Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #39: MUSLIM MENYERTAI PESTA PONGAL

pongal

Soalan: Apakah hukum bagi Muslim menyertai Pesta Pongal?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Latarbelakang Pesta Pongal

Pesta Pongal adalah festival yang diraikan di seluruh India dengan nama yang pelbagai mengikut tempat, sebagai menghormati Dewa Matahari iaitu Surya. Antara nama-nama lain bagi Pesta Pongal adalah:

  1. Pongal (Tamil Nadu)
  2. Maghi (Lahore)
  3. Bihu / Bohaggiyo Bhishu (Assam)
  4. Sankrat (Rajasthan)
  5. Makara Sankranti (Maharashtra)
  6. Uttarayan (Gujarat)
  7. Magha Saaji (Shimla)
  8. Poush Sankranti (Bengal Barat)

Surya adalah Dewa Matahari dalam kepercayaan agama Hindu dan penjaga bagi sudut selatan dan barat. Bapanya adalah Dewa Langit iaitu Dyaus. Terdapat satu mitos menyebut bahawa dia dijadikan daripada mata Purusha iaitu makhluk kosmos. Rambutnya dan kedua-dua lengannya berwarna emas. Dewa Surya menaiki kereta kuda yang dikenderai oleh 4 atau 7 ekor kuda. Ditangannya terdapat bunga teratai dan juga cakera. (Lihat The Routledge Dictionary of God, Goddesses, Devils & Demons, m. 178)

Secara khususnya, Pongal adalah satu festival yang diraikan oleh masyarakat di Selatan India terutamanya Tamil. Festival Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai (pada 14 Januari setiap tahun) bagi meraikan Dewa Surya yang merupakan sumber tenaga dan penyumbang utama bagi pertanian.

Pelbagai cerita dibawakan berkenaan Dewa Surya yang mempunyai kesan terhadap sambutan Pesta Pongal ini. Dewa Surya mempunyai ramai anak, antaranya Dewa Shani yang dinisbahkan dengan Planet Saturn. Semasa Shanti lahir, dikatakan berlaku gerhana matahari. Dewa Shani dan Dewa Surya dikatakan sering berbeza pandangan namun pada hari pertama dalam bulan Thai, Dewa Surya akan menziarahi Dewa Shani. Makanan terutamanya manisan disediakan dengan menggunakan minyak bijan kerana kelikatan dan kepekatannya. Oleh itu, manisan yang diberikan adalah sebagai symbol tautan dan hubungan yang erat walaupun apa jua perbezaan yang ada.

Pesta Pongal juga adalah meraikan fasa-fasa awal kitaran pertanian. Ia adalah masa bagi mendoakan musim menanam padi yang produktif dan musim menuai yang baik di masa hadapan. Kebiasaannya, lembu-lembu juga dimandikan pada hari ini begitu juga meraikan aspek-aspek lain berkaitan produktiviti pertanian. (Lihat Religious Celebrations: An Encyclopedia of Holidays, Festivals, Solemn Observances, and Spiritual Commemorations, m. 547)

 

Hukum Meraikan Perayaan Keagamaan Bukan Muslim

Para ulama’ sepakat bahawa meraikan perayaan keagamaan bukan Muslim adalah haram. Berikut adalah pandangan-pandangan daripada setiap mazhab:

Mazhab Syafie: Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum ta'zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji", sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai " Haji". " (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244)

Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam al-Ramli dalam Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, 4/255 dan al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526. Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21). Begitu juga penegasan Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Mathalib, 4/162 dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.

Mazhab Hanafi: Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/555).

Mazhab Maliki: Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka. (Lihat al-Madkhal, 2/46-48).

Mazhab Hanbali: Imam al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131)

 

Antara Adat dan Agama Dalam Perayaan Pongal

Pesta Pongal kini sudah dianggap sebagai tradisi yang merentas agama di sesetengah tempat di dunia, namun kami tidak menafikan wujudnya unsur-unsur keagamaan sebagaimana sambutannya dalam kalangan masyarakat Hindu di Malaysia. Ini sebagaimana yang tertera dalam Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan terbitan Malaysia Hindu Sangam. Maka, secara asasnya Muslim haram untuk menyambutnya.

Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”

  1. Contoh Penyerupaan Yang Haram

Contoh bagi penyerupaan yang haram adalah berakidah dan beribadah dengan cara Nasrani atau Yahudi. Firman Allah SWT:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

(Surah al-Baqarah : 120)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa`di berkata: “Allah Taala memberitahu kepada Rasul-Nya bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak redha kepadanya sehingga dia mengikuti agama mereka, kerana mereka mengajak kepada agama yang mereka anuti dengan anggapan itulah petunjuk.” (Lihat Taisir al-Karim, m. 64)

Begitu juga dengan penyerupai kelakuan dan pakaian ahli muzik yang lazim dengan maksiat seperti minum arak. Rujuk Asna’ al-Matalib (4/344) oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (w.926H) rahimahullah.

  1. Contoh Penyerupaan Yang Makruh
  • Manakala jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu dihukumkan makruh. Contohnya seperti:
  • Melakukan qaza` (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain). (Lihat al-Minhaj Syarh Muslim, 10/101).
  • Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/427).
  • Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. (Lihat al-Iqna’, 1/245).

Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian atau perbuatan itu tidak lagi melambangkan bukan Islam dan fasiq. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus. Berkata Imam al-Bujairimi rahimahullah dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tayalisah : “Dan disebabkan pemakaian al-tayalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.” (Lihat Tuhfah al-Habib, 4/366)

Daripada sudut sejarah, pemakaian tayalisah dalam Bahasa Arab atau tallit dalam Bahasa Ibrani iaitu kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi. Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya. Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.

Justeru, bagaimana pula dengan hukum Pesta Pongal yang secara realitinya turut disambut oleh masyarakat India beragama Islam yang mempunyai ahli keluarga beragama Hindu? Dalam masa yang sama, sambutannya sudah menjadi perayaan tradisi masyarakat India. Adakah ianya tidak boleh langsung disambut atau ada garis panduan tertentu dalam sambutannya? Perkara yang paling penting adalah, pandangan alam Islam (Islamic weltanschauung) tidak menganggap adat/tradisi dan agama itu dua elemen yang berbeza jika ia melibatkan sistem kepercayaan (belief system) samada falsafah, kecenderungan politik, pemikiran, adat, agama dan lain-lain yang menerima: 

  1. Zat (essence), sifat (attributes) dan perbuatan (actions) "sesuatu" yang menyamai atau melebihi Allah SWT.
  2. Kepercayaan yang mempunyai unsur-unsur yang diambil daripada teks agama-agama lain, selain al-Qur'an dan al-Hadith.
  3. Pegangan tertentu yang bercanggah dengan al-Qur'an, al-Sunnah, ijma' (scholarly consesus) dan qiyas (analogical reasoning/deduction). 

Pun begitu, Islam terbuka dalam menerima apa-apa sahaja pengamalan dalam sistem kepercayaan yang disebutkan, yang tidak bercanggah dengan akidah dan tidak melibatkan amalan ritual. Antaranya seperti amalan kunjung mengunjung, memberi hadiah, ucapan tahniah dan lain-lain aktiviti bermasyarakat yang boleh memupuk keharmonian dan persefahaman antara agama,

Dengan meraikan semangat fiqh al-ta’ayush (fiqh co-existence), kami juga memahami keperluan bagi sesetengah golongan masyarakat seperti mereka yang mempunyai ahli keluarga beragama Hindu, pemimpin, jiran tetangga, program Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan lain-lain untuk menghadiri dan menyertai perayaan ini. Oleh itu, kami berpandangan bahawa:

  • Sekiranya ada keperluan, pemimpin Muslim boleh hadir dengan syarat tidak terlibat dengan sebarang upacara keagamaan.  Dalam konteks Malaysia yang majmuk, pemimpin yang dipilih sewajarnya meraikan kepelbagaian dan perbezaan kaum dan agama yang ada. Sifat toleransi serta bertolak-ansur antara pemimpin dan rakyat ini akan menjadi satu simbol penyatuan yang utuh dalam menghasilkan sebuah negara yang aman dan harmoni. Namun begitu, batas-batas agama tidak boleh dilangkaui. Satu kaedah fiqh yang masyhur menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah tertakluk kepada kemaslahatan rakyat”

Kaedah di atas menunjukkan kemestian ke atas pemimpin untuk sentiasa memikirkan maslahat-maslahat yang timbul dalam kalangan masyarakat awam yang diwakilinya.

