
ISU PERBUATAN MEMBERSIHKAN RUMAH IBADAT AGAMA LAIN: NASIHAT DAN TEGURAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Timbul isu berkaitan perbuatan sekumpulan umat Islam yang terlibat dalam kerja membersihkan sebuah rumah ibadat agama lain, sama ada ia diharuskan oleh syarak ataupun diharamkan. Dalam hal ini, perbuatan membersihkan seperti kuil, ialah perbuatan yang perlu dinilai dengan teliti oleh seorang Muslim. Isu ini tidak boleh dilihat sebagai kerja membersih biasa sahaja, kerana Islam telah menetapkan batasan yang sangat jelas dalam tatacara berinteraksi dengan rumah ibadat agama lain demi memelihara kesucian akidah.
Berdasarkan garis panduan syariat, tindakan membersihkan atau mencuci kuil merupakan sesuatu perbuatan yang berada di luar batasan yang dibenarkan. Umat Islam dilarang daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang secara langsung memakmurkan, mengagungkan, atau memelihara tempat pemujaan agama lain. Hal ini bersandarkan kepada prinsip larangan bersubahat dalam perkara yang dilarang agama, sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
(Surah al-Maidah: 2)
Manakala dalam perbahasan fiqh pula, para ulama telah menggariskan larangan bekerja di rumah ibadat bukan Islam, termasuklah larangan mengambil upah (ijarah) untuk membina, membaik pulih dan mencantikkannya. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam pernyataanya mereka, misalnya dalam fatwa Imam al-Subki yang menyatakan:
فَإِنَّ بِنَاءَ الْكَنِيسَةِ حَرَامٌ بِالْإِجْمَاعِ، وَكَذَا تَرْمِيمُهَا وَكَذَلِكَ قَالَ الْفُقَهَاءُ: لَوْ وَصَّى بِبِنَاءِ كَنِيسَةٍ فَالْوَصِيَّةُ بَاطِلَةٌ؛ لِأَنَّ بِنَاءَ الْكَنِيسَةِ مَعْصِيَةٌ وَكَذَا تَرْمِيمُهَا
Maksudnya: Sesungguhnya, pembinaan gereja adalah haram berdasarkan ijmak. Demikian juga, kerja-kerja membaik pulihnya. Para fuqaha juga menyatakan bahawa sekiranya seseorang berwasiat supaya sebuah gereja dibina, maka wasiat tersebut adalah terbatal kerana pembinaan gereja merupakan suatu maksiat, demikian juga kerja-kerja membaik pulihnya.[1]
Oleh yang demikian, perbuatan ini hendaklah dielakkan sama sekali. Umat Islam perlu sedar bahawa atas nama perpaduan, mereka sama sekali tidak boleh menggadaikan prinsip akidah dan melanggar kesepakatan (ijmak) para ulama. Setiap umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil berat akan batas-batas pergaulan ini. Berhati-hatilah dengan perkara yang sensitif melibatkan akidah dan syiar agama kerana batas sempadan toleransi tidak seharusnya meruntuhkan prinsip asas tauhid kita. Keharmonian boleh dipupuk tanpa menggadaikan jati diri seorang Muslim. Peliharalah akidah Islam sebaik-baiknya, kerana pegangan inilah satu-satunya penyelamat kita apabila berhadapan dengan pengadilan Allah di hari Akhirat kelak.
Walau bagaimanapun, hal ini sama sekali tidak melarang umat Islam daripada melakukan ihsan dan kebaikan kepada golongan bukan Islam. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.
(Surah al-Mumtahanah: 8)
Dari sudut kefahaman ayat ini, umat Islam amat digalakkan untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan masyarakat pelbagai kaum yang tidak memerangi Islam dan tidak mengusir umat Islam dari negeri mereka dengan menziarahi mereka ketika sakit, menghulurkan bantuan kemanusiaan, memberi hadiah,dan sebagainya daripada perbuatan tidak melibatkan perkara yang menjejaskan kemurnian tauhid kepada Allah SWT.
WaAllahu a’lam.
[1] Al-Subki, Taqiyuddin, Fatawa al-Subki (Beirut: Dar al-Ma’rifah, t.th), jld. 2, hlmn. 369.