya. Ungkapan ma qaddamat, yang bermaksud apa yang telah disediakan atau didahulukan, memperlihatkan hubungan antara tindakan manusia pada masa sekarang dengan akibat yang bakal diterimanya pada masa hadapan.

Daripada sudut penghayatan, ayat ini mendidik manusia supaya tidak hanya memikirkan kepentingan serta kesenangan semasa, sebaliknya turut mengambil kira kesan dan akibat daripada setiap tindakannya.

Justeru, prinsip muhasabah, persediaan dan tanggungjawab terhadap akibat sesuatu perbuatan boleh dijadikan pengajaran dalam mengurus kehidupan dunia, termasuk dalam urusan keluarga, masyarakat, ekonomi dan pentadbiran negara. Selain itu, Allah SWT juga menggunakan lafaz ghad dalam ayat yang lain Surah Luqman ayat 34 yang menunjukkan maksud ghad sebagai persediaan hari esok kerana tidak tahu bila akan tibanya kematian.

Namun demikian, hubungan tersebut hendaklah difahami sebagai pengambilan iktibar daripada petunjuk ayat. Dengan kata lain, hari akhirat merupakan maksud utama yang ditunjukkan oleh ayat, manakala kepentingan merancang masa depan dunia merupakan antara pengajaran yang boleh diambil daripada semangat dan tuntutan ayat tersebut.

 

Kesimpulan

Kalimah lighad dalam surah al-Hasyr ayat 18 menurut tafsiran utama para ulama merujuk kepada hari akhirat. Maksud tersebut hendaklah dipelihara kerana ia merupakan inti pati peringatan Allah SWT agar manusia sentiasa bermuhasabah dan menyediakan bekalan untuk menghadapi hari pembalasan.

Pada masa yang sama, tidaklah menyalahi prinsip penghayatan al-Quran untuk mengambil pengajaran daripada ayat ini tentang kepentingan persediaan, perancangan dan tanggungjawab terhadap masa depan yang boleh dijadikan petunjuk dalam membimbing pemikiran, tindakan dan kehidupan manusia.

Oleh itu, perbahasan mengenai sesuatu ayat al-Quran sewajarnya dilakukan dengan adab, ilmu dan ketelitian. Masa depan yang dirancang dengan amanah hendaklah menjadi sebahagian daripada usaha membina bekalan untuk masa depan akhirat yang pasti akan tiba.

Wallahu a‘lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

[1] Al-Tabari, Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an, jil. 23, hlm. 299.

ولينظر أحدكم ما قدّم ليوم القيامة من الأعمال، أمن الصالحات التي تنجيه أم من السيئات التي توبقه

[2] Ibid.

عن قتادة (وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ) يعني يوم القيامة.

[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, jil. 8, hlm. 77.

{وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ} أَيْ: حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا، وَانْظُرُوا مَاذَا ادَّخَرْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ مِنَ الْأَعْمَالِ الصَّالِحَةِ لِيَوْمِ مَعَادِكُمْ وَعَرْضِكُمْ عَلَى رَبِّكُمْ،

[4] Al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, jil. 18, hlm. 43.

(وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ) يَعْنِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ. وَالْعَرَبُ تَكُنِّي عَنِ الْمُسْتَقْبَلِ بِالْغَدِ. وَقِيلَ: ذَكَرَ الْغَدَ تَنْبِيهًا عَلَى أَنَّ السَّاعَةَ قريبة

[5] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb, jil. 29: hlm. 511.

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِما تَعْمَلُونَ (18)

ثُمَّ إِنَّهُ تَعَالَى رَجَعَ إِلَى مَوْعِظَةِ الْمُؤْمِنِينَ فقال: يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ.

الْغَدُ: يَوْمُ الْقِيَامَةِ سَمَّاهُ بِالْيَوْمِ الَّذِي يَلِي يَوْمَكَ تَقْرِيبًا لَهُ، ثُمَّ ذَكَرَ النَّفْسَ وَالْغَدَ عَلَى سَبِيلِ التَّنْكِيرِ. أَمَّا الْفَائِدَةُ فِي تَنْكِيرِ النَّفْسِ فَاسْتِقْلَالُ الْأَنْفُسِ الَّتِي تَنْظُرُ فِيمَا قَدَّمَتْ لِلْآخِرَةِ كَأَنَّهُ قَالَ: فَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ وَاحِدَةٌ فِي ذَلِكَ، وَأَمَّا تَنْكِيرُ الْغَدِ فَلِتَعْظِيمِهِ وَإِبْهَامِ أَمْرِهِ كَأَنَّهُ قِيلَ: الْغَدُ لَا يُعْرَفُ كُنْهُهُ لِعِظَمِهِ.