  • Bagi mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan, kejiranan, sambutan di sekolah atau rakan sekerja yang beragama Hindu dan menerima jemputan untuk hadir, dibolehkan untuk hadir dengan syarat seperti tertera di (i)
  • Dibolehkan untuk makan Nasi Susu (Sakkarai Pongal) dengan mengikut syarat sebagaimana yang telah kami nyatakan dalam Al-Kafi #564: Hukum Memakan Makanan Yang Dimasak Oleh Non-Muslim (Bukan Ahli Kitab). Begitu juga dibolehkan bagi umat Islam terlibat dalam acara memasak Nasi Susu yang dianjurkan sekiranya ianya hanya melibatkan keluarga, pertandingan atau sebagainya yang tidak disertai unsur-unsur agama.

Kami telah menghuraikan garis panduan bagi umat Islam menghadiri perayaan agama lain dengan panjang lebar dalam Bayan Linnas Siri Ke- 152: Had Berinteraksi Dengan Agama Lain Di Dalam Rumah Ibadat Mereka Di Malaysia. Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah.

 

Makanan Tradisi Yang Dihidangkan Semasa Perayaan Keagamaan atau Perayaan Yang Bercampur Antara Tradisi dan Agama

Polemik ini telah sampai ke meja kami dan kelihatan perlu untuk diperjelaskan kepada masyarakat awam. Ini kerana, ada yang berpandangan bahawa makanan tradisi seperti Yee Sang dan Nasi Susu tidak boleh dimakan atau sewajarnya perlu dielakkan dek sejarahnya yang berkait rapat dengan agama dan kepercayaan tertentu. Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa ada beberapa buah hadith perlu diteliti sebaiknya sebagai pedoman dalam perkara ini.

Dalam pengamalan Arab Jahiliah, terdapat perayaan yang dipanggil ‘Atirah (العتيرة). ‘Atirah sebagaimana yang didefinisikan oleh Mulla ‘Ali al-Qari adalah:

“Al-‘Atirah dengan fathah pada ‘ain muhmalah merujuk kepada kambing. Mereka menyembelihnya pada 10 hari di awal Rejab. Tujuan sembelihan mereka adalah untuk berhala-berhala mereka. Kemudian darahnya dilumur di atas kepala.”

Walaupun amalan ini mempunyai kaitan dengan kepercayaan tertentu masyarakat Arab Jahiliah, selepas kedatangan Islam ianya adalah sunat yang dianjurkan di sisi mazhab Syafie (Lihat al-Majmu’, 8/445-446).

Ini juga adalah pandangan Imam al-Syafie berdasarkan beberapa dalil:

  1. Daripada ‘Amru daripada Syu’aib daripada bapanya daripada datuknya bahawasanya Nabi SAW ditanya tentang ‘Atirah maka Baginda bersabda:

الْعَتِيرَةُ حَقٌّ

Maksudnya: 'Atirah adalah hak."

(Riwayat Ahmad, no. 6674; al-Nasa’ie, no. 4225)

  1. Daripada Mikhnaf bin Sulaim berkara: Kami wuquf bersama-sama Nabi SAW di Arafah. Aku mendengar Baginda bersabda

يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّةٌ وَعَتِيرَةٌ . هَلْ تَدْرُونَ مَا الْعَتِيرَةُ ؟ هِيَ الَّتِي تُسَمُّونَهَا الرَّجَبِيَّةَ

Maksudnya: "Wahai sekalian manusia, bagi setiap keluarga pada setiap tahun, ada sembelihan. Adakah kamu semua tahu apa itu 'Atirah? Ia juga dinamakan Rajabiyyah."

