Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #40: JENIS-JENIS SYIRIK

 

syirik

Soalan: Apakah jenis-jenis syirik dan adakah semuanya dikira membawa kekufuran?

Jawapan:

Menurut al-Zabidi, syirik dari sudut bahasa bererti kufur. (Lihat Taj al-‘Arus, 7/148). Kata Ibn Faris (Mu’jam Maqayis al-Lughah, 3/265), “Huruf syin (ش), ra (ر), dan kaf (ك) adalah akar kata yang memiliki dua makna asal iaitu:

  1. Penyertaan/perbandingan dan lawan bagi bersendirian.
  2. Perpanjangan dan kelurusan

Dari makna yang pertama diambil kata syarikah iaitu sesuatu yang ada (dimiliki) oleh dua orang, tidak khusus bagi salah satunya. Dikatakan pula (شاركت فلانا في الشيء) apabila aku telah menjadi sekutu baginya. Dan dikatakan (أشركت فلانا) apabila aku menjadikannya sebagai sekutu bagimu.

Dari sudut istilah, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyebut: Syirik adalah menjadikan bagi Allah sekutu yang mana dia berdoa kepadanya sebagai dia berdoa kepada Allah, atau takut kepadanya, atau mengharap kepadanya, atau dia mencintainya sebagaimana kecintaan kepada Allah, atau dia melakukan kepadanya satu jenis daripada jenis-jenis ibadah. (Lihat al-Qaul al-Sadid fi Maqasid al-Tauhid, m. 24)

Dosa Syirik

Syirik adalah dosa besar yang paling besar. Oleh itu, ianya diletakkan sebagai dosa besar yang pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir. Maka jelas syirik merupakan perkara yang sangat diharamkan dalam Islam.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/129). Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103). Ini bermaksud, jika dia meninggal dunia dalam keadaan sempat bertaubat, maka dia akan selamat daripada azab neraka.

Rasulullah SAW bersabda,

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

“Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 6919)

Jenis-Jenis Syirik

Perbuatan syirik itu ada bermacam-macam jenis dan tidak semuanya mengeluarkan pelakunya dari agama Islam dan ada yang tidak. Walaupun kesemuanya dikira dosa besar, tahapnya tidak semuanya sama.

Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:

  1. Syirik istiqlal : Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi yang mempercayai adanya Ahura Mazda dan Angra Mainyu.
  2. Syirik tab’id : Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
  3. Syirik taqrib : Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  4. Syirik taqlid : Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain.
  5. Syirik asbab : Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya.
  6. Syirik aghrad : Beramal kerana selain daripada Allah SWT.

Bagi no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Adapun bagi no. 5, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah.

Semoga penjelasan ini memberikan kita kefahaman tentang syirik dan lebih berhati-hati dalam tingkah laku kita supaya tidak tergolong dalam golongan yang mensyirikkan Allah SWT.