Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #35: MAKSUD QALB, FU'AD DAN SADR

hati

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan qalb, fu’ad dan sadr?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Para ulama’ Sufi membahaskan perihal qalb, fu’ad dan sadr dalam bab peringkat hati (martabat al-qalb). Hati, nurani, sanubari atau istilah-istilah yang berkaitan menjadi perbahasan utama dalam ilmu tasawwuf kerana antara matlamat utama pengamalan tasawwuf itu sendiri adalah penyucian hati (tazkiyyatunnafs) bagi mencapai martabat ihsan. Ketika Jibril alaihissalam bertanyakan kepada Nabi tentang maksud ihsan, Baginda SAW bersabda:

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

 Maksudnya: "...anda menyembah atau mentaati Allah seolah-olah anda melihatnya, sekiranya anda tidak melihatnya sesungguhnya Allah melihat anda."

Al-Hakim al-Tirmizi ada membahaskan berkenaan elemen-elemen ini dalam kitabnya Bayan al-Farq baina al-Sadr wa al-Qalb wa al-Fu'ad wa al-Lubb. Setiap tingkatan antara sadr, qalb, fu’ad dan lubb mempunyai perbezaan makna dan fungsinya yang saling terkait.

Menurut al-Hakim al-Tirmizi di awal mukadimah kitabnya: “Saya mengumpamakan hati seperti mata. Bahawasanya mata adalah sesuatu yang terdiri dari dua kelopak mata, bola mata, iris mata, dan retina. Semuanya mempunyai makna yang berbeda antara satu dengan yang lainnya, namun saling terkait antara satu dengan yang lainnya. Sama juga dengan rumah, iaitu sesuatu yang dikelilingi oleh pintu, koridor, dan di dalamnya terdapat ruang-ruang yang berisi almari dan tempat mempunyai aturan yang berbeza dengan yang lainnya.” (Lihat Bayan al-Farq, m. 17)

Definisi Sadr (Dada)

Dari sudut bahasa, sadr merupakan kata terbitan daripada (ص-د-ر). Kata jamaknya adalah (صدور) yang bererti sesuatu yang berada di antara leher dan perut. Ia juga bererti sesuatu yang mendahului sesuatu, seperti siang yang mendahului malam dan sampul buku yang mendahului isi buku. (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, m. 318)

Dalam al-Qur’an, kalimah sadr disebutkan dalam bentuk yang berbeza, pada ayat dan surah yang berbeza. Kalimah (صدورك) ada 4 ayat, (صدره) sebanyak 3 ayat, (صدري) pula sebanyak 2 ayat, (صدور) sebanyak 20 ayat, (صدوركم) sebanyak 4 ayat dan (صدورهم) sebanyak 5 ayat. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras fi Alfaz al-Qur’an, m. 404)

Al-Hakim al-Tirmizi meletakkan sadr sebagai martabat yang pertama kerana ia merupakan punca bagi segala perbuatan. Dari sudut fungsinya, sadr berfungsi sebagai ruang di mana hati dan nafsu bertemu, serta tempat bagi akal. Perumpamannya, sadr adalah tempat mesyuarat bagi raja dan para pembesar dalam sebuah kerajaan. Sebagai tempat bagi akal, sadr berfungsi sebagai tempat untuk menghafal ilmu yang diperoleh melalui pelajaran dan didapati daripada kekuatan pancaindera. Contohnya, hukum-hakam, maklumat, dan semua ilmu yang disampaikan dengan lisan. Maka, sadr di sisi Al-Hakim al-Tirmizi adalah seperti putihnya mata atau ruang bagi rumah atau tempat minyak bagi sebuah lampu, yang menampung sesuatu di dalam atau diluarnya. (Lihat Ghaur al-Umur, m. 31-32; al-A’dha’ wa al-Nafs, m. 3; Bayan al-Farq, m. 19).

Definisi Qalb (Hati)

Qalb boleh didefinisikan sebagai fu’ad dan akal yang murni (al-‘aql al-mahd). (Lihat al-Qamus al-Muhit, 127). Qalb adalah kata terbitan daripada (ق-ل-ب). Dipanggil qalb kerana perubahan yang terjadi padanya. Ibn Manzur menyatakan: “qalbu al-qalbi: ay tahwil al-syai’ ‘an wajhihi”, yang berarti perubahan sesuatu pada keadaannya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 1/680).

Kalimah al-qalb ditemui pada 130 tempat dalam 45 surah dan 112 ayat yang mempunyai erti dan makna yang pelbagai, sesuai dengan konteks ayatnya. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras fi Alfaz al-Qur’an, m. 550-551). Menurut al-Hakim, qalb merupakan martabat kedua setelah sadr. Qalb ibarat warna hitam bagi anak mata, atau kota Mekah yang berada dalam Tanah Haram, atau sumbu yang berada dalam lampu atau ruang tamu yang berada di sebuah rumah atau isi buah badam selepas kulit yang menutupinya.

