Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #26: PELAKON FILEM MEMAKAI BAJU SIMBOL SALIB

 Pelakon Salib.jpg

Soalan

Assalamualaikum wbt. saya pernah menonton sebuah filem yang memaparkan tentera Islam melawan tentera salib. watak tentera salib tersebut dilakonkan oleh seorang Muslim dan pakaian yang dipakai olehnya jelas memperlihatkan simbol salib bagi menggambarkan dirinya sebagai tentera salib. Adakah perkara ini dibenarkan dalam Islam?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Salib atau dalam Bahasa Inggeris disebut cross ialah merupakan simbol yang terbentuk daripada pertembungan dua garisan bersilang pada pusatnya yang terdiri daripada empat arah lengan atau bahagian. (Lihat The Encyclopedia of Religion, Eliade, hlm. 155)

Simbol salib, setelah melalui sejarah yang panjang, ia akhirnya menjadi lambang Jesus Christ dan lambang kepercayaan bagi penganut agama Kristian. (Lihat The New Encyclopedia Britannica, Jacob E Safra, hlm. 753)

Islam memandang serius dalam perkara berkaitan simbol salib. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Imran bin Hitthan, bahawa ‘Aisyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW tidak meninggalkan satu pun barang yang masuk ke rumah beliau, yang ada gambar yang bersalib, kecuali Baginda akan menghapusnya.”

Riwayat al-Bukhari (5952)

Perkataan Naqadhahu (نَقَضَهُ) membawa maksud memecahkannya, menghilangkannya dan mengubah gambar salib. (Lihat Nail al-Authar, 3/143 dan Syarh Sunan Abi Daud oleh Ibn Ruslan, 16/453)

 

Apa Hukum Memakai Baju Dengan Simbol Salib Oleh Pelakon Filem?

Pada asasnya, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031)

Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka: “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.” (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 9/54)

Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram , 4/175)

Menurut sebahagian pendapat dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan jumhur Mazhab Syafie, menyerupai pakaian yang menjadi syiar orang kafir dihukumkan kafir. Kerana itu, sesiapa yang memakai topi orang Yahudi dengan sengaja maka ia kufur kecuali jika dipaksa atau memakainya sekadar untuk berlindung daripada kepanasan. Begitu juga orang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, ia dihukumkan kafir kecuali jika memakainya sebagai helah dalam peperangan, maka ia tidak dihukumkan kafir. (Lihat Al-Fatawa al-Hindiyyah: 2/276; Jawahir al-Iklil: 2/278; Tuhfah al-Muhtaj: 9/91)

Meskipun demikian, kita tidak boleh bermudah-mudah menghukum seseorang dengan kufur, fasiq, sesat dan sebagainya.

Imam al-Nawawi daripada kalangan ulama’ Syafi’iyyah yang masyhur, pernah berkata: Seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, dia tidak kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti i’tiqad mereka). (Lihat Raudhah al-Talibin,10/69)

Ini memberi maksud agar jangan memudahkan dalam isu melabelkan seseorang kepada kufur, fasiq atau sesat.

Walaupun begitu, janganlah memandang enteng isu yang amat sensitif seperti ini. Seperti kaedah masyhur menyebut:

الْخُرُوج مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada sebarang bentuk kekhilafan adalah sunat”

 

Pendapat Kami

Kami bersetuju dengan keputusan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80, yang menyebut: “Orang Islam adalah dilarang menggunakan barangan yang mempunyai lambang agama lain seperti salib sekiranya lambang-lambang tersebut dinyatakan secara zahir dan jelas.”

Oleh itu, kami syorkan agar pelakon Muslim tidak diberikan watak-watak yang mewakili penganut agama lain atau gunakanlah pelakon orang bukan Islam supaya tidak berlaku kesangsian dan keraguan.

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang jelas dalam kita menjalankan setiap titah perintah-Nya. Amin.