 (Riwayat Abu Daud, no. 2788; al-Tirmizi, no. 1518)

  1. Daripada al-Harith bin ‘Amru bahawasanya seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, [Apa hukumnya melakukan] al-‘Atair? Baginda bersabda:

مَنْ شَاءَ عَتَرَ ، وَمَنْ شَاءَ لَمْ يَعْتِرْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menginginkan, bolehlah melakukannya. Bagi yang tidak menginginkannya, tidak perlu melakukannya"

(Riwayat al-Nasa’ie, no. 4226)

Sememangnya terdapat larangan yang jelas dalam hadith Nabi SAW:

لا فَرَعَ وَلا عَتِيرَةَ

Maksudnya: Tidak ada Fara’ (unta atau kambing yang pertama dilahirkan dan ia disembelih untuk tuhan-tuhan orang jahiliyyah) dan tidak ada ‘Atirah (sembelihan khusus pada awal Rejab)

(Riwayat al- Bukhari, no. 5474; Muslim, no. 1976)

Imam al-Syafi’e berkata: Atirah adalah Rajabiyyah, iaitu sembelihan yang dilakukan pada jahiliah sebagai bentuk amalan baik di bulan Rejab. Maka ketika Rasulullah berkata ‘Tidak ada Atirah maksudnya adalah tidak ada ‘Atirah yang wajib. Dan sabda Rasulullah SAW: “Sembelihlah olehmu kerana Allah pada waktu apapun” maksudnya sembelihlah jika kamu menginginkannya dan jadikan sembelihan tersebut kerana Allah pada bulan apapun, baik sembelihan itu dilakukan di bulan Rejab atau bulan lainnya.

Berhubung dengan hadith (لا فَرَعَ وَلا عَتِيرَةَ), Imam al-Syafie memberikan 3 jawapan:

  1. Iannya bermaksud tidak ada Fara’ dan ‘Atirah yang wajib.
  2. Penafian dalam hadith adalah penafian niat dan tujuan sembelihan mereka yang dulunya adalah sembelihan untuk berhala-berhala mereka.
  3. Apa yang dimaksudkan dengan hadith tersebut adalah, sembelihan Fara’ dan ‘Atirah itu tidak seperti sembelihan biasa dari sudut disunatkan dan ganjaran menumpahkan darah. Namun membahagikan daging (sembelihan Fara’ dan ‘Atirah) kepada golongan miskin adalah kebajikan dan sedekah.

Menurut Imam al-Nawawi: “Imam al-Syafie menyatakan di dalam Sunan Harmalah, sekiranya dipermudahkan untuk dibuat sembelihan setiap bulan, ianya baik. Apa yang sahih adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syafie dan sebagaima dituntut dalam hadith-hadith bahawa kedua-duanya tidak makruh malah disunatkan, inilah mazhab kami.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/446)

Berdasarkan penjelasan diatas, dapat difahami bahawa tidak semua adat-adat kepercayaan masyarakat bukan Islam perlu ditolak secara total. Malah, dengan mengikuti kerangka yang ada panduannya daripada Nabi SAW, amalan tersebut boleh diteruskan dengan dibuang unsur-unsur yang berkaitan dengan keagamaan. Menyediakan juadah untuk dimakan bersama, dalam suasana yang muhibah berbilang kaum dan agama, tidaklah menjadi satu kesalahan. Oleh itu, hukum makan juadah yang menjadi tradisi hidangan semasa perayaan tertentu adalah dibolehkan selagimana tidak ada kepercayaan tertentu yang melatari penyediaannya dan juadah itu sendiri. Ianya sekadar juadah yang disediakan secara tradisi, tanpa kepercayaan tertentu.

Terima kasih kepada pihak SMK Vivekananda, Brickfields atas kunjungan ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi memberikan penjelasan berkenaan isu ini. Semoga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan bermasyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.