Qalb merupakan tempat bagi ilmu kerana dengannya manusia bertadabur dan bertafakkur. Umpama sumur, qalb merupakan sumber mata air dan sadr adalah tempat menampung mata air tersebut. Daripada mata air tersebut, air muncul yang terkumpul dalam sumur dan darinya ilmu tertuang di dalam sadr. (Lihat Bayan al-Farq, m. 20)

Imam al-Ghazali mendefinisikan qalb sebagai sesuatu yang halus, bersifat ketuhanan, kerohanian dan mempunyai hubungan yang erat dengan jantung. Kehalusan inilah yang mampu mencerap, mengetahui dan mengenali sesuatu perkara (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 8/1344).

Definisi Fu’ad (Hati Kecil)

Al-Qur’an menyebutkan berkenaan fu’ad dalam beberapa bentuk. (الفؤاد) ada dalam 3 ayat, (فؤادك) sebanyak 2 ayat, (أفئدة) boleh didapati dalam 8 ayat dan (أفئدتهم) sebanyak 3 ayat. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras fi Alfaz al-Qur’an, m. 550). Fu’ad adalah ibarat iris mata yang berada di dalam anak mata yang berwarna hitam pada bola mata, atau Masjid al-Haram yang berada di dalam Makkah, atau almari yang berada di rumah, atau sumbu yang terletak di tengah-tengah lampu, atau serat buah badam. (Lihat Bayan al-Farq, m. 21)

Al-Hakim menjelaskan, bahwa fu’ad dan qalb memiliki makna yang sama sebagai penglihatan batin/mata hati (basirah). Pun begitu, fungsinya adalah berbeza. Fu’ad adalah tempat ru’yah batiniyyah manakala qalb merupakan tempat bagi ilmu. Apabila bergabung penglihatan (fu’ad) dan pengetahuan (qalb), maka akan tersingkaplah segala yang tertutup di mana seseorang hamba oleh meminta pertolongan-Nya dengan ilmu, musyahadah dan iman.

Firman Allah SWT:

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ

Maksudnya: Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.

(Surah al-Najm: 11)

Al-Hakim menjelaskan bahawa kalimah fu’ad diambil daripada kalimah fa’idah. Fu’ad melihat dengan basirah dan qalb menikmatinya dengan pengetahuan. Apabila fu’ad belum melihat, maka hati tidak akan dapat melihat manfaat dari apa yang diketahuinya. H{a>kim kemudian mengilustrasikannya seperti orang buta yang berilmu. Ia tidak dapat menggunakan ilmunya sedikitpun ketika disuruh untuk menyaksikan atau melihat sesuatu, karena matanya tertutup untuk melihat

Definisi Lubb (Hati Nurani)

Dari sudut bahasa, lubb diambil dari kata terbitan (لبَّ). Kata jamaknya adalah (الباب), iaitu yang bersih atas segala sesuatu, akal yang bersih daripada sebarang cela. (Lihat Lisan al-Arab, 8/13). Kalimah lam dan ba itu mempunyai maksud yang tersirat di sisi al-Hakim. Lam itu adalah lam al-amr dan ba adalah bab musyaddadah. Ba tersebut pada hakikatnya ada dua kerana ia adalah huruf al-mu’afah iaitu ba al-birr fi al-bidayah dan ba al-barakah ‘alaiha. Maka, ba pada kalimah lubb membawa pengertian kebaikan (birr) dan keberkatan (barakah). (Lihat Bayan al-Farq, m. 56)

Lubb adalah martabat keempat di dalam fu’ad. Ianya seperti retina mata, atau cahaya lampu, atau pati buah dalam buah badam. Mata, lampu, dan buah akan menjadi pelindung bagi yang berada di dalamnya. Lubb juga umpama gunung yang besar dan martabat tertinggi yang tidak akan hilang dan bergerak. (Lihat Bayan al-Farq, m. 55)

Al-Hakim al-Tirmizi membahagikan sadr, qalb, fu’ad dan lubb kepada pembahagian dan martabat seperti di bawah. Martabat hati ini bermula dengan sadr, qalb, fu’ad dan akhirnya lubb.

Picture1

 

 

Sadr

Qalb

Fu’ad

Lubb

Cahaya Islam

Cahaya iman

Cahaya ma’rifah

Cahaya tauhid

Muslim

Mukmin

Arif

Muwahhid

Ilmu syariah

Ilmu hakikat

Ru’yah batiniyyah

Kebaikan dan keberkatan

Nafsu ammarah

Nafsu lawwamah

Nafsu mulhamah

Nafsu mutma’innah

Hendaklah diketahui bahawa penjelasan ini adalah ijtihad ulama’ tasawwuf semata-mata hasil daripada rasaan (zauq) dan ilham daripada Allah SWT. Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita untuk memahami perbezaan antaranya dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.