Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #51: ALIRAN BATINIYYAH

batiniyyah

Soalan: Bolehkah Dato’ Seri menceritakan sejarah aliran Batiniyyah secara ringkas?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Batiniyyah didefinisikan oleh Imam al-Ghazali sebagai kelompok yang mendakwa bagi zahir-zahir ayat al-Qur’an dan hadith, terdapat sisi batinnya yang mengalir dalam zahir-zahirnya, sebagaimana pati bagi kulit. Makna zahir bagi bentuknya menimbulkan kecurigaan di sisi golongan yang jahil dan bodoh dengan gambaran yan jelas. Bagi golongan yang berakal dan cerdik pandai, ianya adalah simbol-simbol dan isyarat bagi hakikat spiritual yang tertentu.

Mereka juga mendakwa bahawa akal yang tidak mampu untuk tenggelam dengan mendalam dalam rahsia-rahsia, misteri dan makna-makna rahsia dek sikapnya yang tergesa-gesa untuk menolaknya, adalah terantai dan diazab dengan bebanan yang berat. Rantaian yang mereka maksudkan adalah beban-beban syarak. Bagi yang telah mencapai kepada ilmu bagi rahsia makna telah terbebas daripada bebanan syarak, merelah yang dimaksudkan oleh Allah SWT:

وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “…Dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.”

(Surah al-A’raf: 157)

Bagi mereka, orang yang jahil adalah yang menafikan sisi batin bagi ayat-ayat al-Qur’an. Mereka itulah yang termasuk dalam firman-Nya:

فَضُرِبَ بَيْنَهُم بِسُورٍ لَّهُ بَابٌ بَاطِنُهُ فِيهِ الرَّحْمَةُ وَظَاهِرُهُ مِن قِبَلِهِ الْعَذَابُ

Maksudnya: “…serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.”

(Surah al-Hadid: 13)

Tegas Imam al-Ghazali, matlamat utama mereka adalah menghapuskan aturan wahyu. Ini kerana, jika mereka mampu mengeluarkan daripada akidaha akan keperluan berpegang kepada makna yang zahir, mereka akan boleh menetapkan dakwaan berkenaan makna batin mengikut apa yang akan memenuhi pengabaian kepada dasar agama. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, m. 11-12; Talbis Iblis, m. 192)

Menurut Imam al-Syahrastani (lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/192), Batiniyyah adalah gelaran yang diberikan kepada kumpulan pelampau Syi’ah Isma’iliyyah. Mereka dikenali sebagai Batiniyyah kerana mereka berpegang bahawa setiap ayat yang zahir, terdapat sisi batinnya, setiap apa yang diturunkan oleh Allah SWT, terdapat takwilan padanya.

Nama-Nama Lain Bagi Batiniyyah

Mereka dikenali dengan nama-nama yang berbeza mengikut tempat:

  1. Iraq: Al-Batiniyyah, al-Qaramitah dan al-Mazdakiyyah
  2. Khurasan: Al-Ta’limiyyah dan Ateis (al-Mulhidah)

Sebahagian para ulama’ pula menyenaraikan kumpulan berikut yang boleh dikategorikan sebagai Batiniyyah. Antaranya adalah al-Yazidiyyah, al-Qaramitah, al-Isma’iliyyah, al-Nasiriyyah, al-Druz, al-Hasysyasyun, a-Babiyyah dan al-Baha’iyyah, al-Qadiyaniyyah, al-Hizb al-Jumhuri di Sudan dan al-Khomeiniyyah. (Lihat al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asirah, 1/369)

Imam al-Ghazali mendedahkan bahawa Batiniyyah memiliki puluhan nama gelaran. Di antaranya adalah al-Bathiniah, al-Qaramithah, al-Qarmuthiyyah, al-Khuramiyyah, al-Khurramdiniyyah, al-Isma’iliyah, as-Sab’iyyah, al-Babikiyyah, al-Muhammarah, dan at-Ta’limiyyah. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, m. 11-17)

Seorang pendakwah Batiniyyah iaitu Ali bin al-Walid menjelaskan sikap Batiniyyah mengenai gelaran-gelaran ini melalui kritikannya terhadap kitab Fadha’ih al-Bathiniyyah tulisan Imam al-Ghazali. Katanya: “ Sesungguhnya kelompok-kelompok ini yang diceritakan, dipaparkan, dan dinyatakan oleh si kafir (Imam al-Ghazali) ini, dan disebutkannya dengan pelbagai nama dan gelaran yang dia nyatakan, di antara itu semua hanya satu nama yang mesti kami akui, iaitu Isma’iliyah, yang merupakan bentuk kebanggan kami terhadap tuan kami Isma’il bin Ja’far al-Sadiq. Maka nama ini adalah nama yang perlu kami gunakan.” (Lihat Damigh al-Batil wa Hatf al-Munadhil, 1/63).

Di Mesir, aliran Batiniyyah dikenali dengan nama al-‘Ubaidiyyin, sebagai nisbah kepada Ubaidillah al-Mahdi yang terkenal sebagai pemuka Batiniyyah di sana. Manakala di Syam, mereka dikenal dengan nama an-Nusairyyah dan al-Druz. Di Palestin dikenal dengan nama al-Baha’iyah. Di India dikenal dengan nama Baharah (Bohra) dan Isma’iliyyah. Di Yaman dikenal dengan nama al-Yamiyyah. Di negeri Kurdi dikenal dengan nama al-‘Alawiyah, kerana mereka beriman bahawa Ali adalah Allah. Di Turki mereka dikenal dengan nama al-Bakdasyiyyah. Sedangkan di negara yang lain mereka dikenal dengan al-Babiyah. (Lihat Mukaddimah Misykat al-Anwar oleh Dr. Muhammad al-Sayyid al-Jalayand, m. 7)

Asal Usul Aliran Batiniyyah

Asal bermulanya aliran yang berunsurkan agama Majusi dan falsafah ini adalah cetusan sekumpulan Ateis pada zaman Khalifah al-Ma’mun dan berkembang pada zaman al-Mu’tasim. Salah seorang pemukanya adalah Maimun bin Daisan al-Qaddah yang kemudiannya diteruskan oleh anaknya, Abdullah bin Maimun al-Qaddah. Maimun bin Daisan adalah hamba kepada Ja’far bin Muhammad al-Sadiq. Beliau menyeru manusia untuk mengangkat Muhammad bin Ismail sebagai imam. Selainnya, antara beberapa pengasas bagi aliran ini bersamanya adalah Muhammad bin al-Hussain yang diberi gelaran Zaizan atau Dandan.

Abdullah bin Maimun mendakwa Ismail bin Jaafar al-Sadiq yang telah meninggal dunia tahun 158H telah ghaib dan beliaulah Imam Mahdi yang dinantikan. Abdullah bin Maimun juga terpengaruh dengan falsafah numerologi seperti angka 7 dan 12 yang diambil dari 7 huruf Bismillah dan 12 huruf Lailahaillahallah yang kemudiannya berjumlah 19. Teori ini akhirnya diambil oleh Ismailiyah Kaisaniyah dan al-Qaramitah (Lihat al-Farq bayna al-Firaq, m. 277; Kasyf Asrar al-Batiniyyah wa Akhbar al-Qaramitah, m. 16)

Semoga kita dipelihara oleh Allah SWT daripada terpengaruh dengan sebarang bentuk ajaran-ajaran yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah wal Jama’ah.