Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan tasawwuf?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Terdapat pelbagai pendapat mengenai asal usul perkataan tasawwuf. Perkataan tasawwuf tidak ditemui dalam mana-mana sumber wahyu samada al-Qur’an atau Hadith. Malah, ianya tidak digunakan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan juga tabi’in. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Nasr al-Sarraj:
“Kami tidak mendengar nama al-Sufiyyah pada era para Sahabat Nabi SAW, begitu juga selepasnya...gelaran sufi itu tidak diberikan kepada mana-mana Sahabat Nabi SAW.” (Lihat al-Luma’, m. 42). Ini menyebabkan timbulnya pelbagai pandangan dari sudut etimologi berkenaan definisi tasawwuf.
Setakat kajian yang kami dapati, ada sembilan pandangan berkenaan asal-usul bagi kalimah tasawwuf. Ianya dikatakan berasal daripada kata akar al-safa’/al-safw, al-sifat, al-saff, al-sufanah, sufat al-qafa’, Sufah bin Murr, al-suf dan sufia. (Lihat Kalimah Sufi: A ‘Arabiyyah hiya am Yunaniyyah dalam Ta’rifah, i [Julai 1931], m. 264; al-Tasawwuf: Thawrah al-Ruhiyyah fi al-Islam, m. 29).
Kepelbagaian Kata Akar Bagi Kalimah Tasawwuf
Antara kata akar yang dikaitkan dengan tasawwuf adalah:
- Al-Sifat
Ini kerana, seorang Sufi adalah yang menghiasi diri dengan segala sifat yang terpuji dan meninggalkan segala sifat tercela.
- Ahl al-Suffah
Nama yang diberikan kepada sebahagian fakir miskin dalam kalangan orang Islam pada masa awal Islam. Mereka adalah antara orang-orang yang tidak mempunyai rumah, tinggal di ruang luar Masjid Nabawi pada ketika itu. Para Sahabat Nabi yang tinggal di suffah antaranya adalah Abu Darda’, Abu Zar al Ghifari dan Abu Hurairah
- Al-Suf
Ia bererti bulu iaitu sejenis pakaian yang diperbuat daripada bulu binatang yang menjadi pakaian kebanyakan ahli tasawuf pada zaman dahulu kerana pakaian jenis itu merupakan pakaian yang paling digemari oleh para anbiya’ dan para siddiqin serta juga merupakan syiar kepada orang yang zuhud
- Sufah bin Murrah
Dinisbahkan kepada seorang lelaki bernama al-Ghauth bin Mar bin Ad bin Thabikhah bin Ilyas bin Mazar yang sentiasa mengasingkan diri daripada masyarakat kerana bermunajat kepada Allah SWT di Masjid al-Haram. Beliau lebih dikenali sebagai Suffah bin Murah, terutamanya ibunya yang sentiasa memanggilnya Sufah.
- Al-Safa’
Membawa maksud suci. Ia merujuk kepada fokus untuk tasawwuf untuk penyucian jiwa (tazkiyyatunnafs).
- Al-Saff
Bermakna saf atau barisan samada di medan perang ataupun barisan hadapan ketika mendirikan solat. Ini disebabkan kerana kebanyakan para ahli sufi sentiasa berada dalam barisan hadapan semasa menunaikan solat di masjid dan juga mereka suka memenuhi saf-saf hadapan ketika berperang.
Pun begitu, kesemua kalimah ini secara etimologi dan tatabahasanya tidak sesuai dipadankan dengan kalimah tasawwuf kecuali kalimah al-suf. Oleh sebab itulah kebanyakan ahli tasawwuf menyatakan bahawa asal kalimah tasawwuf adalah daripada kata akar al-suf. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, 2/550-551; al-Ta’aruf li Mazhab Ahl al-Tasawwuf, m. 28-35)
Tasawwuf dari Sudut Istilah
Sebagaimana tasawwuf dari sudut bahasa, para ulama’ juga mempunyai pelbagai pandangan tentang definisi tasawwuf dari sudut istilahnya. Syeikh Ahmad Zarruq berkata, istilah tasawwuf telah dihuraikan dengan dua ribu definisi. Ini kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah SWT dapat dicapai dengan pelbagai kaedah. (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, m. 2). Walaupun begitu, semua definisi menjurus kepada pengertian yang sama iaitu ilmu penyucian jiwa.
Ibn ‘Ajibah menyatakan: “Ia adalah ilmu yang diketahui dengannya jalan untuk mencapai kesempurnaan batin ke hadrat Raja bagi segala Raja, menyucikan batin dari segala kekejian, mengisikannya dengan pelbagai kelebihan. Awalnya adalah ilmu, pertengahannya adalah amal, akhirnya adalah kurniaan Allah SWT” (Lihat Ma’arij al-Tashawwuf ila Haqa’iq al-Tasawwuf, m. 4)
Syeikh Ahmad Zarruq mendefinisikan tasawwuf sebagai: “Ilmu yang bertujuan untuk membaiki hati dan memfokuskannya hanya untuk Allah semata-mata. Fiqh adalah ilmu yang bertujuan memperbaiki amal, memelihara aturan dan menampakkan hikmah dari setiap hukum. Sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu yang bertujuan mewujudkan dalil-dalil dan menghiasi iman dengan keyakinan, sebagaimana ilmu perubatan untuk memelihara adan dan ilmu nahu untuk memelihara lisan.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, m. 6)
Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi mendefinisikan tasawuf adalah: “Suatu yang dengannya diketahui hal ehwal kebaikan dan keburukan jiwa, cara membersihkannya daripada yang tercela dan mengisinya dengan sifat-sifat terpuji, cara melaksanakan suluk dan perjalanan menuju keredhaan Allah dan meninggalkan larangannya.” (Lihat Tanwir al-Qulub fi Mu’amalah ‘Alam al-Ghuyub, m. 406)
Kesimpulan
Intipati utama tasawwuf adalah adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:
أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Maksudnya: “Engkau beribadah kepada Allah seaakan akan Engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihatmu.”
Mengenai hadith di atas, Imam Tajuddin al-Subki berkata, “… Tasawwuf diisyaratkan dengan ihsan. Selain ilmu-ilmu itu (Aqidah, fiqh dan tasawwuf), kalau ia tidak kembali kepada ilmu-ilmu tersebut (Islam, Iman dan Ihsan), ia adalah di luar syariah.” (Lihat Tabaqat al-Syafi’iyah al-Kubra, 1/117)
Samada ianya disebut tasawwuf, ihsan atau tazkiyyatunnafs, ia tetaplah membawa kepada maksud yang sama iaitu ilmu dan amal berhubung penyucian diri bagi mencapai maqam yang tertinggi dari sudut ruhiyyah dan mencapai redha Allah SWT. Semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang bersih dan suci jiwanya.